Marhaban ya Ramadhan

Ayuh Persiapkan Diri Menyambut Bulan Suci

Ramadhan telah kunjung tiba. Sudah selayaknya kita bergembira, kerana bulan Ramadhan adalah bulan yang agung, bulan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan. Rasulullah (saw) bersabda ketika Ramadhan menjelang:

ﻗَﺪْ ﺟَﺎﺀَﻛُﻢْ ﺭَﻣَﻀَﺎﻥُ، ﺷَﻬْﺮٌ ﻣُﺒَﺎﺭَﻙٌ، ﺍﻓْﺘَﺮَﺽَ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ ﺻِﻴَﺎﻣَﻪُ، ﺗُﻔْﺘَﺢُ ﻓِﻴﻪِ ﺃَﺑْﻮَﺍﺏُ ﺍﻟْﺠَﻨَّﺔِ، ﻭَﺗُﻐْﻠَﻖُ ﻓِﻴﻪِ ﺃَﺑْﻮَﺍﺏُ ﺍﻟْﺠَﺤِﻴﻢِ، ﻭَﺗُﻐَﻞُّ ﻓِﻴﻪِ ﺍﻟﺸَّﻴَﺎﻃِﻴﻦُ، ﻓِﻴﻪِ ﻟَﻴْﻠَﺔٌ ﺧَﻴْﺮٌ ﻣِﻦْ ﺃَﻟْﻒِ ﺷَﻬْﺮٍ، ﻣَﻦْ ﺣُﺮِﻡَ ﺧَﻴْﺮَﻫَﺎ ﻓَﻘَﺪْ ﺣُﺮِﻡَ

“Sungguh telah datang bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Allah mewajibkan kalian berpuasa di dalamnya. (Ketika Ramadhan) pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. Pada bulan itu terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan (Lailatul Qadar). Barangsiapa yang terhalang (untuk mendapatkan) kebaikan malam itu maka sungguh dia telah dihalangi (dari keutamaan yang agung)” [HR Ahmad dan an-Nasa’i].

Ketika mengomentari hadis di atas, Imam Ibnu Rajab berkata, “Bagaimana orang yang beriman tidak bergembira ketika pintu-pintu syurga dibuka? Bagaimana orang yang telah berdosa (dan ingin bertaubat serta kembali kepada Allah) tidak bergembira ketika pintu-pintu neraka ditutup? Bagaimana orang yang berakal tidak bergembira ketika syaitan-syaitan dibelenggu?” [Ibnu Rajab al-Hanbali, Lathâif al-Ma’ârif, hlm. 174].

Pelbagai Keutamaan Bulan Ramadhan

Terdapat sekurang-kurangnya 9 (sembilan) keutamaan bulan Ramadhan.

Pertama: Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diwajibkan berpuasa agar manusia bertakwa [TMQ al-Baqarah (2): 183].

Kedua: Bulan turunnya al-Quran [TMQ al-Baqarah (2): 185].

Ketiga: Bulan pengampunan dosa. Rasulullah (saw) bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Keempat: Bulan pembebasan dari neraka. Nabi (saw) bersabda:

وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ

“Dan Allah memiliki orang-orang yang dibebaskan dari neraka, yang demikian itu terjadi pada setiap malam” [HR at-Tirmidzi dan Ibn Majah].

Kelima: Bulan kemurahan hati. Di dalam suatu hadis dinyatakan:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ…

“Rasulullah (saw) adalah orang yang paling pemurah. Beliau lebih pemurah lagi pada bulan Ramadhan…” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Keenam: Ketika Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. Rasulullah (saw) bersabda:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

“Apabila Ramadhan menjelma, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Ketujuh: Bulan mustajab doa. Perkara ini dapat difahami dari firman Allah (swt) dalam surah al-Baqarah di samping penjelasan hukum-hukum puasa [Lihat al-Baqarah (2): 186].

