Lompat katak sentiasa relevan dan dialu-alukan dalam kubangan politik demokrasi

Sidang media Najib baru-baru ini mengundang pelbagai spekulasi apabila Presiden UMNO itu tidak mengumumkan tujuannya. Namun ia akhirnya mengundang kritikan apabila sidang media tersebut dibuat hanya untuk mengumumkan kembalinya Tan Sri Muhammad bin Mohd Taib ke pangkuan parti yang semakin rapuh, UMNO.

Kembalinya bekas Menteri Besar Selangor itu ke dakapan UMNO bukanlah suatu yang besar sehingga kecoh seluruh media dan juga pembesar-pembesar UMNO dibuatnya. Kerana itulah ramai ahli politik khususnya pembangkang yang menyindir dan memperlekehkan tindakan Najib yang dilihat sengaja ingin menarik perhatian ini.

Tan Sri Muhammad atau sering dijolok dengan gelaran Mike Tyson sebelum ini menyertai PKR, setelah sebelumnya menyertai PAS kerana kecewa dengan UMNO. Veteran UMNO ini ternyata seorang yang tidak mempunyai pendirian apabila kembali semula ke pangkuan UMNO. Siapa pun politikus jenis lompat katak ini sebenarnya merupakan politikus pragmatik yang tidak ada idealisme perjuangan. Di mana ada manfaat di situ ada dia, itulah sifirnya.

Justifikasi Muhammad untuk kembali kepada UMNO sebenarnya sangat lemah dan tindakannya hanya dilihat sebagai menjilat kahak sendiri. Alasan agenda Melayu yang diberikannya hanya menunjukkan yang parti lamanya ini tidak pernah berjaya membela nasib orang-orang Melayu, walhal mereka (UMNO) sudah 60 tahun memerintah Malaysia dan mempunyai kuasa politik mutlak. Semua orang tahu yang UMNO memang sengaja tidak mahu berbuat demikian, agar UMNO dilihat sentiasa relevan untuk membela orang-orang Melayu!

Lompat katak adalah sesuatu yang sering terjadi dalam kubangan politik demokrasi dan boleh diterima dengan baik, malah sentiasa dialu-alukan, khususnya oleh parti yang dilompatnya. Ini kerana asas manfaat menjadi penentu bagi setiap tindakan para politikus dan parti politik. Di mana ada manfaat di situ ada politikus. Hari ini jadi musuh, esok jadi kawan. Esok jadi kawan, lusa jadi musuh. Lusa jadi musuh, tulat jadi kawan semula dan begitulah perkara yang memualkan ini terus berulang dalam sebuah sistem yang juga memualkan bernama demokrasi!

Apa yang lebih memualkan ialah ‘perangai’ parti politik yang telah ‘dikencing’ oleh si katak lompat tadi yang tidak pernah sedar akan kitaran keburukan ini. Semasa si katak melompat ke parti A, maka parti A akan memujinya habis-habisan. Apabila si katak melompat ke parti B, maka parti B pula akan memujinya habis-habisan. Si katak akan mengutuk parti A dan parti A akan mengutuk si katak. Apabila si katak melompat ke parti C, maka parti C akan memujinya habis-habisan. Si katak akan mengutuk parti A dan B, dan parti A dan B akan mengutuk si katak. Apabila si katak kembali semula ke parti A, maka parti A akan memujinya kembali dan begitulah drama politik Machiavelli ini berulang siaran tanpa kesudahan dalam panggung demokrasi yang busuk ini.

Seorang ahli politik Muslim ialah orang yang mempunyai idealisme perjuangan dan segala tindakannya bukan kerana manfaat, tetapi kerana kewajipan dan kebenaran Islam yang dipikulnya. Setiap ahli politik Muslim wajib menjadikan Islam sebagai acuan bagi seluruh kegiatan dan tindakannya. Parti politik merupakan wadah untuk setiap Muslim berjuang menegakkan Islam, bukan berjuang untuk kepentingan kaum atau bangsanya, apatah lagi untuk dirinya sendiri. Dengan cara ini sahajalah seseorang ahli politik itu akan dilihat mempunyai maruah dalam perjuangannya di dunia, dan akan menyelamatkannya di Akhirat.