Malaysia bakal menyaksikan game of numbers dan pesta lompat katak paling meriah?
Susulan terbubarnya kerajaan Perikatan Nasional (PN), apakah yang bakal kita saksikan di Malaysia seterusnya? Inilah persoalan yang bermain di minda rakyat buat masa ini. Persoalan ini memang menarik, namun apa yang tidak menariknya ialah jawapannya yang sangat mudah untuk diketahui oleh semua orang. Ramai yang telah menjangkakan bahawa dua fenomena besar yang akan berlaku dan terkait antara satu sama lain ialah perebutan jawatan Perdana Menteri dan lompat parti atau sokongan.
Untuk mendapatkan jawatan PM, seseorang ahli Parlimen itu perlu membuktikan sokongan majoriti kepada YDPA. Maka di sinilah mereka yang gilakan jawatan PM akan berebut-rebut untuk mencari sokongan dalam kalangan ahli Parlimen, untuk kemudian dipersembahkan kepada YDPA. Kita telah menyaksikan hal ini berulang-ulang kebelakangan ini, dan dengan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, nampak gayanya rakyat akan dihidangkan sekali lagi dengan fenomena ini. Statutory Declaration (SD) biasanya akan menjadi senjata utama untuk mereka dapatkan dan persembahkan kepada YDPA.
Inilah game of numbers (permainan nombor) yang sedang popular di Malaysia sejak kebelakangan ini. Syarat permainannya cukup mudah iaitu siapa sahaja yang berjaya membuktikan mereka mendapat nombor yang tertinggi, maka dialah dikira pemenang. Namun, untuk menang bukanlah mudah, kerana mereka terpaksa berhempas pulas untuk mencari sokongan. Maka di sinilah akan berlaku proses tawar-menawar, beli-membeli, ugut-mengugut dan sebagainya. Biasanya, siapa yang mempunyai kuasa beli yang tinggi akan menang. Namun, ia tidak semudah itu, kerana saham setiap penjual pada waktu ini cukup tinggi.
Dari game of numbers inilah akan mewujudkan satu fenomena lain iaitu fenomena lompat katak, yang sudah tidak asing lagi dalam arena politik Malaysia. Pada awal sejarah politik di Malaysia, tidak mudah untuk katak melompat kerana ia seperti menjual diri dengan harga yang cukup rendah dan hal ini sangat memalukan dan menjengkelkan. Namun lama-kelamaan kejadian lompat katak ini menjadi kebiasaan dan mereka boleh “menjual” diri mereka dengan harga yang mahal pada setiap kali lompatan, walaupun hakikatnya di mata rakyat, mereka sudah tidak ada walau satu sen pun lagi harga diri!
Dengan kepanasan suhu politik sejak kebelakangan ini, dan dengan maruah dan perasaan malu yang sudah hilang daripada ahli-ahli politik ketika ini, maka tidak mustahil untuk kita menyaksikan game of numbers dan pesta lompat katak yang paling meriah dalam sejarah demokrasi di Malaysia selepas ini.
Persoalan untuk rakyat ialah – apakah nasib rakyat dan negara Malaysia ini akan berubah selepas apa yang berlaku ini? Jawapannya sudah tentu ada di minda masing-masing, dan seseorang itu tidak memerlukan tahap intelektual yang tinggi untuk menjawab dengan benar.