Kelapan: Bulan dilipatgandakan pahala. Rasulullah (saw) bersabda:

عُمْرَةٌ فِي رَمَضَانَ، تَعْدِلُ حَجَّةً

“Umrah pada bulan Ramadhan bersamaan dengan sekali haji” [HR Ibn Majah dan at-Tirmidzi].

Kesembilan: Di dalamnya terdapat Lailatul Qadar. Rasulullah (saw) bersabda:

إِنَّ هَذَا الشَّهْرَ قَدْ حَضَرَكُمْ، وَفِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، مَنْ حُرِمَهَا، فَقَدْ حُرِمَ الْخَيْرَ كُلَّهُ، وَلاَ يُحْرَمُ خَيْرَهَا إِلاَّ مَحْرُومٌ.

“Sungguh bulan ini (Ramadhan) telah hadir di tengah-tengah kalian. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang terhalang dari malam itu, sungguh dia telah terhalang dari kebaikan secara keseluruhan. Tidaklah terhalang dari kebaikan kecuali orang yang rugi” [HR Ibn Majah].

Persiapan Diri

Dengan pelbagai keutamaan Ramadhan di atas, tidak selayaknya kita menyia-nyiakan Ramadhan. Kita harus mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk menyambut kedatangannya. Dengan cara itu, kita tidak termasuk orang yang disabdakan Rasulullah (saw), “Berapa banyak orang yang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa-apa, kecuali lapar dan dahaga” [HR Ahmad].

Sekurang-kurangnya, ada empat perkara yang perlu dipersiapkan untuk menyambut kedatangan Ramadhan.

Pertama: Bertaubat dan mensucikan diri. Ramadhan adalah bulan yang suci. Sebaiknya bulan yang suci disambut juga dengan kesucian jiwa kita, iaitu dengan membersihkan diri dari segala dosa dan maksiat. Lebih-lebih lagi semua yang berlaku di tengah-tengah kehidupan kita sekarang -musibah, bencana, wabak, kesempitan hidup dan hilangnya keberkatan hidup- pastinya tidak dapat dipisahkan dari dosa-dosa kita.

Kedua: Bersyukur kepada Allah (swt) kerana kita masih diberi kesempatan untuk bertemu kembali dengan bulan Ramadhan. Berapa banyak saudara kita, di sepanjang tahun 2020-2021 hingga menjelang bulan Ramadhan ini, yang dipanggil oleh Allah (swt).

Ketiga: Meningkatkan ilmu. Setiap Muslim diwajibkan untuk melengkapkan diri dengan ilmu ketika hendak beribadah dan beramal. Harapannya agar amal ibadah yang dilaksanakan diterima oleh Allah (swt). Begitu juga ibadah pada bulan Ramadhan, terutamanya puasa. Kita mesti mengetahui rukun dan perkara-perkara yang boleh merosakkan ibadah puasa. Apatah lagi, menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap Muslim [HR al-Bukhari].

Keempat: Membulatkan niat dan memiliki himmah ‘aliyah (cita-cita tinggi) untuk berusaha memperbaiki perkataan dan perbuatan, bersungguh-sungguh dalam ketaatan, menghidupkan bulan Ramadhan dengan amal soleh dan berpuasa dengan sebaiknya.

Bulan al-Quran

Allah (swt) berfirman:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk  dan menjadi pembeza (antara yang benar dengan yang salah)” [Al-Baqarah (2): 185].

Oleh itu, Bulan Ramadhan adalah sinonim dengan bulan al-Quran. Salah satu ibadah yang sangat dianjurkan pada bulan ini juga berkaitan dengan al-Quran; membaca, memahami dan merenungkan al-Quran. Sudah tentu di atas semua ini adalah mengamalkan al-Quran. Oleh kerana itu, perkara yang paling tercela pada  bulan ini adalah meninggalkan al-Quran (hajr al-Qur’an), baik dengan tidak membaca dan mempelajari al-Quran, apatah lagi tidak mengamalkan al-Quran.

