Media bukan punca gejala sosial?

Kajian UPM dedahkan faktor keluarga, pengaruh rakan penyumbang utama

KUALA LUMPUR
22 Okt. – Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati masalah sosial yang dihadapi masyarakat ketika ini bukan berpunca daripada pengaruh media massa sebaliknya faktor keluarga, pengaruh rakan sebaya dan hiburan luar.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata pendedahan itu dibuat selepas satu kajian berhubung pengaruh media massa dan kesan terhadap nilai keagamaan dibuat oleh Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, diketuai oleh Dr Hamisah Hassan.

Sumber: Berita Harian, 23/10/2009

Media bukan punca gejala sosial?

Sudah kerap sekali kita dihadapkan dengan persoalan mengenai punca gejala sosial. Apa yang kita perhatikan, skema jawapannya tetap sama. Yang sering menjadi ‘scapegoat’ adalah keluarga, pengaruh rakan sebaya dan hiburan luar. Bagi yang berfikir dan mampu menggunakan akal dengan mendalam dan menyeluruh, pasti akan terdetik di dalam benak mereka bahawa ‘scapegoat’ yang kerap diutarakan sebagai jawapan kepada persoalan ini bukanlah jawapan yang sebenarnya. Pasti juga akan terdetik di dalam pemikiran mereka bahawa permasalahan ini amat rapat terkait dengan penerapan hukum syari’at  Islam yang tidak dipedulikan oleh negara saat ini. Kemungkaran ini pada hakikatnya menjadi sandaran kepada segala permasalahan umat hari ini.

Rasulullah SAW  telah melatih umatnya untuk membangunkan pemikiran politik(fikrus-siyasi) berdasarkan hadis yang disabdakan baginda dengan jelas: “ Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan dia akan disoal akan apa yang ia pimpin, imam(pemimpin Negara) itu adalah pemimpin, dan dia akan disoal akan (keadaan) rakyat yang dipimpinnya.” (Hadis Riwayat Muslim). Di manakah letaknya hadis ini dalam membincangkan pelbagai masalah kita?

Sepatutnya para ulama’ yang menjadi ikutan rakyat memberikan jawapan yang benar dalam permasalahan yang dihadapi, bukan sebaliknya memberikan jawapan yang dusta di bawah telunjuk pemerintah yang memaksiati Allah. Para ulama’ yang mengampu pemerintah ini sewajibnya bertaubat segera kepada Allah dan mengeluarkan diri mereka dari kepompong ulama’ su’ agar mereka dapat kembali memikul tugas dakwah yang mulia sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada setiap muslim.

Sedarlah, hanya dengan kembali kepada Islamlah seluruh masalah umat akan dapat diselesaikan dengan tuntas.  Apabila umat Islam sedar akan kewajipannya untuk bergabung dalam usaha dakwah menegakkan kembali Negara(Daulah) Islam, maka pada ketika itulah, kebangkitan sebenar akan mula terserlah. Dan hanya dengan Negara inilah kemuliaan, kesejahteraan dan keadilan akan benar-benar dapat dikecapi.