Layakkah Ambiga menjadi Peguam Negara?

Berita:

Badan Peguam Malaysia memberikan menyokong Datuk S Ambiga untuk dilantik sebagai peguam negara yang baru menggantikan Tan Sri Apandi Ali. “Jika Ambiga dilantik sebagai AG baru, beliau akan pastikan jabatan itu bebas dari pengaruh dan campur tangan politik,” katanya kepada Malaysiakini.
AG juga, katanya, harus bebas dari pengaruh mana-mana kaum, agama dan jantina. [Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/424787]

Komentar:

Semenjak Pakatan Harapan memenangi pilihan raya yang lalu, rakyat rata-rata mula berteka-teki siapakah yang akan memegang jawatan penting dalam kerajaan. Beberapa pihak yang memegang jawatan penting dalam jentera perkhidmatan awam telah digugurkan dan dijangka lebih ramai lagi yang akan menyusul. Antara yang dijangka akan digantikan termasuklah Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang dilantik menjadi Peguam Negara semasa pentadbiran Najib. Kini Apandi telah diarahkan bercuti tanpa rekod sehingga 14 Jun dan tugasnya diambil alih buat sementara waktu oleh Peguam Cara Negara. Sehubungan itu, Badan Peguam Malaysia telah mencadangkan agar Datuk S Ambiga dilantik untuk memegang jawatan tersebut. Beliau dikatakan memenuhi kriteria untuk jawatan tersebut dan diyakini berkemampuan dalam memastikan jabatan tersebut bebas daripada pengaruh dan campur tangan politik.

Jika diteliti latar belakang Datuk S Ambiga, kita akan dapati beliau seorang pejuang hak asasi manusia yang lantang bersuara. Ambiga juga merupakan individu yang cuba menegakkan dasar toleransi atau kesetaraan agama di Malaysia dan merupakan peguam bela dalam kes Lina Joy (isu murtad). Ambiga juga mempertikaikan undang-undang syariah di bawah “Bab Perkara Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan”, dengan alasan bahawa Islam tidak berbeza dengan agama lain di bawah undang-undang Malaysia.

Sebagai seorang Muslim, menjadi persoalan kepada kita apakah individu seperti ini yang hendak kita harapkan untuk menjaga institusi perundangan negara? Sungguh malang nasib umat Islam di Malaysia sekiranya perkara ini benar-benar terjadi berdasarkan rekod Ambiga yang pernah membela Lina Joy di mahkamah, serta pendiriannya berhubung kedudukan syariah di negara ini. Apakah orang seperti ini berhak dan layak untuk dilantik menjadi Peguam Negara?

Allah SWT telah memberi amaran agar orang-orang Mukmin tidak memilih orang kafir sebagai pelindung sepertimana firman-Nya:

لَّا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَن تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ ۗ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali” [TMQ Ali Imran (3) : 28].

Dalam pada itu, kita bukan hanya mendesak agar Ambiga tidak dilantik menjadi Peguam Negara, bahkan kita juga mendesak agar sistem kufur yang diterapkan di negara ini digantikan dengan sistem Islam yang meletakkan hukum Allah pada kedudukan yang tertinggi. Tanpa sistem yang benar-benar mendaulatkan hukum Allah, tidak mustahil satu demi satu kemungkaran dan kerosakan akidah umat Islam akan berleluasa. Bahkan kebebasan berakidah juga merupakan salah satu tunjang sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini dan melaluinya jugalah kelompok-kelompok liberal dan musuh-musuh Islam mempunyai ruang untuk menguasai kedudukan-kedudukan penting dalam institusi kenegaraan dan menyuburkan lagi idea-idea kebebasan yang rosak lagi merosakkan di negara ini.

Ibnu Shams
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia