Malaysia Sebagai Darul Pelacuran?

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa cadangan agar dibuka rumah pelacuran bertujuan melepaskan nafsu warga asing di negara ini sebagai sangat melampau. Walaupun si pencadang telah meminta maaf, dia seolah-olah langsung tidak menyesal kerana mengeluarkan cadangan tersebut. Cadangan-cadangan melampau seperti ini tidak sepatutnya dijadikan bahan senda gurau untuk mendapatkan populariti. Apalagi ianya keluar daripada mulut seorang yang mengaku Muslim.

Kalau cadangan seumpama keluar daripada mulut seorang kafir, maka kita masih dapat memahaminya dengan mudah walaupun kita tetap tidak akan bersetuju. Ini tidak, ia datangnya daripada seorang Muslim! Setiap Muslim seharusnya ingat bahawa kebebasan bersuara dalam Islam ada batasnya. Jangan sampai menghalalkan yang haram dan jangan sampai mempermainkan hukum atau menghina agama sendiri.

Sesungguhnya cadangan seumpama itu merupakan cerminan rosaknya cara berfikir seorang Muslim, yang telah lama berada dalam sistem sekular, sebuah sistem yang memisahkan agama daripada kehidupan. Ia juga menggambarkan betapa parahnya fahaman agama si pencadang dan mereka yang menyokong cadangannya itu, yang jika ditanya mungkin sahaja mereka akan mengaku bahawa mereka berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah!

Dalam masa yang sama, kita cuba lihat nanti apakah Jabatan Agama “berminat” atau tidak untuk mengambil tindakan dalam kes ini, kerana si pencadang jelas menggalakkan orang melakukan maksiat, sebuah kesalahan yang diperuntukkan dalam Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Secara umumnya, kesalahan mengenai pelacuran terdapat dalam undang-undang syariah di Malaysia, yang sekali gus bermaksud siapa sahaja yang dengan jelas menggalakkan pelacuran, telah mempersenda atau menghina undang-undang syariah yang sedang berkuat kuasa. Seksyen 7 Akta yang sama memperuntukkan mengenai kesalahan mempersenda atau menyebabkan dipandang hina agama Islam.

Kalau Ikut Logik

Tolak ke tepi dahulu undang-undang syariah di Malaysia mahu pun “minat” Jabatan Agama untuk mengambil tindakan, kita lihat antara hujah yang dikemukakan untuk membuka rumah pelacuran ialah bagi mengelak kes rogol oleh warga asing ke atas rakyat tempatan, kerana kononnya golongan ini perlu memuaskan nafsu seks masing-masing di negara ini. Jadi kewujudan rumah pelacuran dikatakan dapat menghindar anak dan isteri kita daripada dirogol oleh warga asing. Sungguh, betapa naifnya hujah ini!

Tidakkah si pencadang tahu bahawa di mana-mana negara sekali pun, warga asing wajib patuh kepada undang-undang tempatan di negara berkenaan, tidak kira sama ada mereka suka atau tidak dengan undang-undang tersebut. Begitulah juga apabila warga asing berada di negara ini di mana mereka wajib patuh kepada undang-undang Malaysia. Di manakah letaknya kewarasan akal apabila undang-undang sebuah negara perlu diubah demi memenuhi kehendak warga asing, apatah lagi apabila kehendak warga asing itu suatu yang haram dan merosakkan?

Dikatakan bahawa terdapat 3 juta warga asing di negara ini. Persoalannya, adakah semua warga asing ini kafir, atau jenis Muslim yang tidak peduli akan halal dan haram, sehingga semuanya suka merogol orang atau melanggan pelacur? Tidakkah pencadang tahu bahawa kes rogol mahupun pelacuran tidak ada kena-mengena dengan kewarganegaraan seseorang, kerana ia merupakan kejahatan manusia atas sifatnya sebagai manusia yang mempunyai nafsu yang dilampiaskan dengan jalan yang salah.

Jika menggunakan logik pencadang, ini bermakna sekiranya ramai warga asing yang suka meliwat orang, maka kita perlu membuka rumah liwat di Malaysia. Begitu juga jika ramai warga asing yang suka berjudi, maka kita perlu perbanyakkan lagi pusat perjudian di Malaysia!

Jika rumah pelacuran dibuka (dihalalkan) di Malaysia, maka berdasarkan logik yang sama, adakah pencadang sanggup melihat ahli keluarganya yang perempuan melacur atas alasan untuk memuaskan nafsu seks warga asing! Adakah ini yang dimahukan oleh pencadang?! Jika tidak sanggup, maka pencadang perlu ingat bahawa rumah pelacuran yang dicadangkan itu, akan terdiri daripada para perempuan yang merupakan ibu orang, isteri orang, saudara dan anak perempuan orang, yang mereka juga tidak mahu ibu, isteri, saudara dan anak perempuan mereka dizinai!

Zina: Peringatan Daripada Allah dan Rasul-Nya

Dalam isu perzinaan ini, sesungguhnya Rasulullah (saw) telah mengingatkan kita melalui sebuah hadis yang seharusnya dapat mengetuk minda dan membersihkan hati kita daripada berfikir keji atau melakukan perbuatan keji. Dari Abu Umamah:

إِنَّ فَتًى شَابًّا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ائْذَنْ لِي بِالزِّنَا فَأَقْبَلَ الْقَوْمُ عَلَيْهِ فَزَجَرُوهُ قَالُوا مَهْ مَهْ فَقَالَ ادْنُهْ فَدَنَا مِنْهُ قَرِيبًا قَالَ فَجَلَسَ قَالَ أَتُحِبُّهُ لِأُمِّكَ قَالَ لَا وَاللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ قَالَ وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأُمَّهَاتِهِمْ قَالَ أَفَتُحِبُّهُ لِابْنَتِكَ قَالَ لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ قَالَ وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِبَنَاتِهِمْ قَالَ أَفَتُحِبُّهُ لِأُخْتِكَ قَالَ لَا وَاللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ قَالَ وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأَخَوَاتِهِمْ قَالَ أَفَتُحِبُّهُ لِعَمَّتِكَ قَالَ لَا وَاللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ قَالَ وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِعَمَّاتِهِمْ قَالَ أَفَتُحِبُّهُ لِخَالَتِكَ قَالَ لَا وَاللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ قَالَ وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِخَالَاتِهِمْ قَالَ فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَيْهِ وَقَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ وَطَهِّرْ قَلْبَهُ وَحَصِّنْ فَرْجَهُ فَلَمْ يَكُنْ بَعْدُ ذَلِكَ الْفَتَى يَلْتَفِتُ إِلَى شَيْءٍ

Bahawa seorang pemuda mendatangi Nabi (saw) lalu berkata; Wahai Rasulullah! Izinkan aku untuk berzina. Orang-orang mendatanginya lalu melarangnya seraya berkata ‘diamlah engkau’! Rasulullah (saw) bersabda, ‘Mendekatlah.’ Dia lalu mendekat dan duduk. Kemudian Nabi (saw) bertanya, ‘Apakah engkau suka jika ada orang menzinai ibumu?’ Pemuda itu menjawab. ‘Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, semoga Allah menjadikan diriku berkorban untukmu. Nabi (saw) bersabda, ‘Begitulah orang lain pun tidak suka ibu mereka dizinai.’ Nabi (saw) bertanya lagi, ‘Apakah engkau suka jika ada orang menzinai anak perempuanmu?’. Pemuda itu menjawab, ‘Tidak, demi Allah wahai Rasulullah semoga Allah menjadikan diriku berkorban untukmu.’ Nabi (saw) bertanya lagi, ‘Apakah engkau suka jika ada orang menzinai saudara perempuanmu?’. Pemuda itu menjawab, ‘Tidak, demi Allah wahai Rasulullah semoga Allah menjadikan diriku berkorban untukmu.’ Nabi (saw) bersabda, ‘Begitulah orang lain pun tidak suka saudara-saudara perempuan mereka dizinai.’ Nabi (saw) bertanya lagi, ‘Apakah engkau suka jika ada orang menzinai ibu saudaramu?’ Pemuda itu menjawab, ‘Tidak, demi Allah wahai Rasulullah semoga Allah menjadikan diriku berkorban untukmu.’ Nabi (saw) bersabda, ‘Begitulah orang lain pun tidak suka ibu-ibu saudara mereka dizinai…’ Kemudian Rasulullah (saw) meletakkan tangan baginda pada pemuda itu seraya berdoa, ‘Ya Allah! Ampunilah dosanya, bersihkanlah hatinya, jagalah kemaluannya.’ Setelah itu pemuda itu tidak lagi condong kepada dosa apa pun” [HR. Ahmad].

Begitulah pertanyaan sekali gus pengajaran yang diberikan oleh Rasulullah (saw) kepada seorang pemuda yang meminta izin untuk berzina – pertanyaan dan  pengajaran yang seharusnya mencelikkan minda orang-orang yang beriman daripada berfikir atau terlibat dengan perbuatan yang keji.

Sesungguhnya zina merupakan sebuah fahisyah (kekejian) yang wajib dijauhi. Firman Allah (swt)

وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلا

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk” [Al-Isra’ (17): 32].

Maka, bagaimana mungkin apabila Allah (swt) mengharamkan untuk hanya mendekati zina, alih-alih ada Muslim yang mencadangkan agar dibuat rumah perzinaan untuk manusia melakukan perzinaan secara besar-besaran?! La haula wa la quwwata illa billah..

Ingatlah bahawa Allah (swt) menjadikan akal kita untuk memahami dan melaksanakan perintah-Nya, bukannya untuk menyalahi perintah-Nya, atau bercakap suatu yang bertentangan dengan perintah-Nya. Oleh itu, sekiranya kita ingin mengatasi masalah rogol yang jelas merupakan sebuah kejahatan, ia hendaklah diatasi dengan cara Islam, bukannya dengan cara mencipta lebih banyak kekejian dan kerosakan, yang hanya akan mengundang murka dan azab Allah (swt).

Umum mengetahui bahawa seks rambang merupakan antara penyumbang terbesar kepada penyakit HIV/AIDS, selain menjadi penyebab kepada kerosakan akhlak dalam masyarakat. Lebih buruk, ia menjadi penyebab kepada turunnya azab Allah (swt) ke atas manusia. Sabda Rasulullah (saw):

إِذَا ظَهَرَ الزِّنَا وَالرِّبَا فِيْ قَرْيَةٍ، فَقَدْ أَحَلُّوْا بِأَنْفُسِهِمْ عَذَابَ اللهِ

“Apabila zina dan riba berleluasa di suatu negeri, maka sungguh mereka telah menghalalkan atas mereka azab Allah” [HR al-Hakim, al-Baihaqi dan at-Thabrani].

Dengan begitu jelasnya keharaman zina dan keburukan yang terhasil daripada perzinaan, bagaimana mungkin seseorang Muslim itu boleh menyimpang sangat jauh daripada pemikiran Islam dengan ingin menyebarluaskan zina, yang orang kafir sekali pun mungkin tidak pernah berfikir seperti itu?

Sesungguhnya cadangan mewujudkan rumah pelacuran ini merupakan pemikiran Jahiliah. Zaman Jahiliah merupakan zaman yang sudah sebati dengan perzinaan dan pelacuran, yang mana semua fahisyah itu telah dihapuskan dengan kedatangan Islam. Sungguh aneh bila ada orang Islam yang ingin kembali kepada kegelapan Jahiliah setelah Islam datang membawa cahaya.

Kesimpulan

Umat Islam perlu sedar bahawa kerosakan berfikir yang ada pada sesetengah Muslim pada hari ini sesungguhnya tidak boleh lepas daripada sistem sekular yang telah membelenggu kehidupan mereka sejak sekian lama natijah daripada penjajahan. Walaupun kita merasa sangat jijik dengan cadangan untuk mewujudkan rumah pelacuran, hakikatnya ia sama jijiknya dengan rumah-rumah urut yang telah lama wujud dalam negara, “rumah-rumah perjudian” termasuk yang terbesar di atas bukit sana, kilang-kilang arak dan sebagainya. Dan ingatlah bahawa semua itu tidak lebih jijik daripada kewujudan perbankan ribawi yang sangat subur pada hari ini yang Allah dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang terhadapnya, sebuah dosa dan kesalahan yang jauh lebih besar daripada perzinaan.

Di atas semua itu, ada sebuah “rumah” yang menjadi tempat maksiat terbesar di Malaysia di mana di situlah tempatnya manusia mengambil hak Allah (swt) sebagai Al-Musyarri’ (Pembuat hukum). Dari situlah segala maksiat lainnya berpunca. Demikianlah natijah daripada sistem demokrasi-sekular warisan British yang hanya menghasilkan keharaman demi keharaman dan kerosakan demi kerosakan. Inilah sistem yang dipertahankan oleh pemerintah sejak merdeka hingga kini. Adakah Malaysia selepas ini bakal menjadi Darul Pelacuran, setelah terkenal dengan Darul Judi, Darul Rasuah, Darul Konsert dan macam-macam Darul karut-marut lainnya?

Wallahu a’lam.