Masuk Bakul Angkat Sendiri

DR. Jamaludin Jarjis menunjukkan akhbar The Washington Times yang menyiarkan berita dan gambar mengenai Malaysia pada majlis taklimat kepada media sempena lawatan Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat di Kedutaan Malaysia di Washington, kelmarin. - BERNAMAAS minta nasihat Malaysia

WASHINGTON 10 April – Kunjungan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS) kali ini, yang kedua selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri, dijangka membawa makna besar dalam konteks hubungan Malaysia-AS dan AS dengan dunia Islam. Presiden Barack Obama difahamkan akan meminta nasihat Kuala Lumpur dalam usaha memperbaiki hubungan AS dengan negara-negara Islam seperti mana sikap keterbukaan terhadap dunia Islam yang dinyatakannya ketika berada di Universiti Al-Azhar, Mesir baru-baru ini.

Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis membayangkan perkara itu kepada wartawan Malaysia yang berada di sini bagi membuat liputan lawatan kerja Najib ke AS bermula hari ini sehingga 16 April. Kali pertama beliau melawat AS atas kapasiti Perdana Menteri ialah November lepas.   Perdana Menteri yang tiba tengah hari ini akan turut menyertai Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di sini pada Isnin dan Selasa ini, juga atas jemputan Obama. 

“Perubahan agak mendadak… cara AS melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam maju dan contoh kepada negara Islam lain. Semestinya kerajaan menimbang ‘mengkaji’ hubungan dengan AS,” jelasnya. Jamaludin berkata, perkembangan tersebut amat jelas apabila Malaysia, yang bukan pun negara nuklear, diundang menyertai sidang kemuncak berkenaan.

Sebanyak 44 pemimpin dunia dijemput mengikuti sidang kemuncak itu.   Malah, jelas beliau, Najib merupakan satu-satunya pemimpin dari ASEAN dan salah seorang daripada dua pemimpin Asia yang akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Obama.   Pertemuan Najib-Obama akan berlangsung sejurus sebelum Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear bermula. China adalah negara kedua di Asia yang akan mengadakan perbincangan dua hala dengan AS.

“Jemputan Obama kepada Perdana Menteri bagi menghadiri sidang kemuncak ini suatu kebanggaan kepada Malaysia kerana kita bukan sebuah negara nuklear; dan nampak ia satu anjakan bukan sahaja dalam hubungan dua hala Malaysia-AS malah hubungan AS dengan negara-negara Islam secara keseluruhan,” jelas Jamaludin.  

Obama hanya mengadakan perbincangan dua hala dengan sembilan sahaja daripada para pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak itu yang antara lain bertujuan memberi fokus kepada soal keselamatan bahan-bahan nuklear selain memastikan teknologi nuklear tidak jatuh ke tangan pengganas.   Selain Obama, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan pada majlis makan tengah hari pada Isnin dengan Naib Presiden AS, Joe Biden, bertemu Timbalan Setiausaha Negara, James Steinberg dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar AS yang juga anggota Kongress, Howard Berman.  

Dalam konteks menangani ancaman dan keselamatan juga, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan dasar berkisar kepada pengalaman dan kejayaan Malaysia menangani ancaman komunis di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) di sini pada Rabu.   Dua tokoh yang sama-sama terlibat dalam menangani perkara itu iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Hashim Ali turut dijemput oleh CSIS. 

Jamaludin juga berkata, Perdana Menteri akan mengambil peluang untuk memperjelaskan kerangka Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkannya akhir bulan lalu semasa mengadakan pertemuan dengan para pelabur dan ahli-ahli perniagaan di sini dan di New York, sebagai langkah menarik pelaburan, khususnya dari AS.  Antara mereka ialah Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick serta ketua-ketua pegawai eksekutif Coca-Cola, Intel, Motorola dan Conoco Phillips.   Sebagai langkah memajukan sektor pelancongan dan kebudayaan negara, Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan melancarkan Festival Wajah-Wajah 1Malaysia iaitu program anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.  “Pelancongan kita amat kurang promosi di AS dan ia kesempatan terbaik untuk mempromosikan Malaysia,” katanya.

Mingguan Malaysia:11/04/2010


“Masuk Bakul Angkat Sendiri”

Mungkin inilah sindiran yang paling tepat untuk kita berikan kepada Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis (JJ) berkenaan dengan kononnya AS akan meminta nasihat Malaysia dalam usahanya untuk memperbaiki hubungan dengan negara-negara Islam yang lain sempena pertemuan Najib dengan Obama nanti. Sebagai umat Islam, amat malang bagi kita mempunyai seorang duta seperti JJ yang begitu mudah tunduk kepada tipu daya yang dimainkan oleh pemimpin pengganas nombor 1 dunia itu. Ramai pemimpin umat Islam hari ini merasakan seolah-olah Obama umpama “Superman” yang mempunyai kuasa ghaib untuk menyelamatkan dunia. Sedangkan dari segi faktanya, AS adalah sebuah negara kafir harbi fi’lan yang statusnya pada saat ini berada dalam keadaan memerangi umat Islam. AS adalah sebuah negara yang berideologikan Kapitalisme yang mana mereka menggunakan pendekatan kolonialisme sebagai thariqah untuk mengembangkan dan menyebarluaskan ideologi Kapitalisme ke seluruh dunia. Seperti serigala yang dahagakan darah, AS tidak pernah berhenti ataupun rasa bersalah membunuh jutaan umat Islam di seluruh dunia. Keadaan semasa umat Islam di seluruh dunia khususnya di Iraq, Afghanistan, Pakistan adalah bukti yang cukup jelas untuk kita mengenali siapakah AS sebenarnya. Suatu kelemahan dan petanda buruk bagi umat Islam hari ini apabila mereka mempunyai para pemimpin yang berpemikiran sekular seperti JJ dan Najib yang tanpa rasa malu menundukkan diri mereka kepada kuffar barat AS laknatullah untuk mencari kemuliaan di sisi orang-orang kafir.
Firman Allah SWT: ” Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”[TMQ Al Munaafiquun (63) : 8].