Krisis Kepimpinan dalam Kabinet: Natijah Politik Kepartian dan Demokrasi Sekular
Peletakan jawatan dua tokoh kanan kerajaan – Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) – dalam jangka masa yang hampir serentak menyingkap realiti rapuh sistem politik demokrasi kepartian yang diamalkan di negara ini.
Kedua-duanya mengambil keputusan berundur selepas mengalami kekalahan dalam pemilihan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan menyatakan bahawa kekalahan tersebut menjejaskan mandat politik mereka.
Peristiwa ini mencerminkan satu hakikat yang perlu difahami oleh umat Islam, bahawa kedudukan dan keputusan politik dalam sistem demokrasi bukanlah berlandaskan kepada amanah keilmuan, integriti dalam pengurusan, atau kelayakan untuk memimpin umat, sebaliknya, ia bergantung kepada populariti dalam kalangan ahli parti, undian majoriti, dan strategi untuk mendapatkan kuasa.
Walaupun dari satu sudut tindakan kedua-dua menteri ini mungkin dinilai sebagai tepat dan hero, tetapi dari sudut lain, kedua-dua mereka nampaknya gagal memahami dan membezakan antara sokongan dalam parti dengan tanggungjawab sebagai menteri. Dengan kata lain, mereka gagal membezakan antara populariti dalam parti dan tugas sebagai menteri. Ringkasnya, jika mereka merasa yang mereka masih mempunyai kelayakan dan kepakaran sebagai menteri, dan masih boleh berkhidmat kepada rakyat (sebagai seorang menteri), tidak ada sebab untuk mereka meletak jawatan.
Tindakan Rafizi dan Nik Nazmi untuk berundur selepas kalah dalam pemilihan parti hanya mengesahkan bahawa kepentingan parti dan kekuatan dalaman politik kepartian lebih dominan dan diutamakan daripada tanggungjawab sebenar mentadbir urusan rakyat dan negara.
Jika mereka merasa bahawa jawatan menteri itu adalah amanah untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat dan negara, maka mereka seharusnya tetap mempertahankan jawatan tersebut dan tidak bergantung kepada kedudukan atau sokongan dalam parti untuk mempertahan atau meletak jawatan (sebagai menteri).
Namun, begitulah hakikat kepartian dalam sebuah sistem demokrasi, inilah budaya yang wujud iaitu politik merupakan permainan kuasa, jawatan dan kedudukan, bukannya medan amanah dan perlaksanaan tanggungjawab yang hakiki. Jauh sekali untuk menjadi medan penerapan Islam!
Begitulah realitinya politik kepartian dalam sistem sekarang – sebuah sistem yang memisahkan agama dari kehidupan. Parti yang memerintah bukan sahaja tidak pernah menerapkan Islam, malah tidak pernah berfikir atau berusaha untuk menerapkan Islam pun. Mereka hanya mewarisi pemerintahan dan undang-undang yang diberikan oleh penjajah dari satu generasi ke satu generasi, dari satu kerajaan ke satu kerajaan, dari satu menteri ke satu menteri.
Segala dasar yang digubal dan keputusan yang dibuat bukanlah berdasarkan Islam mahupun kepentingan rakyat, tetapi berdasarkan maslahat duniawi yang berubah-ubah, mengikut kepentingan parti dan peribadi. Ramai menteri yang telah datang dan pergi, namun dasar sekular tetap menjadi acuan, tidak kira siapa yang memegang tampuk pemerintahan.
Politik Islam tidak mengenal konsep ‘parti yang memerintah’ sebagaimana kerangka demokrasi. Dalam sistem pemerintahan Islam (Khilafah), Khalifah dilantik bukan kerana partinya menang, tetapi kerana kelayakan syarie yang ada pada dirinya yang melayakkannya memegang amanah. Begitu juga Mu’awin (pembantu Khalifah) dan kesemua jawatan pemerintahan dan pentadbiran dalam negara, pelantikan mereka dibuat bukan berdasarkan parti atau sokongan mereka dalam parti, tetapi berdasarkan kelayakan mereka menjalankan amanah dan tanggungjawab melaksanakan hukum-hakam Allah.
Sebagai parti pemerintah, krisis kepimpinan yang berlaku dalam PKR ini sudah tentu memberi impak kepada rakyat dan negara. Justeru, umat Islam perlu membuka mata bahawa penyelesaian sebenar bukanlah dengan menggantikan menteri itu dan ini, kerana siapa pun yang memegang jawatan dalam kabinet dalam sistem demokrasi ini, semuanya hanyalah pelaksana kepada sistem dan undang-undang sekular warisan penjajah.
Sesungguhnya umat Islam memerlukan satu perubahan dasar dan menyeluruh – bukan hanya perubahan orang, dan ini hanya boleh direalisasikan dengan kembalinya sistem Khilafah Islamiyyah yang akan memerintah dengan syariat, yang dipimpin oleh orang yang memiliki kelayakan secara syarie, dan menjadikan politik sebagai ibadah, bukannya sebagai alat kuasa atau sebuah permainan.