Mahathir patut malu kerana gagal tunaikan amanah menjamin hak pendidikan percuma

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir baru-baru ini menyatakan rasa malu terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak menjelaskan hutang mereka. Menurutnya lagi, sikap tidak amanah peminjam menjadi punca jumlah tunggakan hutang bayaran balik PTPTN menjangkau sehingga RM36 bilion [Utusan Online,20/9/2018].

Kenyataan sebegini pastinya menyemarakkan lagi kemarahan segelintir pihak yang sudah semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan Pakatan Harapan, kerana sebelum ini kerajaan ini jugalah yang memadam senarai hitam peminjam dan berjanji untuk menangguhkan pembayaran hutang bagi peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM4,000. Kini, janji tersebut hanya tinggal janji, apabila kerajaan tanpa rasa malu memberikan alasan ‘hutang negara berjumlah RM1 trilion’ sebagai alasan mengapa janji tersebut tidak dapat ditunaikan buat masa ini.

Benar, sudah menjadi kewajipan bagi seseorang yang berhutang untuk melangsaikan hutangnya. Tetapi kita tidak sewajarnya sekadar melihat hal ini dari sudut kewajipan menunaikan hutang semata-mata. Mahathir bercakap soal amanah dalam melangsaikan hutang, namun bagaimana pula dengan amanahnya sebagai pemerintah dalam menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya?

Pendidikan merupakan salah satu keperluan asas yang menjadi hak untuk dinikmati oleh seluruh manusia. Lebih-lebih lagi, menuntut ilmu merupakan satu kewajipan ke atas setiap individu Muslim, sebagaimana maksud hadis berikut; “Menuntut ilmu wajib bagi setiap Muslim,” [HR Ibnu Adi dan Baihaqi].

Menurut Islam, negara berkewajipan menyediakan infrastruktur dan keperluan yang terbaik dalam bidang pendidikan, serta menanggung sepenuhnya perbelanjaannya. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah SAW, “Imam (ketua negara) adalah pemelihara, dan dia bertanggungjawab terhadap pemeliharaannya,” [HR Ahmad, Syaikhan, Tirmizi, Abu Daud dari Ibnu Umar]. Sudah semestinya negara bertanggungjawab memudahkan warganya untuk menunaikan kewajipan tersebut. Jikalau didapati kekayaan negara tidak mencukupi dalam hal ini, maka negara berhak untuk membuat kutipan dana sekadarnya daripada kaum Muslimin untuk membiayai keperluan ini [Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimatu ad-Dustur, hal. 364-370].

Sesungguhnya, pendidikan percuma bukanlah suatu fantasi yang mustahil untuk dicapai. Bahkan boleh dicapai sekiranya tiada ketirisan dan pembaziran dalam tadbir urus negara. Malangnya, dalam sistem sekular-kapitalis yang diterapkan hari ini, pendidikan bukan lagi menjadi tanggungjawab negara untuk menyediakannya secara percuma, bahkan penuntut-penuntut ilmu dibebankan pula dengan hutang. Justeru tidak menghairankan jika pemerintah langsung tidak berasa malu kerana gagal melaksanakan kewajipan menyediakan pendidikan percuma pada hari ini. Lebih teruk lagi, pinjaman tersebut malah mengandungi unsur ribawi (yang cuba disembunyikan dengan istilah tertentu bagi menghalalkannya), sedangkan ia jelas diharamkan menurut Islam.

Muhammad Fauzi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia