Marhaban Ya Ramadhan
Marhaban ya Ramadhan! Subhanallah, hakikatnya tiada kata-kata yang cukup lengkap untuk mengungkapkan betapa luasnya limpah kurnia Allah swt di bulan Ramadhan. Meskipun bulan ramadhan memiliki jumlah hari sama seperti bulan-bulan yang lain, namun bulan yang suci ini jauh lebih istimewa. Bahkan jika dibandingkan dengan bulan Dzulhijjah, biarpun ribuan, bahkan jutaan umat islam berbondong menuju ibadah ditanah suci Mekah bagi menunaikan rukun Islam yang kelima, namun tetap sahaja bulan Ramadhan memiliki kedudukan yang lebih tinggi kemuliaanya.
Segala kebaikan yang dilakukan oleh umat Islam selama bulan yang mulia ini, pahalanya akan di lipatgandakan hingga beberapa kali ganjaran, belum lagi dengan pahala berpuasa itu sendiri. Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika Rasulullah saw pernah bersabda,
لَوْ يَعْلَمُ الْعِبَادُ مَا فِي رَمَضَانَ لَتَمَنَّتْ أُمَّتِي أَنْ تَكُونَ السَّنَةُ كُلُّهَا رَمَضَانَ
“Seandainya setiap hamba mengetahui betapa mulianya bulan Ramadhan, maka dialah yang paling mengharapkan agar setiap tahun diisi dengan bulan ini.” (HR. Tabrani, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi).
Allah swt telah berjanji akan melipatgandakan kebaikan yang dilakukan oleh seorang Muslim menjadi tujuh kali ganda, seratus, bahkan hingga batasan yang tidak ternilai gandaannya. Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 261:
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١
Perbandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya (TMQ al-Baqarah 261)
Dan di dalam sebuah Hadith Qudsi :
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : ” إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي
“Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Begitulah hebatnya bulan Ramadhan!
Oleh itu tidaklah menghairankan tatkala bulan Ramadhan meninggalkan Rasulullah saw., para sahabat, dan generasi soleh dahulu akan menangis tersedu-sedu. Mereka seolah-olah tidak ingin berpisah dari bulan yang mulia ini. Mereka menyadari betapa singkatnya umur umat Nabi Muhammad, sehinggakan mungkin sahaja tidak akan ada kesempatan lagi untuk meraih pahala dan ganjaran di bulan Ramadhan akan datang. Orang yang memahami rahsia di balik bulan Ramadhan ini pasti akan bersikap seperti generasi mulia yang memahami indahnya bulan ini. Sayangnya, generasi seperti mereka amat jarang dan langka hari ini. Kebanyakan umat Islam tidak menyadari betapa besar kurnia Allah swt di bulan Ramadhan. Natijahnya, mereka membiarkan bulan ini berlalu dengan sia-sia serta kurang amal soleh yang di raih. Mereka lebih cendrung untuk meraih keuntungan dunia berbanding akhirat dengan memperbanyak perniagaan juadah makan yang berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran yang melampau. Sayangnya, fenomena ini juga menyebar dan menjadi masalah bukan sahaja di tanah air, namun di seluruh nnegeri umat Islam umumnya (https://www.ecomena.org/food-wastes-ramadan/).
Adalah suatu yang amat menyedihkan bilamana kita perhatikan ada di kalangan generasi umat Islam hari ini yang secara tidak sedar telah melenyapkan hikmah ibadah puasa yang telah dilaksanakan pada siang hari bulan Ramadhan yang mulia ini. Hal ini kerana pada malam harinya, ada yang menghabiskan masa dengan hanya lepak dan sembang kosong dengan rakan mereka, sedangkan pada siang harinya pula hanya digunakan untuk tidur sepanjang hari. Lebih menyedihkan, ada yang langsung tidak bangun untuk menunaikan solat ketika berpuasa di siang hari akibat tidur yang berlebihan. Walhal ibadah puasa mewajibkan agar manusia memiliki tingkat kepekaan amal ibadah, serta ibadah dalam interaksi sosial yang selayaknya wujud dalam diri setiap Mukmin. Hikmah mengawal diri dari lapar dan dahaga, akan menjadikan jiwa mereka tenang, berhemah, dan peka dalam tiap tindakan yang dilakukan. Selain itu, menahan perut yang lapar dan tekak yang kering, dapat menjiwai penderitaan orang-orang miskin yang diuji justeru meningkatkan rasa bersyukur dalam diri manusia.
Individu yang membuang masa dengan menyia-nyiakan waktunya untuk lepak dan tidur, tidak dapat dihitung betapa besar kerugian yang ditanggungnya. Setiap detik waktu di bulan Ramadhan hakihatnya sangat berharga untuk beribadah, ditambah pula dengan kelebihan bahawa syaitan dibelenggu sepertimana hadith nabi SAW, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ
Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Riwayat al-Bukhari (1898) dan Muslim (1079))
Antara ibadah individu yang sepatutnya diperbanyakkan dalam bulan yang mulia ini adalah seperti berzikir, menunaikan solat, membaca al-Quran, dan mentadabbur ayat-ayat Quran yang mencerminkan kesempurnaan ciptaan-Nya.
Beberapa ulama besar seperti Imam Malik Ibn Anas akan menutup buku-buku kajian dan menfokuskan perhatian pada membaca al-Quran pada bulan Ramadhan. Ini juga menunjukkan betapa pentingnya bulan yang istimewa dan suci ini bagi mereka.
Fenomena negatif yang sering kita perhatikan berlaku dalam umat Islam hari ini adalah pembaziran juadah makanan yang berlebihan menjelang bulan puasa khususnya berlaku di bazar-bazar Ramadhan. Juadah yang di sediakan sering melebihi keperluan yang sepatutnya untuk masyarakat setempat. Akhirnya, makanan tersebut dibazirkan dan dibuang begitu sahaja. Hal ini muncul kerana ketidakmampuan seseorang itu untuk mengendalikan hawa nafsunya. Sedangkan hakikatnya nafsu manusia tidak akan pernah puas justeru akan terus menuntut untuk mendapat lebih lagi.
Jika puasa yang disempurnakan tidak mampu membimbing ke arah pengendalian jiwa dengan lebih sempurna, ini adalah perkara serius dan perlu diperbaiki. Janganlah seseorang itu hanya setakat menahan nafsu perut dan syahwat dari terbit fajar hingga terbenam matahari semata-mata. Hakikatnya, ibadah puasa sepatutnya meliputi juga penjagaan hati, lidah, mata, telinga, dan organ tubuh lainnya. Sebagai contoh, mata ‘berpuasa’ dari memandang perkara yang haram, tidak melihat perkara yang dilarang dan yang dicegah. Inilah perkara yang di jelaskan dalam hadis yang dinyatakan tadi bahawa ramai orang yang berpuasa hanya merasakan lapar dan dahaga semata-mata. Terdapat riwayat yang menjelaskan bahawa Allah tidak berkeinginan terhadap lapar dan dahaga orang yang berpuasa tetapi tidak meninggalkan kata-kata kotor dan tindakan keji.
Oleh yang demikian, adalah menjadi satu tuntutan bagi seluruh umat Islam agar memanfaatkan Ramadhan semaksimum mungkin dengan meningkatkan amal soleh. Ramadhan perlu dijadikan juga sebagai momentum untuk mengeratkan silaturrahim dan jalinan persaudaraan. Solat terawih yang dilakukan secara berjamaah, merupakan salah satu nuansa yang dapat merapatkan ukhuwah dan kekuatan kesatuan sesama Muslim. Jika umat Islam sudah bersatu, tidak ada kekuatan apa pun yang boleh mengalahkannya. Perkara ini telah terbukti sejak zaman Rasulullah SAW, di mana sebahagian besar perang dan peristiwa besar dalam Islam terjadi pada bulan Ramadhan. Pada bulan ini juga, sebahagian besar kemenangan dan kejayaan diraih oleh kaum Muslimin. Kemenangan Perang Badar dan Pembukaan kota Mekah dalam bulan mulia Ramadhan adalah antara contoh yang tidak asing lagi untuk dijadikan ibrah buat kita.
Semua itu bukan terjadi secara kebetulan, akan tetapi, semangat bulan Ramadhan terbukti mampu meningkatkan adrenalin dan semangat kaum Muslimin untuk berjuang lebih gigih dan lebih kuat. Masih segar dalam ingatan kita betapa hebat sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Rawahah yang semakin bersemangat ketika berjuang tanpa mengendahkan rasa lapar atau dahaga tatkala diminta untuk segera turun membantu pasukan kaum Muslimin yang mulai terdesak dalam perang Mu’tah. Bayangkan, beliau merasakan bahawa masuk ke syurga akan mengambil masa terlalu lama sekiranya beliau menelan buah kurma yang perlu dimakan untuk berbuka puasa. Justeru beliau memuntahkan buah itu terus turun menggempur musuh sehingga syahid (Ibnu Hisyam, 1375: II/379).
Ini adalah bukti bahawa berpuasa tidak sedikit pun membuat jiwa, samada rohani mahupun jasmani, seorang perajurit Islam itu luntur dan melemah lantaran ibadah puasa yang dilaksanakan.
Bulan puasa menjadi semakin istimewa dengan kurniaan malam terindah, iaitu satu malam yang bernama Lailatul Qadr. Satu malam yang lebih baik dari seribu bulan atau setara dengan 83 tahun lebih, dalam kiraan matematik. Subhanallah, tidak terbayang betapa besar kurnia Allah pada bulan suci ini dengan darjat kemuliaah, kelebihan, gandaan yang Allah swt sajikan untuk umat ini!
Kita sebagai umat Nabi Muhammad perlu meningkatkan rasa bersyukur, biarpun umur umat Muhammad agak singkat berbanding umat terdahulu, namun dengan kurniaan bulan yang mulia ini, umat Muhammad dapat mengumpulkan kebaikan, bahkan menggandakan pahala yang melimpah selagi mana kita memanfaatkan peluang yang Allah swt kurniakan istimewa untuk umat muhammd secara khusus. Malam Lailatul Qadr adalah satu hadiah besar yang perlu diimarahkan dan diberikan khusus buat umat Muhammad berbanding umat nabi yang lain.
Kemenangan umat Islam disyukuri dengan pelaksanaan perayaan Aidul Fitri (Hari Raya). Hari istimewa ini merupakan tanda kemenangan setelah sebulan penuh berpuasa. Dalam kegembiraan menyambut kemenangan, tetap sahaja akan ada dua jenis golongan manusia yang merayakannya. Pertama, golongan yang rugi, kerana tidak memanfaatkan bulan Ramadhan sebaik mungkin. Manakala golongan kedua adalah golongan yang beruntung yang merasa puas atas keberkatan kejayaan yang dikurniakan oleh Allah swt kerana berjaya melaksanakan ibadah dan melepasi ujian madrasah Ramadhan dengan usaha yang terbaik. Semoga Allah swt mengurniakan kita semua peluang dan kekuatan dalam melaksanakan ibadah puasa di bulan yang mulia ini dengan kejayaan sebaik-baiknya. Aamin Ya Rabbal ‘Alamin.