Manfaat Semata-mata Bukan Penentu Kejayaan

najib-1MalaysiaMemetik kenyataan Perdana Menteri 1Malaysia Datuk Seri Najib (DSN) dalam laman web 1Malaysia bahawa kerajaan Barisan Nasional sepanjang tahun 2011 telah berjaya dengan program-program 1Malaysia,  usaha ekonomi, hubungan antarabangsa dan program bersama rakyat. Beliau juga berharap agar rakyat akan terus bersama-sama dengan beliau dalam mencatat lebih banyak lagi kemajuan positif di tahun hadapan, dalam semangat dan amalan 1Malaysia.

Jika kita mengukur standard kejayaan berdasarkan manfaat, maka apa yang dikatakan oleh PM itu ada benarnya. Tetapi, di dalam Islam, kejayaan tidak diukur dengan manfaat dan kemajuan fizikal semata-mata kerana ia harus dirujuk kepada standard yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui apakah yang dikatakan kejayaan sebenar. Jika ia ditentukan oleh akal sudah tentu standardnya akan berbeza.

Jika kita mengkaji Al Quran dan As Sunnah dengan mendalam dan ikhlas, Kerajaan sebenarnya masih gagal menerapkan Islam sebagai suatu sistem dalam kehidupan. Akibat daripada kegagalan ini, ia telah  menyebabkan berlakunya gejala sosial, ekonomi mengecut, ketegangan antara kaum, dan lain-lain lagi yang mengancam agama, akal, nyawa, harta, kehormatan dan negara.

Sepanjang tahun 2011 di bawah pemerintahan DSN, kita menyaksikan antara lain seperti ancaman para misionaris kristian terhadap akidah umat Islam, usaha penganjur seksualiti merdeka meraih simpati terhadap golongan LGBT atas dasar hak asasi manusia, penghinaan terhadap hukum hudud Allah, kenaikan tarif elektrik dan harga barang, rasuah dan pecah amanah, serta  isu bacaan al Quran sebelum azan subuh dan ibadah korban yang dipertikaikan oleh orang kafir kerana dilakukan secara terbuka. Itu adalah di antara peristiwa-peristiwa penting yang barangkali sangat mudah dilupakan oleh DSN walaupun tidak mudah dipadamkan di dalam hati dan sanubari umat.

Wahai Kaum Muslimin!

Islam telah mewajibkan kita untuk menerapkan Islam secara menyeluruh dan  haram hukumnya mengambil hukuman selain Islam sebagai petunjuk dalam menentukan sesuatu keputusan.

Firman Allah swt:

“Hai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [TMQ Al-Baqarah(2):208].

Allah swt berfirman:

“Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yan diturunkan Allah, maka mereka itu orang-orang yang zalim” [TMQ Al-Maidah(5):45)

Rasulullah saw bersabda:

“Tidaklah seseorang yang memerintah selama 10 tahun atau lebih, dan tidak berlaku adil di antara mereka, kecuali ia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan dirantai dan dibelenggu” (Mustadrak al-Hakim 7109).
“Seorang amir (imam) atas manusia adalah pemimpin dan akan dimintai pertanggungjawapannya atas kepemimpinannya itu”
(HR Bukhari)

Apa yang jelas ialah kita akan menjangkakan peristiwa-peristiwa menyayat hati ini pasti akan berulang selagi mana hukum jahiliyah menjadi pedoman dan terus dilaksanakan manakala syariah Islam tidak dipedulikan.   

Justeru itu, adalah menjadi kewajipan setiap dari kita untuk mengembalikan Islam dalam kehidupan serta menegakkan syariah dan khilafah Islam. Usaha ini bukan hanya terletak di atas bahu para ustaz yang ikhlas berdakwah atau jemaah Islam tetapi setiap dari manusia yang beriman kepada Allah swt dan hari akhir.

Rujukan:
www.1malaysia.com.my