Mangsa rogol berjaya lari selepas dikurung 12 hari
KUANTAN: Seorang gadis menempuh detik menakutkan apabila dikurung selama 12 hari sejak 5 Jun lalu dan dipercayai menjadi mangsa rogol tujuh lelaki di sebuah rumah ditaman perumahan Indera Sempurna, di sini. Difahamkan, mangsa yang berusia 19 tahun berasal dari Pekan, keluar bersama beberapa rakan wanitanya untuk menonton wayang di sebuah pusat beli-belah di sini, sebelum memaklumkan rakan dia mahu pulang sendiri ke rumah kakaknya di taman perumahan itu kira-kira jam 11 malam. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata sebaik rakan mangsa beredar daripada pusat beli-belah itu, mangsa dihampiri seorang lelaki yang mahu berkenalan dengannya.
Beliau berkata, lelaki terbabit kemudiannya menawarkan diri untuk menghantar mangsa ke rumah kakaknya dengan alasan mahu ke taman perumahan sama Katanya, mangsa yang termakan pujukan lelaki terbabit kemudian menuruti suspek yang memaklumkan dia mahu pergi ke rumah abangnya terlebih dulu, sebelum menghantar mangsa pulang ke rumah kakaknya. “Mangsa kemudian dipelawa masuk ke rumah sewa terbabit yang mulanya disangka rumah abang lelaki terbabit, namun suspek tiba-tiba bertindak mengunci pintu serta mengugut mangsa supaya menuruti segala kemahuannya jika tidak mahu dicederakan. “Bimbang dengan ugutan berkenaan, mangsa mendakwa dirogol lelaki terbabit dan enam rakannya secara bergilir-gilir. Suspek juga mengulangi perbuatan terkutuk terhadap mangsa yang dikurung sepanjang tempoh berkenaan,” katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, semalam. Kamaruzzaman berkata, mangsa yang tidak tahu untuk meminta bantuan sesiapa akhirnya berjaya melarikan diri melalui pintu utama rumah sewa itu yang kebetulan tidak berkunci ketika suspek tidur, kira-kira jam 7 pagi kelmarin, Beliau berkata, mangsa kemudian menaiki bas untuk pulang ke rumahnya di Pekan sebelum memaklumkan kejadian kepada ibunya yang menyangka mangsa berada di rumah seorang lagi anaknya di Indera Sempurna. “Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan berhubung kejadian, petang kelmarin. Susulan laporan polis menyerbu rumah sewa terbabit dan menahan empat suspek berusia 19 hingga 36 tahun yang bekerja sendiri,” katanya. Kamaruzzaman berkata, polis juga sedang menjejaki tiga lagi suspek dipercayai berada sekitar daerah ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Beliau berkata, mangsa dibawa ibunya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk membuat pemeriksaan pagi semalam dan doktor mengesahkan ada kesan koyak di kemaluannya.
Sumber : Berita Harian 18/06/09
Mungkin ada yang bersimpati, bosan atau meluat dengan apa yang berlaku ke atas gadis tersebut. Sudah terlampau banyak kisah-kisah sebegini yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan. Inilah realiti masyarakat kita pada hari ini. Perkara sebegini akan terus berlaku apabila sebahagian besar individunya tidak menjadikan Islam sebagai asas pemikiran, perasaan dan sistem yang diterapkan. Begitulah rendahnya nilai ketakwaan gadis tersebut (jika mangsa adalah Islam) sehingga mudah percaya dengan pujuk rayu seorang lelaki yang bukan muhrimnya sehingga menyebabkannya melakukan dosa. Allah SWT telah pun memberi larangan di dalam Al Quran berkaitan perkara di atas, firmanNya
“dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”. [TMQ Al Israa’ (17) : 32].
Di samping itu, tanggungjawab juga harus diletakkan ke atas keluarga gadis tersebut kerana membiarkan anak gadisnya keluar untuk menonton wayang di tempat yang berlakunya percampuran dan interaksi (ikhtilat) di antara lelaki dan wanita. Negara yang menerapkan sistem yang membenarkan kehidupan bebas di antara lelaki dan wanita juga harus dipersalahkan. Untuk kes di atas, siapakah yang bersalah dan harus dipersalahkan? Sudah pasti ketiga-ketiga golongan dan peringkat yang terkait dengan perkara di atas mesti dipertanggunjawabkan. Individu (lelaki mahupun gadis itu sendiri) yang telah melanggar hukum syara’, masyarakat termasuk keluarga gadis tersebut yang tidak memainkan peranan untuk melakukan amar makruf dan mencegah mungkar dan yang paling besar sekali adalah negara kerana tidak menerapkan sistem sosial Islam. Sampai bilakah kita akan dipaparkan dengan berita-berita bodoh dan memualkan ini? Ya, sudah pasti selagi mana sistem sekular Kapitalisme ini terus diterapkan oleh pemerintah yang ada pada hari ini, maka tidak akan ada yang dapat mencegah peristiwa-peristiwa seperti di atas daripada terus berlaku.