Laungan Assobiyyah
“Sewaktu Kongres Muafakat Melayu tahun lalu, kita ingatkan UMNO jangan layan permintaan bukan-bukan, sekarang UMNO berdepan tuntutan dari pelbagai sudut. UMNO kena tegas, kalau ada komponen ancam keluar Barisan Nasional (BN) sekalipun, UMNO jangan layan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini berhubung harapan pelbagai pihak yang mahu melihat Melayu bangkit mempertahankan kedudukan berikutan situasi politik semasa yang banyak merugikan Melayu. Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, umat Melayu negara ini pasti akan kuat sekiranya kedua-dua parti itu dapat bersatu padu.
“Sejak saya berada di Biro Tata Negara (BTN) dulu, kita dah suarakan harapan ini. Mengenai tuntutan bukan Melayu, pada saya, mana yang berpatutan itu masih boleh namun dalam kita melayannya, semangat juang jangan luntur, ini perlu kita nak tanam kepada generasi muda. Golongan tua pula jangan sesekali leka. Jadi pemikiran mesti lebih bernas dalam memperjuangkan hak kita,” ujarnya.
Sumber : Utusan Malaysia, 16/4/09
Lag-lagi Laungan Assobiyyah
Kebimbangan yang disuarakan oleh pejuang-pejuang Melayu di atas sebenarnya berasal daripada naluri yang telah wujud di dalam diri seseorang manusia sejak ia dilahirkan. Naluri seperti ini dikenali sebagai gharizatul baqa’. Salah satu naluri yang termasuk di dalam gharizatul baqa’ ini adalah naluri untuk mempertahankan diri atau kaum apabila menghadapi sesuatu ancaman luar. Dari sinilah munculnya semangat ingin memperjuangkan kaum. Kerap-kali berlaku kaum yang berkuasa tidak berlaku adil kepada kaum-kaum lain yang berada di bawahnya. Disebabkan itulah perpecahan yang sedang berlaku di kalangan orang-orang melayu pada ketika ini menjadi kebimbangan para pejuang bangsa melayu kerana khuatir kekuasaan negara jatuh ke tangan bangsa lain lalu hak dan nasib mereka serta anak-cucu mereka kelak akan dinafikan. Persoalannya adalah; adakah usaha tersebut dilakukan di atas landasan yang betul?
Perasaan takut dan bimbang di kalangan para pejuang bangsa melayu tentang nasib dan hak mereka kalau-kalau kaum lain berkuasa itu muncul daripada naluri mereka sebagai seorang manusia ia bersifat tabii. Namun, perasaaan tersebut mestilah ditundukkan dengan syariat Islam. Ini adalah kerana syariat Islam diturunkan untuk mengatur pemenuhan naluri manusia. Sentimen perkauman dan perjuangan yang diasaskan kepada kaum adalah haram di sisi Islam. Bahkan, perjuangan seperti inilah yang telah dipergunakan oleh British semasa mereka meruntuhkan Daulah Khilafah dan terus menggunakannya untuk memecahbelahkan umat Islam sehingga ke saat ini. Justeru, mengapa para pejuang bangsa itu masih mahu menjadikan agenda perkauman sebagai asas perjuangan? Mengapakah mereka tidak melaungkan perjuangan untuk menegakkan Islam secara syumul? Padahal itulah perjuangan sebenar yang mesti dilaungkan. Adakah mereka jahil atau berpura-pura jahil kerana menyembunyikan sesuatu?
Para pejuang bangsa melayu mesti menjadikan Islam sebagai asas dan matlamat perjuangan mereka dan ianya bukan suatu pilihan tetapi kewajiban yang mesti dilaksanakan. Islam secara jelas mewajibkan umatnya bersatu-padu sebagai satu umat yang mempunyai kesatuan aqidah di bawah satu sistem pemerintahan. Firman Allah SWT: “dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara” [TMQ Ali ‘Imran (3) : 103]. Ayat ini menjadi hujah bahawa ikatan yang sah di antara umat Islam itu adalah ikatan mabda Islam. Iaitu mereka diikat oleh peraturan-peraturan Islam dan bukannya ikatan perkauman atau selainnya. Hanya apabila Islam ditegakkan, tidak akan muncul lagi perasaan bimbang atau khuatir tentang hak dan nasib setiap individu, kaum atau bangsanya.