Bakar Diri, Natijah Sistem Kapitalisme

bakar-diriTrend bakar diri tanda protes

KAHERAH: Penunjuk perasaan di tiga negara, Mesir, Mauritania dan Algeria, bertindak meniru pencetus revolusi Tunisia dengan membakar diri sebagai bantahan terhadap keadaan politik di negara masing-masing.
Penganalisis berkata, walaupun kejadian bunuh diri kelmarin itu masih dianggap terpencil, ia memberi gambaran perasaan tidak puas hati rakyat terhadap rejim pemerintah di dunia Arab yang enggan melaksanakan pembaharuan.

Dalam kejadian di Tunisia bulan lalu, seorang graduan menganggur Mohamed Bouazizi, 26, membakar dirinya selepas kecewa apabila pihak polis menghalang beliau berniaga buah dan sayur-sayuran, mencetuskan bantahan rakyat sehingga menumbangkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali, Sabtu lalu.

Bouazizi kemudian mati di hospital.

Di Mesir, seorang pemilik restoran kecil berusia 48 tahun membakar dirinya di luar bangunan Parlimen kelmarin, selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan melarang pemilik restoran membeli roti subsidi.

Dia bagaimanapun terselamat dengan kecederaan ringan di leher, muka dan kaki.

Insiden terbabit dirakam perakam video amatur dan pengguna telefon bimbit sebelum dikirim ke internet. Lelaki itu dikenali sebagai Abdou Abdel-Monaam Hamadah, bapa kepada empat anak yang kerap bertengkar dengan pegawai kerajaan membabitkan isu harga roti.

Di Algeria, seorang lelaki menghidap penyakit kronik membakar dirinya di Ghardaia selepas bertelagah dengan pihak hospital membabitkan harga ubat dan dimasukkan ke hospital akibat melecur.

Pihak berkuasa Algeria berkata, setakat ini tujuh orang di tujuh bandar negara itu cedera atau mati akibat membakar diri, manakala seorang lelaki berusia 37 tahun di sempadan Tunisia meninggal dunia kerana membakar dirinya.

Di bandar Mascara, penduduk tempatan berjaya menghalang cubaan seorang peniaga ikan membakar dirinya.

Sementara itu, di Mauritania, seorang lelaki yang marah dengan kerajaan membakar diri di dalam keretanya di luar sebuah bangunan kerajaan di ibu negara itu Nouakchott.

Pegawai kementerian luar, Adbou Ould Sidi berkata polis mengejarkan Yacoub Ould Dahoud, 43, ke hospital berikutan kecederaan yang dialami. – AP

Sumber : Berita Harian 19/01/11

Bakar Diri, Natijah Sistem Kapitalisma

Tindakan bunuh diri dengan cara membakar diri mahupun dengan apa jua cara sekalipun merupakan satu perkara yang haram di sisi Islam. Tidak kiralah sama ada kita berada dalam tekanan pemerintah yang zalim mahupun tidak. Malahan tindakan bunuh diri ini merupakan salah satu dosa besar yang akan mencampakkan diri manusia ke dalam neraka. Nauzubillahi min zalik. Namun begitu, sekiranya kita telusuri, meningkatnya tindakan bunuh diri ini merupakan salah satu daripada pelbagai penyakit bawaan kapitalisme. Penerapan sistem ekonomi Kapitalisme yang hanya menguntungkan para penguasa dan golongan pemodal ini telah menyempitkan keadaan golongan bawahan dalam piramid masyarakat Kapitalis. 

Kapitalisme menganggap masyarakat sebagai sumber modal yang boleh dieksploitasi dan bukannya sebuah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pemerintah. Oleh itu, segala peraturan di dunia Kapitalis pastinya hanya berdasarkan manfaat serta keuntungan semata-mata dan bukannya berpaksikan redha Allah Sang Pencipta. Segala keperluan asas bagi umat seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan kemudahan asas seperti air, elektrik, pendidikan dan sebagainya dijadikan bahan niaga oleh pemerintah untuk dikaut keuntungannya daripada rakyat. Tidakkah pemimpin ini ingat akan sabda junjungan besar Nabi Muhammad SAW:

“Setiap kamu adalah pengembala dan setiap kamu diminta bertanggungjawab keatas gembalaannya. Maka seorang pemimpin yang memimpin orang ramai adalah pengembala yang diminta bertanggungjawab atas gembalaannya. Seorang suami adalah pengembala dalam keluarganya dan dia diminta bertanggungjawab atas gembalaannya. Isteri adalah pengembala dalam rumah suaminya, dan dia diminta bertanggungjawab atas gembalaannya. Hamba sahaya adalah gembala terhadap harta tuannya dan dia wajib bertanggungjawab atas jagaannya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan masing-masing kamu diminta pertanggungjawaban dalam pimpinannya.” [Riwayat Al-Bukhari & Muslim].

Ingatlah wahai pemimpin umat Islam! Kalian merupakan orang yang di amanahkan oleh Allah untuk mengatur urusan umat. Kalian mempunyai kekuasaan untuk menerapkan segala peraturan Allah di muka bumi Allah ini. Tidak takutkah kalian dikala kalian dibangkitkan di akhirat nanti, dan dihadapkan di hadapan Allah yang Maha Esa yang akan mengadili segala tindakan kalian menyempitkan keadaan rakyat? Mampukan kalian memberi alasan di hadapanNya sebagaimana di dunia ketika kalian memberi pelbagai alasan untuk tidak menerapkan hukum Allah? Bertaubatlah kalian dengan menerapkan hukum Allah sebelum Izrail datang memanggil kalian..