Di negara ini, atas izin dan rahmat Allah, terdapat ramai penghafal dan pengkaji al-Quran. Sebahagian masyarakat (secara individu) juga cukup bersemangat untuk mengamalkan al-Quran dalam kehidupan peribadi mereka. Namun, sebagai sebuah umat, negara ini belum mengamalkan al-Quran sepenuhnya. Malah al-Quran “dimusuhi”. Tentunya bukan mushafnya yang dimusuhi, namun hukum-hakamnya. Seringkali al-Quran dianggap tidak bertoleransi, sumber keganasan, radikal, ekstrem, barbarik, dan pemecah-belah. Pada masa yang sama, hukum-hakam thaghut ditegakkan dan dihormati. Walaupun telah jelas bahawa perbuatan tersebut merupakan kejahatan dan dosa besar.

Berkaitan dengan itu Nabi (saw) bersabda:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

“Solat Fardhu lima waktu, (solat) Jumaat hingga ke Jumaat (seterusnya), Ramadhan hingga Ramadhan seterusnya adalah semuanya ini penebus dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa besar.”  [HR Muslim dan Ahmad].

Ini bermaksud bahawa sesiapa yang masih melakukan dosa besar, walaupun dia berpuasa pada bulan Ramadhan, itu tidak akan membawa kepada pengampunan dosa-dosanya.

Faktanya, kerana syariat Islam dihina dan digantikan dengan hukum-hakam kufur, maka dosa-dosa besar pun menjadi sangat lumrah dilakukan oleh kebanyakan masyarakat. Contohnya, zina, minum arak dan riba. Bahkan yang lebih besar lagi dosanya adalah berhukum dengan selain hukum Islam. Pelakunya boleh dikategorikan sebagai orang yang zalim, fasik dan bahkan kafir (Lihat: Al-Maidah (5): 44, 45, 47). Malangnya, inilah yang berlaku di negara ini.

Rasulullah (saw) juga bersabda:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

“Barangsiapa tidak meninggalkan kata-kata yang menyimpang (qawl az-zur) dari kebenaran dan malah mengamalkannya, Allah tidak memerlukan puasanya.” [HR al-Bukhari].

Lafaz “qawl” sering diterjemahkan “perkataan”. Dalam Bahasa Arab perkataan ini juga bermaksud “keyakinan”, sebelum ia menjadi lafaz. Kerana, asalnya ucapan berasal dari keyakinan. Adapun lafaz “az-zur” bermaksud segala yang menyimpang dari haq (kebenaran). Dari sini, dapat kita fahami dari hadis tersebut  bahawa Allah (swt) tidak menerima puasa kita jika kita masih berkeyakinan dan mengamalkan apa yang menyimpang dari kebenaran.

Demokrasi yang menyatakan bahawa manusia mempunyai hak menetapkan hukum adalah “az-zur” tahap tertinggi. Sekularisme yang menyatakan kehidupan tidak boleh atau tidak seharusnya diatur dengan Islam adalah “az-zur” yang nyata. Sekiranya kita masih mengamalkan sekularisme, demokrasi, kapitalisme dan seluruh keturunannya, maka pada waktu itu, puasa kita berkemungkinan menjadi sia-sia.

Oleh sebab itu, kita wajib meninggalkan semua itu, kemudian bersegera untuk mengamalkan dan menerapkan syariat Allah (swt) secara kaffah , agar kita dapat memasuki pintu rahmat dan ampunan-Nya, terutama pada bulan yang penuh keberkatan ini. Semoga Allah (swt) memberikan taufik dan hidayah kepada kita semua. Aamiin.

Wallahu a’lam bis shawab.

—*—

Hikmah:

Rasulullah (saw) bersabda:

وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ فَانْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ

“Betapa rugi seseorang yang berjumpa dengan bulan Ramadhan, kemudian Ramadhan itu berlalu sebelum dia diampuni” [HR Ahmad dan at-Tirmidzi].

—*—

Diterjemah daripada Buletin Kaffah Bil. 188 bertarikh 26 Syaaban 1442H bersamaan 9 April 2021.