Malapetaka Seabad Runtuhnya Khilafah (Siri 2)

Kerana jihadlah, Islam telah tersebar dan berjaya menakluki hampir dua per tiga dunia yang sekali gus menyebabkan tersebarnya rahmat Allah ke seluruh alam dan dunia menjadi aman kerananya. Selaku agama penebar rahmat, Islam mempunyai peraturan yang lengkap tentang hukum peperangan, berbeza sama sekali dengan puak kuffar yang terkenal jahat, kejam dan ganas dalam setiap peperangan yang mereka lancarkan. Negara kuffar Imperialis melakukan pembunuhan secara massa dalam setiap peperangan, dan mereka membunuh penduduk suatu tempat tanpa mengira wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua. Inilah antara perbezaan jihad dalam Islam dan peperangan yang dilakukan oleh orang-orang kafir.

Sejak runtuhnya Daulah Khilafah, hukum jihad sudah tidak lagi diterapkan oleh pemimpin umat Islam. Kesannya, umat Islam diperangi dan dibunuh puak kuffar dengan sewenang-wenangnya. Segala penderitaan demi penderitaan yang dialami oleh saudara-saudara kita di seluruh dunia berpunca daripada tidak diterapkannya hukum Allah, termasuklah hukum jihad, oleh para pemimpin kaum Muslimin. Lalu kuffar Barat berjaya mendominasi dunia dan melakukan kerosakan demi kerosakan dan kejahatan demi kejahatan dek perang yang mereka lancarkan. Kerakusan dan kekejaman puak kuffar tidak mengira bangsa dan agama, tua atau muda. Perang Dunia Kedua sebagai contoh, merekodkan jumlah korban terbanyak dalam sejarah dunia moden iaitu kira-kira 70 hingga 85 juta jiwa.

Sejarah juga telah menyaksikan bagaimana umat Islam diseksa dengan pelbagai bentuk kekejaman oleh puak kuffar dalam setiap kali peperangan. Di Tanah Melayu sendiri sebagai contoh, hal ini turut berlaku. Ramai ulama yang bangkit dan menentang penjajahan puak kuffar ini, lalu diperangi dan dibunuh dengan kejam. Nama-nama seperti Tok Janggut, Hj Abdul Rahman Limbong dan Mat Kilau adalah sebilangan nama yang terpahat indah sebagai penentang penjajahan kuffar British di Tanah Melayu.

Kekejaman puak kuffar ke atas kaum Muslimin berlarutan sehingga ke hari ini. Di China misalnya, menurut laporan yang dikeluarkan PBB pada 2018, dianggarkan lebih dari 1 juta Muslim Uighur hidup terseksa di kem-kem tahanan, hanya kerana agama mereka ialah Islam. Terdapat yang diseksa sehingga meninggal dunia dan ramai yang dipaksa makan babi, minum arak dan dipaksa meninggalkan agama mereka (Islam).

Serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Afghanistan telah mengorbankan puluhan ribu nyawa umat Islam. Manakala perang AS ke atas penduduk Iraq pun menatijahkan kesan yang hampir sama. Amerika sanggup membelanjakan jumlah yang hampir tidak terbatas demi memerangi Islam dan umat Islam. Di Iraq contohnya, Amerika telah menghabiskan sekitar RM10 trilion (statistik 2008) dan dikatakan telah melebihi kos perang selama 12 tahun di Vietnam dan dua kali ganda lebih besar berbanding perbelanjaan sewaktu Perang Korea.

Pada 2008, dianggarkan lebih satu juta rakyat Iraq telah terkorban sejak pencerobohan AS ke atas negara itu. Atas pembohongan “menghapuskan senjata pemusnah besar-besaran” di Iraq, Presiden Amerika Syarikat ketika itu, George W. Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair telah menceroboh dan mengebom habis-habisan tanah umat Islam Iraq. Dilaporkan sebanyak 30,000 butir bom telah digugurkan oleh kedua-dua penjenayah perang tersebut ke bumi Iraq.

Demikianlah secebis kisah duka umat Islam di seluruh dunia apabila Islam tidak mempunyai kuasa (negara) yang dapat menandingi kekuatan puak kuffar. Kejahatan kuffar ini tidak akan lenyap seandainya tidak ada kekuatan lain yang akan menghentikannya. Wilayah umat Islam tidak akan dapat dibebaskan dari cengkaman kuffar tanpa jihad yang digerakkan oleh kekuatan tentera kaum Muslimin.

Demi sesungguhnya, Allah akan mengalahkan orang-orang kafir dan memberi kemenangan kepada kaum Muslimin jika jihad dilancarkan ke atas mereka, sebagaimana firman-Nya;

قَاتِلُوهُمْ يُعَذِّبْهُمُ اللَّهُ بِأَيْدِيكُمْ وَيُخْزِهِمْ وَيَنْصُرْكُمْ عَلَيْهِمْ وَيَشْفِ صُدُورَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ

“Perangilah mereka dan Allah akan mengazab mereka dengan tangan-tangan kalian dan menghinakan mereka serta membantu kalian mengalahkan mereka dan Allah akan melegakan hati-hati kaum Mukminin” [At-Taubah (9):14].

 

… bersambung

أقيموا_الخلافة#
#TegakkanKhilafah
#ReturnTheKhilafah