Muslimah Menghayati Perjuangan Rasul

30 Januari 2014 Bersamaan 29 Rabi’ul Awal 1435H, Kangar – Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah menganjurkan mini seminar bertajuk Menghayati Perjuangan Rasul Menegakkan Syiar Islam sebagai salah satu aktiviti dalam Kempen Sempena Maulidur Rasul 1435H yang diadakan di seluruh Malaysia. MHTM Cawangan Perlis juga tidak ketinggalan bagi menjelaskan kepada umat Islam tentang bagaimana seharusnya kita sebagai umat yang mencintai Allah dan RasulNya melahirkan perasaan kasih kita ini dengan cara yang benar iaitu dengan melaksanakan sunnah Baginda.

Majlis ini telah berlangsung di Dewan Serbaguna Wanza  Indah Permai, Kem Motivasi dan Rekreasi, Kangar, Perlis dengan menampilkan Ustazah Hajar dan Ustazah Ummu Firdaus masing-masing selaku ahli panel pertama dan kedua. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari surah An-Nisa’ ayat 59 – 70 oleh Ustazah Fatimah Zahra.

Selaku panel pertama, Ustazah Hajar menjelaskan umat Islam perlu mengenang atau mengingati Nabi kerana itu adalah perintah Allah SWT tetapi adalah tidak memadai mencintai sekadar dalam acara ritual semata. Senario sambutan maulidur Rasul di Malaysia seperti perarakan beramai-ramai sambil berselawat yang disulami dengan beberapa acara pertandingan, tidak akan dapat menyedarkan umat untuk menghayati perjuangan Rasulullah SAW dalam menegakkan syiar Islam dan ianya akan berlalu begitu sahaja tanpa meninggalkan sebarang kesan di hati umat Islam. Umat Islam wajib meneladani Baginda bukan sahaja sebagai nabi dan rasul kepada seluruh manusia tetapi juga sebagai seorang pemerintah dan pemimpin kepada sebuah Negara Islam pertama di Madinah. Baginda melalui tiga tahapan batasan masa kerasulan yang wajib diteladani secara keseluruhan sempurna dalam menyebarkan syiar Islam sehingga masyarakat jahiliyyah dapat keluar dari kehinaan kepada kemuliaan. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, perjuangan baginda diteruskan oleh para sahabat baginda dan khalifah-khalifah seterusnya hingga Syiar Islam tersebar ke seluruh dunia dan Darul Islam menguasai 2/3 dunia selama lebih 1300 tahun. Malangnya kini umat Islam telah ditimpa pelbagai kehinaan tanpa hentinya setelah umat Islam tidak lagi meneladani Rasulullah dalam segala aspek kehidupan.

Sebagai penyelesaiannya Ummu Firdaus menjelaskan bahawa umat Islam masa kini memerlukan sebuah Daulah Islam yang dipimpin oleh seorang imam/khalifah yang menerapkan syari’at Islam secara kaffah. Buruknya keadaan umat Islam adalah kerana tiada penghayatan umat terhadap metod dakwah dan pemerintahan yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW.  Justeru, para muslimah diingatkan tentang peranan mereka dalam melahirkan generasi mujahid tangguh dengan mencontohi keperibadian Rasulullah SAW, para sahabat dan sahabiyah yang telah melahirkan ramai pejuang Islam yang hebat, tabah dan keimanan yang kuat.

Di akhir majlis peserta digesa untuk sama-sama berusaha meneladani keperibadian Nabi SAW seterusnya berganding bahu bagi menegakkan semula sistem Khilafah Islamiah yang akan mensejahterakan kehidupan bukan sahaja para wanita tetapi seluruh lapisan masyarakat secara keseluruhan. MHTM mengucapkan jutaan terima kasih kepada masyarakat setempat yang telah hadir bagi menjayakan mini seminar ini dan bersama-sama menyahut seruan untuk mengembalikan Islam dalam kehidupan manusia.  Wallahu alam bishawab.

{sfx rss=’https://picasaweb.google.com/data/feed/base/user/116661879362415969427/albumid/5976542424524776305?alt=rss&kind=photo&hl=en_US’ display=’album’}