Malaysia dah jadi Darul Maksiat – Jurucakap HTM
BULETIN HTM – Penganjuran pesta air dan muzik liar yang sedang berlangsung di Bukit Bintang terus mengundang kemarahan umat Islam. Ustaz Abdul Hakim Othman menyelar keras penganjuran pesta tersebut yang dilihat mendapat lampu hijau daripada Perdana Menteri Malaysia sendiri.
Dalam siaran langsung ‘Kupas Tuntas’ semalam (01/05/2026), Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) itu dengan tegas menyatakan bahawa negara ini sudah menjadi “Darul Maksiat” apabila terlalu banyak kemaksiatan yang telah dilakukan oleh negara dalam skala yang cukup besar, termasuklah pesta air dan muzik ini.
Menurut beliau, penganjuran acara ini sudah sangat melampau kerana ia berlangsung di saat umat Islam di Gaza sedang menderita dibantai oleh entiti Yahudi, termasuk berada dalam kelaparan kerana terkepung tanpa apa-apa bantuan yang dapat masuk. Kerajaan Malaysia langsung tidak sensitif apabila menganjurkan pesta maksiat dan membazir entah berapa banyak air, kata beliau, di saat umat Islam di Gaza kesukaran mencari segelas air bersih.
Lebih parah, beliau menyoroti hakikat bahawa pesta air ini sebenarnya meniru perayaan Songkran di Thailand yang berakar umbi daripada ajaran dan kepercayaan agama Buddha bagi tujuan penebusan dosa. Ini termasuk dalam hadharah kufur, kata beliau. Pesta liar semacam ini juga jelas haram kerana meniru gaya hidup orang-orang Barat, satu perbuatan tasyabbuh bil kuffar (menyerupai orang kafir) yang dilarang tegas oleh Islam.
Mengulas lanjut, beliau menzahirkan kekecewaan terhadap institusi agama seperti Jabatan Agama dan Jabatan Mufti yang dilihat membisu serta hanya sedikit mengeluarkan suara di saat-saat akhir, itu pun setelah ditekan oleh umat Islam bertalu-talu. Tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menganjurkan Solat Hajat dan bacaan Yasin sebagai tanda bantahan disifatkan oleh Jurucakap HTM itu bukan “level” sebuah jabatan penguatkuasa agama. “Ini level surau dan masjid sahaja”, kata beliau.
Pihak berkuasa agama sepatutnya lebih berani menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada, contohnya Seksyen 35 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 berkaitan kesalahan ‘Menggalakkan Maksiat’, untuk menangkap dan mendakwa penganjur serta pihak yang membenarkan acara tersebut. Siapa pun, termasuklah Perdana Menteri Malaysia sendiri, boleh ditangkap, kerana telah menggalakkan maksiat, berdasarkan Seksyen 35, ujar beliau.
Kata beliau lagi, “kemaksiatan” ini maknanya cukup luas, merangkumi apa sahaja penderhakaan kepada perintah Allah (swt), bukan hanya sekitar pesta yang melibatkan percampuran bebas (ikhtilat), pendedahan aurat, ataupun hiburan liar. Kemaksiatan terbesar adalah sistem demokrasi itu sendiri yang merupakan sistem kufur, yang dari sinilah lahirnya segala kemaksiatan cabang lainnya. Ibarat ibu yang haram, maka ia akan terus melahirkan anak-anak yang haram secara berterusan.
Beliau melanjutkan yang demokrasi meletakkan hak menggubal undang-undang di tangan manusia, yang sudah tentu menggubal undang-undang mengikut hawa nafsu dan kepentingan material. Pesta air dan muzik liar ini hanyalah salah satu simptom yang lahir dari sebuah sistem yang memaksiati Allah. Demokrasi boleh menghalalkan apa sahaja yang diharamkan oleh Islam selagi manusia meluluskannya. Inilah realiti demokrasi, tegas Ustaz Hakim.
Di penghujung program, Jurucakap HTM itu menyeru umat Islam agar bersungguh-sungguh melakukan amar makruf nahi mungkar, lebih-lebih lagi kepada pemerintah, sebagaimana diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Segala kemaksiatan tidak boleh dibiarkan, jika tidak, azab akan menimpa semua orang, dan kemaksiatan terbesar yang perlu diubah ialah sistem demokrasi itu sendiri, ungkap beliau dengan cukup tegas.
Satu-satunya sistem yang dapat menyelamatkan umat ini ialah Khilafah, kerana dalam Khilafah, hukum Allah dilaksanakan secara kaffah. Jika ada pelanggaran sekali pun, uqubat (hukuman) yang juga datangnya dari Allah, akan dilaksanakan. Inilah satu-satunya sistem Islam yang wajib diterapkan menggantikan sistem kufur demokrasi, jelas beliau sebelum menutup program.