Pelajar bunuh diri: kecewa natijah sistem Kapitalisme

Gambar Artikel 011215SPM 2015 mengejutkan rakyat Malaysia dengan kejadian bunuh diri oleh salah seorang pelajar dari SMK Raja Abdullah. Pelajar tersebut yang dipercayai kecewa kerana tidak dapat menjawab soalan Matematik Tambahan Kertas 1 dijumpai mati tergantung di biliknya.

Kes bunuh diri bukanlah perkara baru di negara ini, bahkan telah menjadi satu gejala. Hal ini setidaknya dapat dilihat dari statistik catatan kematian bunuh diri yang dilaporkan purata 1 hingga 2 kejadian setiap hari bagi tempoh 2008 hingga 2010. Bagi  tempoh 10 tahun, 10-13 orang daripada setiap 100 ribu penduduk Malaysia direkodkan mati bunuh diri. Daripada jumlah tersebut, majoriti ialah remaja berusia 16-19 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham berkata, dalam usaha membendung kes ini, 45 hospital kerajaan di seluruh negara memberikan perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental dengan sejumlah 224 pakar psikiatri dan 12 pegawai psikologi (klinikal).

Berdasarkan kes, pencapaian akademik merupakan salah satu faktor penyumbang kepada gejala ini. Pelajar yang gagal dalam peperiksaan merasa terlalu kecewa sehingga sanggup membunuh diri. Sistem peperiksaan negara yang asalnya bermatlamat kepada penilaian tahap pendidikan negara telah lama berubah kepada budaya “exam oriented”.

Budaya ini menjadikan pelajar yang gagal dalam peperiksaan merasakannya sebagai sebuah malapateka, malah sebagai episod akhir kepada kehidupan mereka, khususnya bagi pelajar yang telah bersungguh-sungguh berusaha bagi mencapai keputusan yang cemerlang. Kegagalannya membawa 1001 macam perasaan yang tidak tertanggung seperti kecewa, sedih, malu, rendah diri, merasakan usahanya sia-sia, merasa diri tidak berguna dan macam-macam lagi hingga menyebabkannya hilang pertimbangan.

Sekalipun konsep exam oriented ini cuba dinafikan dan menjadi perhatian pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dengan melancarkan pelbagai pelan induk pendidikan negara seperti memperkenalkan sistem PBS, PPM, PT3, KBAT dan lain-lain, namun ia ternyata terus menjadi budaya pembelajaran di semua peringkat, baik di sekolah, kolej mahupun universiti. Saban tahun, keputusan peperiksaanlah yang menjadi pengukur kejayaan negara dan diperbesar-besarkan oleh kerajaan melalui media massa. Pelajar yang berjaya diraikan dan sering mendapat perhatian istimewa, yang semua ini amat memedihkan dan menambahkan lagi kekecewaan bagi mereka yang gagal.

Dengan tren exam oriented ini, para pelajar lebih disibukkan dengan usaha mengejar skor ‘A’ berbanding pembentukan syakhsiyyah (keperibadian). Apatah lagi dengan harapan dan sasaran pihak sekolah yang selalu ingin menaikkan ‘ranking’ sekolah masing-masing yang hanya dapat dicapai jika peratusan lulus atau cemerlang adalah tinggi. Pembentukan pelajar akhirnya berlaku dalam keadaan yang tidak seimbang. Aspek syakhsiyyah seringkali terabai akibat pengaruh peperiksaan yang terus menjadi orientasi dan mendominasi pemikiran pelajar dan juga guru.

Harus disedari bahawa polisi pendidikan sesebuah negara adalah terkait langsung dengan sistem yang dicipta dan diamalkan oleh negara tersebut. Ini kerana bidang pendidikan merupakan “kilang pencetak” generasi bagi sesebuah negara, yang mana kerajaanlah yang mencipta dan membentuk segala sistem dalam proses percetakan ini. Justeru, apa yang lahir dari kilang ini sudah tertentu terkait rapat dan tidak dapat dipisahkan dari sistem yang mengatur kilang tersebut.

Polisi pendidikan dalam Islam adalah untuk membentuk aqliyyah (pola fikir) dan nafsiyyah (pola Jiwa) Islami. Jadi, dalam sebuah Negara Islam, seluruh kurikulum dan mata pelajaran disusun berdasarkan strategi tersebut.

