Kebocoran Soalan UPSR: Natijah kerosakan sistemik

Isu kebocoran soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan kerana insiden ini merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan kepada para guru. Kejadian ini bukan sahaja telah mencemar kredibiliti institusi perguruan semata-mata, bahkan ia merupakan suatu manifestasi kerosakan sistem yang terhasil akibat daripada pelaksanaan polisi pendidikan di negara ini.

Dalam perkembangan terkini, empat orang guru di Pulau Pinang dan Perak telah ditahan berhubung kes kebocoran soalan bagi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan Pengarah LPM Dr Na’imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai. [1]

Sehubungan itu, terdapat beberapa perkara yang wajar diperhalusi dalam menanggapi kes kebocoran soalan ini:

1. Tindakan membocorkan soalan peperiksaan merupakan satu tindakan khianat yang tidak sewajarnya dilakukan oleh para guru kerana mereka merupakan contoh teladan kepada anak didik. Bagaimana mungkin kita dapat mencorak anak didik untuk menjadi seorang insan yang berkeperibadian mulia seandainya guru itu sendiri melakukan pecah amanah dalam melaksanakan tugas-tugasnya?

2. Apakah sebenarnya tujuan suspek membocorkan soalan-soalan tersebut? Jika ia dilakukan kerana mengharapkan habuan yang lumayan, maka ia adalah jelas tindakan yang bercanggah dengan syarak dan hina di sisi Islam. Maka sewajarnya mereka dikenakan hukuman setimpal atas pengkhianatan tersebut.

3. Namun, sekiranya perbuatan tersebut dilakukan demi memastikan kesemua murid-murid lulus cemerlang dalam peperiksaan, maka permasalahannya bukan sekadar terletak pada perbuatan keji tersebut, bahkan ia melibatkan kerosakan dari sudut pandang yang menjadikan bilangan A dalam peperiksaan sebagai satu-satunya kayu ukur kejayaan seseorang murid.

4. Di sebalik kes ini, kita juga dapat melihat bagaimana rosaknya polisi pendidikan yang diterapkan dalam negara ini. Meskipun kerajaan berusaha untuk melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif, namun hakikatnya polisi pendidikan pada hari ini terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga berlakunya pengabaian terhadap pembinaan keperibadian mulia dalam diri anak-anak yang merupakan generasi pelapis pada masa akan datang.

5. Falsafah pendidikan yang dikatakan merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek ternyata gagal membina generasi yang berkeperibadian Islam lantaran penerapan sistem sekular kapitalis pada hari ini. Sistem kapitalis yang berorientasikan keuntungan telah menjadikan sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian ibarat kilang-kilang mencetak sumber manusia bagi memenuhi tuntutan kemajuan material. Hatta graduan dalam bidang agama sekalipun dicorakkan menurut tolok ukur untung-rugi sehingga menyebabkan sudut pandang sebahagian daripada mereka ditundukkan kepada realiti, bukan lagi menjadikan realiti sebagai objek penelitian yang wajar ditundukkan mengikut syariat.

Natijahnya, anak-anak didik telah didoktrinkan untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mengejar bilangan A dan terjebak dalam persaingan sengit yang memberikan tekanan kepada mereka di usia muda. Akhirnya, proses pembelajaran bukan lagi bertujuan untuk perkembangan minda dan pembentukan peribadi, sebaliknya lebih menjurus kepada penghafalan fakta demi menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan.

Hasilnya, potensi yang ada pada diri anak murid gagal digilap sepenuhnya. Bahkan polisi pendidikan sebegini menatijahkan pembentukan budaya ketundukan (conformity) dalam generasi pelapis negara.

6. Meskipun terdapat segelintir pendidik yang ikhlas ingin melakukan perubahan, namun usaha-usaha sedemikian tidak akan mampu membuahkan hasil sekiranya tiada perubahan sistemik yang menyeluruh. Hal ini kerana permasalahan ini hanyalah simptom yang berpunca daripada penerapan sistem kapitalis ke atas umat. Oleh itu, perubahan hanya akan dapat dicapai dengan meruntuhkan sistem yang rosak lagi merosakkan ini dari dasar, lalu digantikan dengan sistem Islam.

7. Bidang perguruan merupakan satu bidang yang terpuji dan mulia di sisi Islam. Malangnya, penerapan sistem kapitalis telah menjadikan para guru terpaksa melaksanakan polisi pendidikan yang berorientasikan keuntungan sehingga tugas murni membimbing anak didik mereka tidak lagi menjadi keutamaan. Bahkan para guru disibukkan dengan bermacam-macam kerenah birokrasi dan penanda aras pencapaian (KPI) sehingga menyebabkan fokus mereka lari daripada melaksanakan amanah utama mereka selaku pendidik.

8. Polisi pendidikan dalam sistem Khilafah memberikan penekanan terhadap pembentukan keperibadian Islam yang melahirkan individu mukmin serta membentuk masyarakat yang Islami. Keperibadian Islam akan mendorong seseorang itu menjadikan hukum syarak sebagai satu-satunya kayu ukur perbuatan serta mencapai keredhaan Allah itu sebagai matlamat kehidupan dan bukannya demi mengejar manfaat material semata-mata. Wallahua’lam.

Sumber:  Polis tahan empat guru di P Pinang, Perak; Sinar Harian