Larangan Bagi Wanita Menyandang Jawatan Pemerintahan Dalam Islam

Penulis : Syafinaz Safar

Syariat Islam secara umumnya menetapkan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh lelaki dan wanita adalah sama tanpa ada pembezaan. Potensi akal pada lelaki dan wanita juga berada pada kapasiti yang sama. Namun, terdapat beberapa aktiviti yang dibezakan oleh syarak sesuai dengan ciri-ciri kemanusiaan setiap jantina tersebut. Aktiviti-aktiviti tersebut datang bersama tanggungjawab dan kewajipan yang akan ditanya kelak. Ini adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada ciptaan-Nya dan bukan menunjukkan ketidaksetaraan jantina dalam Islam.

Menurut hukum Islam, wanita dilarang menduduki jawatan pemerintahan. Hal ini disebabkan oleh beberapa dalil naqli yang jelas melarangnya. Wanita tidak dibenarkan menjadi ketua negara (Khalifah), mu’awin (pembantu) Khalifah, Wali (gabenor), ‘amil (Datuk Bandar/ ketua daerah) atau jawatan pemerintahan yang lain. Larangan ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang melarang keras wanita daripada memegang urusan pemerintahan,

“Ketika sampai berita kepada Rasulullah SAW bahawa penduduk Parsi telah mengangkat puteri Kisra sebagai ratu mereka, Rasulullah SAW lalu bersabda:

لن يفلح قوم ولّوا أمرهم امرأة

“Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada seorang wanita.” [HR al-Bukhârî]

Allah SWT sebagai Waliyul-Amri (pemegang urusan pemerintahan) berfirman:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اَطِيْعُوا اللّٰهَ وَاَطِيْعُوا الرَّسُوْلَ وَاُولِى الْاَمْرِ مِنْكُمْۚ

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu.” [TMQ an-Nisâ’ (4): 59]

Oleh itu, wanita dilarang menjadi pemimpin dan memegang jawatan pemerintahan. Namun, wanita dibenarkan menjadi pegawai negara yang tidak terlibat dalam urusan pemerintahan. Manakala bagi jawatan qadhi, wanita dibenarkan menjadi qadhi atau hakim dalam sistem perundangan dan kehakiman tetapi hanya terhad menjadi qadhi hisbah (muhtasib) dan qadhi biasa sahaja. Wanita dilarang dan diharamkan menjadi qadhi mazhalim. Ini kerana, perbicaraan di Mahkamah Mazhalim berkait rapat dengan hal-hal pemerintahan dan bukan perbicaraan kes-kes biasa. Tambahan pula, tujuan utama perbicaraan di Mahkamah Mazhalim adalah untuk menghilangkan kezaliman penguasa atau pemerintah terhadap rakyat dan tidak memerlukan pihak yang dituntut. Maka, wanita dilarang menjadi qadhi mazhalim.

Jawatan Khalifah, mu’awin Khalifah, Wali dan ‘amil adalah jawatan yang berkait rapat dengan pemerintahan dan pelaksana hukum syariah. Tugas Khalifah atau Wali adalah menerapkan hukum secara langsung sama ada terdapat perkara yang diadukan kepadanya atau tidak. Mereka boleh mengadili kes-kes pelanggaran hukum syariah tanpa adanya aduan dan menjatuhkan hukuman kepada pelanggar tersebut. Selain itu, mereka boleh membuat keputusan di mana-mana sahaja tanpa memerlukan sidang mahkamah tertentu dan umat diwajibkan untuk mentaatinya dalam semua keadaan.

Berbeza dengan qadhi hisbah dan qadhi biasa yang hanya boleh membuat keputusan dalam kes-kes yang diadukan sahaja. Selain itu, keputusan seorang qadhi hanya dianggap sebagai hukum yang diputuskan jika dilakukan dalam sidang mahkamah. Jika qadhi melihat atau mendengar sesuatu peristiwa di luar mahkamah, beliau tidak boleh membuat keputusan berdasarkan penglihatan atau pendengarannya sahaja. Ini kerana mereka tidak mempunyai kuasa atau autoriti ke atas sesiapa kecuali jika ada orang yang mengadukan perlanggaran hukum syariah, dan qadhi kemudian memutuskan perkara tersebut di mahkamah. Selain itu, qadhi  tidak mempunyai kuasa ke atas penduduk di kawasan tempat beliau menjadi qadhi, jadi umat tidak wajib mentaatinya tetapi wajib mematuhi keputusan hukumannya apabila beliau memutuskan dalam sesuatu perkara. Ini kerana keputusan qadhi merupakan hukum syarak yang wajib dipatuhi, tetapi bukan kerana kedudukannya sebagai qadhi. Beliau juga tidak mempunyai kuasa terhadap individu yang bertikai tersebut.

Keadaan ini disebabkan oleh qadhi adalah pegawai negara yang bekerja dalam bidang pengadilan warganegara dan diberi upah oleh Baitul Mal, yang setara dengan khidmat mereka. Dalam hal ini, wanita boleh menjadi qadhi kerana jawatan ini bukanlah jawatan pemerintah tetapi bertugas sebagai pemutus persengketaan dan menyatakan hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan kesalahan tersebut. Selain itu, tugas mereka juga adalah meneliti dan mengkaji fakta permasalahan antara pihak yang bersengketa serta menjelaskan hukum-hukum syarak secara mutlak jika tidak ada hukum yang telah ditabanni oleh Khalifah. Ketika seorang qadhi membicarakan kes, beliau hanya menyatakan hukum syarak yang terpakai dalam kes tersebut dan tidak berkuasa untuk melaksanakan keputusan hukum tersebut kerana hanya pemerintah sahaja yang boleh berbuat sedemikian.

Oleh itu, wanita boleh bekerja sebagai qadhi tetapi terhad kepada qadhi hisbah atau qadhi biasa sahaja kerana jawatan tersebut tidak melibatkan bidang pemerintahan dan terdapat dalil-dalil yang menyatakan keadaan tersebut. Wallahua’lam.