Lebih 300 padati seminar ASWAJA
SANDAKAN 23 Feb – “Setelah 63 tahun hidup, barulah hari ini saya memahami siapakah Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang sebenar. Terima kasih kepada Hizbut Tahrir Malaysia yang telah memberikan pencerahan dalam seminar ini” ujar En. Amir Kassan, sebelum beliau melontar soalan semasa sesi soal jawab kepada ahli panel dalam seminar bertajuk “Siapakah Ahlu Sunnah Wal Jamaah Yang Sebenar?”, di sini, hari ini.
Seminar anjuran Khilafah Centre dengan kerjasama Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) ini berlangsung di Grand Ball Room, Hotel Sandakan dengan tiga orang ahli panel iaitu Ust Umar Hussein, Ust Syahril Anwar dan Ust Abdul Hakim Othman. Lebih 300 orang Muslimin dan Muslimat sekitar Sandakan menghadiri seminar ini hingga ada yang terpaksa berdiri kerana kekurangan tempat duduk.
Dalam pembentangan pertama, Umar Hussein yang juga pimpinan pusat HTM menjelaskan tentang sejarah kemunculan Mutakallimin dan perdebatan-perdebatan mereka sehingga menimbulkan perpecahan pendapat yang dahsyat di kalangan umat Islam sejak dulu hingga kini.
Manakala Syahril Anwar, salah seorang aktivis HTM di Sandakan, meneruskan dengan pembentangan kedua dengan menjelaskan secara terperinci maksud hadis perpecahan umat Islam kepada 73 firqah. Pembahasannya yang dipadati dengan nas Al-Quran dan Al-Hadis telah memaku peserta kepada keseluruhan slide yang dibentangkan.
Majlis diteruskan dengan pembentangan terakhir oleh Abdul Hakim dengan menjelaskan ciri-ciri sebenar Ahlu Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Hakim yang juga Ketua Maktab I’lami HTM memukau hadhirin dengan penjernihan makna sebenar Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang harus difahami tanpa pengaruh Mutakallimin.
Daripada borang kaji selidik yang diserahkan di akhir seminar, rata-rata hadhirin amat berpuas hati dengan seminar ini kerana membawa mereka memahami siapakah Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang sebenar sebagaimana yang dimaksud di dalam hadis Rasulullah SAW di dalam hadis baginda.
Majlis berakhir sekitar jam 12.15 tengah hari dengan bacaan doa.