Krisis kebuluran di Madaya: Sampai bila umat ini akan berdiam diri?

krisis-kebuluran-di-madayaPenderitaan demi penderitaan dialami oleh umat Islam di Syria. Terbaru, kita digemparkan dengan kes kebuluran yang menimpa penduduk di perkampungan Madaya berhampiran Damascus yang dikepung oleh tentera rejim Syria. Kawasan yang dikuasai oleh penentang Basyar tersebut berada dalam kepungan tentera rejim sejak Julai tahun lalu dan berlarutan sehingga kini dan telah memaksa puluhan ribu mangsa yang terperangkap memakan daun-daun serta daging anjing dan kucing demi meneruskan kehidupan.

Badan kemanusiaan,MedicinsSansFrontieres melaporkan yang sekurang-kurangnya 23 orang pesakit yang berada di tempat berhampiran yang dikelolakan oleh badan tersebut telah meninggal akibat kebuluran sejak 1 Disember lalu [BBC.com]. Malangnya para pemimpin umat Islam yang teramat kaya raya yang hanya tinggal berjiran dengan Syria, tidak menghulurkan sebarang bantuan. Seluruh pemimpin dunia juga hanya menyaksikan kekejaman Bashar dan hanya berpeluk tubuh melihat kematian umat Islam saban hari di tangan diktator itu.

Perkampungan Madaya merupakan salah satu daripada kawasan yang dikepung oleh tentera yang setia kepada Bashar menerusi strategi perang penghausan (war of attrition) dalam menamatkan penentangan oleh para pejuang anti-Bashar.

Strategi jahat ini merupakan tambahan kepada serangan bom udara dan kekejaman-kekejaman lain yang dilakukan ke atas umat Islam di Syria oleh si Bashar yang sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kekuasaannya.

Lebih buruk, hal ini berlaku tatkala Amerika mencanangkan gencatan senjata yang telah pun dimeterai oleh sebahagian pihak. Hasil dukungan negara-negara inilah, Bashar masih terus dapat bertahan sehingga kini dan masih mampu melakukan pembunuhan demi pembunuhan. Manakala persidangan Riyadh yang penuh dengan pengkhianatan, membolehkan Bashar menarik nafas lega buat seketika, yang jika berjaya, akan menjadikan Syria sebuah negara sivil demokratik sekular.

Sesungguhnya amat besarlah dosa para pemimpin umat Islam yang tidak membantu warga Syria walhal mereka mampu melakukannya. Begitu juga dengan umat Islam amnya yang tidak berusaha untuk merubah keadaan buruk ini kepada keadaan yang lebih baik sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT. Jika pun kemampuan setiap individu Muslim untuk menyelamatkan Syria itu terbatas, namun setiap Muslim wajib berusaha untuk menegakkan kembali Negara Islam (Khilafah) yang satu hari nanti Insya Allah akan mengakhiri segala penderitaan warga Syria.

Inilah yang telah dilakukan oleh generasi awal Islam, di mana beberapa orang sahabat telah ditangkap, diseksa dan dibunuh oleh kafir Quraisy dan tidak ada sahabat yang dapat membantu mereka kecuali sedikit. Namun, kesemua sahabat berusaha bersama dengan Rasulullah dengan berdakwah bagi menegakkan negara sehingga akhirnya berjaya mendirikan Daulah Islam di Madinah yang seterusnya (dengan adanya negara) mereka dapat menyelamatkan semua kaum Muslimin yang tertindas.

Oleh yang demikian, inilah juga apa yang wajib kita lakukan dan haram untuk kita berdiam dengan hanya menyaksikan segala penderitaan yang ditanggung oleh saudara-saudara kita di seluruh dunia. Mereka yang meninggal kebuluran akan bangkit di akhirat dan akan meminta pertanggungjawaban ke atas kita. Apakah hujah yang akan kita berikan di mahkamah pengadilan Allah di akhirat kelak apabila mangsa-mangsa kezaliman Basharini menuntut hak mereka?

Sedarlah, bahawa kemelut di Syria ini tidak akan dapat diselesaikan melalui rencana yang dilakarkan oleh kuasa kuffar. Bahkan haram bagi kita untuk berdiam diri dan meredhai perancangan licik yang cuba dipaksakan ke atas umat Islam di sana kerana penyelesaian tersebut bukannya datang daripada Islam dan akan hanya membinasakan umat Islam, sekaligus cuba memadamkan aspirasi umat yang mendambakan kembalinya Khilafah sebenar yang berdiri di atas manhaj kenabian.