Lailatul Qadar: Malam yang ditunggu
Bulan Ramadan adalah bulan mulia yang ditunggu-tunggu oleh orang-orang yang beriman. Kini kita telah pun memasuki fasa sepuluh malam terakhir dalam bulan yang mulia ini. Antara keistimewaan bulan Ramadan adalah hadirnya suatu malam yang penuh keberkatan iaitu Lailatul Qadar (malam kemuliaan). Malam al-Qadar dicatatkan dalam al-Quran dalam surah al-Qadar;
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (۱) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (۲) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (۳) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (۴) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (۵)
“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar” [Al-Qadar (97): 1-5].
Dalam ayat yang lain, Allah (swt) menerangkan;
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ
“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah” [Ad-Dukhan (44): 3-4].
Manakala dalam sebuah hadis, Rasulullah (saw) menjelaskan;
عَنِ بْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:لَيْلَةُ القَدْرِ لَيْلَةٌ سَمْحَةٌ طَلِقَةٌ لاَ حَارَّةٌ وَلاَ بَارِدَةٌ تُصْبِحُ الشَّمْسُ صَبِيحَتَهَا ضَعِيفَةً حَمْرَاءَ
Dari Ibnu Abbas (ra) ia berkata: Rasullullah (saw) bersabda: “Lailatul qadar adalah malam yang tenang, tidak panas dan tidak dingin. Pagi harinya matahari teduh dan berwarna merah tidak terang” [HR. Abu Daud, at-Thayalisy].
Keistimewaan Lailatul Qadar
Rasulullah (saw) bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barang siapa yang mendirikan (solat) pada malam al-Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang lalu” [HR Bukhari dan Muslim].
Dalam hadis lain, Rasulullah (saw) bersabda;
مَنْ قَامَ بِعَشْرِ آيَاتٍ لَمْ يُكْتَبْ مِنْ الْغَافِلِينَ
“Barang siapa yang bangun (berqiamullail) dengan membaca 10 ayat, maka tidak akan dicatat baginya sebagai seorang yang ghafilin (lalai)” [HR Abu Daud].
Menggapai Lailatul Qadar
Banyak hadis yang membicarakan tentang Lailatul Qadar, dan cara Rasulullah (saw) mengharunginya. Pesan Rasulullah (saw);
اِلْتَمِسُوْهَا فِي الْعَشْرِ الآوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ.
“Carilah Lailatul Qadar di sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadhan” [HR. Bukhari].
Sudah pasti cara terbaik untuk kita menggapai Lailatul Qadar adalah dengan mengikut baginda (saw). Antara amalan Rasulullah (saw) ketika 10 malam terakhir ialah:
1. Menghidupkan Malam
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ أَحْيَا اللَّيْلَ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ
“Apabila telah masuk sepuluh hari terakhir (Ramadhan), maka Rasululah (saw) menghabiskan malam (untuk solat dan ibadah lainnya), membangunkan keluarganya (untuk tujuan yang sama), dan baginda bersungguh dalam beribadah melebihi biasanya, serta mengetatkan sarungnya (menjauhi isteri untuk beribadah)” [HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad].
2. Beriktikaf
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَعْتَكِفُ العَشْرَ اْلأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ الله تَعَالَى، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِه
“Sesungguhnya Nabi (saw) melakukan i’tikaf di sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan sehinggalah Allah (swt) mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda juga melakukan i’tikaf setelah kewafatan baginda” [HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i dan Ahmad].
3. Memperbanyak doa dengan memohon keampunan
عَنِ بْنِ بُرَيْدَةَ قَالَ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا نَبِيَّ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ قَالَ تَقُولِينَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Dari Ibnu Buraidah ia berkata: Aisyah (ra) berkata: “Ya Nabi Allah, bagaimana pendapatmu jika aku menjumpai malam al-Qadar, maka apakah yang aku ucapkan?”. Baginda menjawab, ‘Ucapkanlah Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang-orang yang memohon ampun, maka ampunilah daku’” [HR. Ahmad]
Justeru, ayuh kita sama-sama meningkatkan ibadah di hujung Ramadan ini dan tinggalkan segala perkara-perkara yang lagha (melalaikan). Sesungguhnya kita tidak pasti samada akan bertemu lagi dengan Ramadan yang akan datang.
Namun, perlu diingat bahawa usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah (taqarub ilallah) bukan sekadar dengan melakukan amalan sunat, tetapi meliputi semua aspek amalan dengan melakukan segala yang Allah wajibkan dan meninggalkan segala yang Dia haramkan.
Bagi individu, perhatikan sejauh mana kita telah meninggalkan riba, mengumpat, memfitnah, mencaci-maki sesama Muslim, melakukan muhasabah kepada saudara-saudara kita dan yang lebih besar lagi melakukan muhasabah kepada pemerintah? Sejauh mana kita telah berusaha untuk menerapkan hukum Allah dan menghapuskan sistem yang batil yang ada pada hari ini?
Manakala untuk pemerintah, perhatikanlah sejauh mana kalian telah dan sedang bergelumang dengan dosa dan keharaman dengan menerapkan sistem kufur dan mempertahankannya, menerapkan sistem ribawi dan mempertahankannya; sejauh mana kalian telah melakukan penyelewengan dalam pemerintahan, memakan rasuah, “merompak” kekayaan negara, merampas hak-kak umat, menzalimi rakyat, membiarkan kilang-kilang arak dan judi beroperasi; membiarkan saudara-saudara kalian dibunuh dan ditindas di pelbagai belahan dunia?
Bagaimana mungkin untuk seseorang itu ingin menggapai takwa dan ingin mencari keampunan Allah di malam al-Qadar, jika ia dalam masa yang sama masih terus bergelumang dengan segala macam keharaman dan memaksiati Allah (swt) tanpa ada sedikit pun rasa kesal atau mahu bertaubat?
Akhir sekali, semoga kita menjadi seorang Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah di sepanjang masa, dan bukan hanya menjadi Muslim Ramadhiyyun (Muslim yang mengejar amalan di bulan Ramadan sahaja).
Wallahu a’lam.