Laporan Forum Solidariti Muslimah Untuk Syria (Sandakan)

20130922_12303622 September 2013, Sandakan – Krisis Syria yang mulai meletus pada Mac 2011 telah berlanjutan lebih dari dua tahun. Krisis ini juga mengakibatkan ribuan umat Islam, khususnya kanak-kanak dan wanita menjadi korban Presiden Basyar Al-Assad Laknatullah, selain puluhan ribu terpaksa menjadi pelarian yang tidak terbela di negara-negara jiran. Atas kesedaran ini, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM), cawangan Sandakan telah menganjurkan Forum Solidariti Muslimah Untuk Syria dengan mengangkat tema “Realiti, analisis dan agenda Amerika di sebalik krisis”, yang telah berlangsung pada 22 September (Ahad), bertempat di Bilik Seminar, Tuaran Spoon Rest, Bandar Maju, Sandakan.  Forum ini  menampilkan Ukhti Masyitah sebagai moderator, serta Ustazah Aisyah Rahmat (Ketua MHTM) dan Dr Insyirah Ameer sebagai panelis. Alhamdulillah, biarpun menerima gangguan dari pihak-pihak tertentu, forum ini berjalan lancar dan mendapat sambutan dari kalangan masyarakah seluruh Sandakan.

Forum terbahagi kepada dua pusingan . Soalan-soalan di pusingan pertama berkisar mengenai realiti krisis, analisis dan strategi penglibatan AS di Syria sepanjang krisis. Realiti kekejaman rejim Assad ini sangat disedari oleh masyarakat dunia. Sayangnya, tidak ramai dari umat Islam yang menganalisis krisis ini dari sisi politik Islam yang benar, sehingga menganggap musuh umat Islam terfokus pada sosok sang presiden Syria dan regimnya. Hakikatnya, ramai yang terlepas pandang bahawa musuh dan dalang di sebalik krisis Syria dan krisis-krisis umat Islam lainnya adalah diketuai oleh Amerika Syarikat, negara-negara sekutu, serta regim boneka yang ditaja AS selama ini. Tujuannya tidak lain adalah untuk meneruskan agenda hegemoni ideologi kapitalisme ke atas umat Islam.

Forum diteruskan dengan pusingan kedua selepas waktu rehat. Soalan di pusingan kedua forum berkisar mengenai punca dan penyelesaian kepada krisis-krisis umat Islam di seluruh dunia. Secara umum, terpecahnya umat Islam kepada serpihan negeri-negeri lemah yang kecil menjelang era kejatuhan Daulah Khilafah Utsmaniah menjadi faktor internal utama yang menyumbang kepada kelemahan umat Islam, selain kemunduran pemikiran dan tsaqafah umat . Di samping itu, faktor eksternal seperti pelbagai makar yang dijalankan oleh puak kuffar barat sama ada secara langsung atau melalui rejim boneka mereka untuk mengekalkan cengkaman ke atas tanah umat Islam, terus berlanjutan sehingga ke hari ini. Penerapan idea sekular-kapitalisme seperti demokrasi dan hak asasi manusia pula menyebabkan umat Islam semakin jauh daripada ajaran Islam yang sebenar.

Forum diteruskan dengan slot soaljawab yang mendapat sambutan dan respon hangat dari para peserta. Hampir keseluruhan peserta bersetuju bahawa Amerika adalah musuh umat Islam yang nyata dan para pemimpin boneka umat Islam yang selama ini menjadi tali barut AS wajar untuk digantikan dengan pemerintah yang menerapkan syariah dan melaksanakan hukum Islam secara kaffah. Peserta forum juga berkesempatan untuk menandatangani borang Kempen Tolak Obama sebagai tanda penolakan kepada kehadiran Presiden Barack Obama November nanti.

MHTM mengucapkan terima kasih kepada para peserta dan pihak keselamatan yang hadir pada program kali ini. Semoga Allah SWT melimpahkan hidayah dan petunjukNya serta menjadikan kita hamba-hambaNya yang terpilih untuk memperjuangkan tertegaknya Khilafah Rashidah kedua kalinya. Sebelum peserta bersurai mereka yang datang mengambil peluang melihat bahan pameran yang disediakan oleh pihak MHTM cawangan Sandakan.

Wallahua’lam  bissowab.