Malamnya Cintakan Rasul Siangnya Menentang Rasul

muhyiddinMungkin kata-kata ini agak keterlaluan. Tetapi inilah hakikat dan kenyataannya. Adakah cukup sekadar bagi Muhyiddin menghadiri majlis sambutan ‘Malam Cinta Rasul’ yang dipenuhi dengan alunan qasidah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, tetapi pada masa yang sama, sebagai orang nombor dua paling berkuasa di Malaysia, beliau tetap tegar bersama-sama dengan Najib untuk terus menolak sunnah Nabi daripada diterapkan dalam seluruh aspek pemerintahan. Faktanya, Malaysia pada saat ini terus membakul sampahkan hukum-hakam Al-Quran dan As-Sunnah dalam mengatur kehidupan bernegara dan bermasyarakat.

Adakah cukup dengan kita sekadar meluahkan di bibir bahawa kita cintakan Rasul, tetapi dalam masa yang sama sunnah-sunnah Nabi Muhammad SAW yang wajib hukumnya kita abaikan? Bukankah itu menunjukkan bahawa kita sedang berpura-pura dan mempermainkan baginda SAW? Bukankah ini suatu penghinaan terhadap Rasulullah SAW selaku utusan Allah SWT? Sedangkan kita semua sudah sedia maklum bahawa Rasulullah SAW adalah contoh ikutan yang terbaik bagi kita dalam seluruh aspek kehidupan termasuklah dalam bab pemerintahan. Ketahuilah bahawa sunnah Nabi yang paling besar adalah menegakkan Negara Islam.

mlm-cinta-rasulBagaimana mungkin Muhyiddin mengatakan bahawa dia mencintai Rasul tetapi dalam masa yang sama beliau jugalah pemimpin yang pernah mengatakan bahawa perlaksanaan hudud buat masa ini belum sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia. Inilah kejayaan musuh-musuh Islam dalam menanamkan pemikiran sekular di kalangan umat Islam terutamanya para pemimpin di kalangan mereka. Umat Islam yang telah terbius dengan bisa pemikiran sekular ini telah merasakan bahawa cukuplah dengan sekadar membanyakkan bacaan selawat dan qasidah sebagai bukti kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW dan tidak lebih daripada itu. Sedarlah, kelahiran Rasulullah SAW itu adalah menandakan kelahiran Islam. Islam adalah  sebuah deen yang diturunkan oleh Allah SWT kepada baginda SAW untuk mengatur urusan manusia dengan Rabbnya, mengatur urusan manusia dengan dirinya sendiri, dan juga mengatur urusan manusia dengan manusia yang lain. Inilah bukti kesempurnaan Islam sebagai suatu cara hidup. Jika dahulu para sahabat yang mengatakan bahawa mereka mencintai Rasulullah SAW, mereka telah menterjemahkan nilai dan harga kecintaan itu dengan berjuang bersama-sama Rasul untuk menegakkan kehidupan Islam dalam kehidupan mereka. Buktinya adalah dengan keberhasilan tertegaknya sebuah Daulah Islam di Madinah, seterusnya dikembangkan kehidupan Islam dan Negara Islam ini sehinggalah ke zaman Khilafah Uthmaniyyah di Turki, memerintah dunia selama lebih daripada 1300 tahun dan merangkumi dua pertiga dunia. Sungguh malang pada hari ini, pemahaman sebegini sudah sukar untuk kita dapati. Apa yang wujud hanyalah sekadar bacaan dan laungan yang bersifat ruhiyah untuk membuktikan kononnya kita adalah pencinta agung Rasulullah SAW. Sudah sampai masanya umat Islam hari ini dikejutkan daripada khayalan mimpi yang memandulkan fikrah dan thariqah (jalan) mereka daripada Islam yang sebenar.

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Muhyiddinmeriahkan_MalamCintaRasul_/Article/