Kuliah Petang Bersama Penduduk Di Batang Kali Anjuran Muslimah HTM

Pada 01 Ogos 2010, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah mengadakan satu kuliah petang bersama penduduk setempat di Batang Kali, Selangor.  Kuliah ini diadakan demi meneruskan usaha dan gerak kerja dakwah MHTM untuk mengajak umat Islam terutama golongan Muslimah, bersama-sama menyedari tentang tanggungjawab untuk mendalami tsaqafah Islam dan mempraktikkannya di dalam kehidupan seharian.

Kuliah ini dimulakan pada jam 5.00petang selama sejam dengan membawakan perbincangan umum yang bertajuk “Membina Keluarga Islam”.  Penceramah yang dijemput khas dari Kuala Lumpur, iaitu Ustazah Ummu Najahah telah memulakan bicara beliau dengan menekankan sepotong hadis Rasulullah SAW untuk direnungi bersama yang bermaksud “Menuntut ilmu itu adalah satu kefardhuan(wajib)”.  Ustazah Ummu telah menyeru kepada hadirat untuk meneruskan momentum dan semangat yang ditunjukkan pada hari itu dalam pencarian ilmu seperti yang dituntut oleh Rasulullah SAW.

Pembentangan diteruskan dengan kupasan oleh Ustazah Ummu tentang ciri-ciri keluarga Islam yang dimaksudkan dan bagaimana Islam melandaskan pengertian tersebut.  Secara ringkasnya, sebuah keluarga Islam seharusnya dimulai dengan memilih pasangan berdasarkan saranan Rasulullah SAW dan seterusnya pernikahan diikat berlandaskan tuntutan Islam. Zuriat yang dikurniakan oleh Allah SWT kemudiannya dibina akidah Islamnya supaya mendarah daging di dalam diri anak-anak dan segala permasalahan di dalam sebuah keluarga diselesaikan dengan merujuk kepada Syariat Allah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai asasnya.

Majlis diakhiri dengan jamuan ringan sambil dihidangkan dengan bahan-bahan pameran berkaitan hukum yang terkait dengan wanita di dalam  Islam. Dikesempatan ini, MHTM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga penduduk di Batang Kali yang sudi memberikan ruang untuk MHTM mengadakan kuliah dan juga syabas kepada jawatankuasa yang bertungkus lumus membuat persiapan demi memastikan kelancaran program tersebut.  Semoga amal bakti tersebut di redhai Allah dan mendapat ganjaran pahala di akhirat kelak. 
Wallahu alam.