Manakala objektif pendidikan adalah membentuk syakhsiyyah Islamiyyah (keperibadian Islam) serta membekali para pelajar dengan pelbagai ilmu dan pengetahuan yang berhubungan dengan kehidupan. Jadi, metode penyampaian pelajaran dirancang untuk menunjang tercapainya tujuan tersebut. Setiap metodologi yang tidak berorientasi pada tujuan tersebut adalah dilarang.

Jika sebuah negara berdiri atas akidah Islam, yang mana dasarnya adalah memenuhi segala perintah Allah dan RasulNya, maka polisi pendidikannya akan pasti membentuk setiap individu/pelajar untuk patuh dan taat kepada Allah dalam kehidupan.

Pelajar akan ditekankan bahawa kejayaan dalam kehidupan bukan berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan. Malah tiada gunanya seseorang pelajar itu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi dalam masa yang sama memiliki syakhsiyyah yang rosak.

Kejayaan yang sebenar adalah apabila polisi pendidikan berjaya melahirkan individu yang mentaati perintah Allah dan Rasul serta memiliki tsaqafah Islam yang diamalkan dalam kehidupan yang seterusnya akan membawa kepada kejayaannya di akhirat. Inilah insan yang sepatutnya dilahirkan oleh sekolah sebagai sebuah “kilang cetak” generasi, yang (akan mencetak generasi yang) memahami bahawa peperiksaan atau kejayaan akademik, malah dunia ini, bukanlah segala-galanya, tetapi hanya ladang bercucuk tanam untuk dinikmati hasilnya di akhirat kelak.

Ringkasnya, polisi pendidikan dalam Islam akan melahirkan pelajar yang beriman dan bertakwa yang akan menjadikan halal-haram sebagai ukuran perbuatannya. Ukuran ini akan mengelakkan mereka daripada melakukan keharaman, apatah lagi membunuh diri yang merupakan satu dosa yang sangat besar dalam Islam. Mereka akan  beriman kepada qadha’ dan qadar dan menerima takdir dengan penuh redha dan kesabaran kerana mengharapkan pahala dan syurga Allah SWT.

Polisi pendidikan dalam Islam yang disebutkan di atas berbeza sama sekali dengan polisi pendidikan negara sekarang yang mengamalkan sistem kapitalisme yang mengagungkan nilai material dan menjadikan kejayaan dalam peperiksaan sebagai satu impian dan suatu yang sangat dikejar oleh para pelajar dan juga guru.

Sebab itu tidak hairan berapa ramai daripada kalangan ibu bapa yang sanggup menghantar anak mereka ke kelas tuisyen walaupun dengan bayaran yang mahal, semata-mata kerana ingin melihat anaknya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Trend “exam oriented” ini sebenarnya cukup berbahaya dari satu sudut, bukan hanya kerana ia mengajar para pelajar untuk mengejar kejayaan dan kebanggaan dunia, tetapi juga menjadikan pelajar sangat kecewa apabila gagal mencapai keputusan yang diharapkan sehingga menatijahkan kejadian bunuh diri.

Justeru, kejadian bunuh diri pelajar ini tidak harus dipandang sebagai kes terpencil atau kes kekecewaan semata-mata, tetapi lebih jauh, kita harus sedar bahawa dasar pendidikan dan sistem kapitalisme yang diterapkan oleh kerajaan pada hari ini menjadi faktor penyumbang kepada perbuatan haram ini.  Sekalipun pelbagai inisiatif yang cuba dilakukan kerajaan bagi membantu psikologi pelajar seperti melalui unit bimbingan dan kaunseling, namun usaha itu hanyalah seperti menggunakan minyak cap kapak untuk mengubati seseorang yang pening akibat darah tinggi.

Sesungguhnya tidak ada jalan keluar daripada masalah ini, kecuali dengan merombak dasar pendidikan dan menukar sistem kapitalisme ini dari akarnya dan menggantikannya dengan sistem Islam di bawah naungan Negara Khilafah yang ternyata telah melahirkan insan-insan ternama dalam dunia pendidikan dan dalam hidup mereka yang sumbangan mereka kepada dunia masih relevan dan sentiasa segar dan diingati hingga ke hari ini.

Wallahu a’lam.