Mejar Zaidi mangsa kepada demokrasi
Setelah lebih setahun “bertarung” untuk mempertahankan haknya, akhirnya Mejar Zaidi tewas di medan mahkamah. Mahkamah Tentera yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Saadon Hassan memutuskan yangZaidi bersalah kerana melanggar peraturan dengan membuat kenyataan akhbar tanpa kelulusan dari pihak yang sepatutnya. Sebagai hukuman, Mejar TUDM itu dibuang kerja daripada perkhidmatan Yang di-Pertuan Agong oleh Mahkamah.
Mejar Zaidi didakwa di Mahkamah Tentera setelah beliau mendedahkan yang “dakwat kekal” yang digunakan semasa pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang lalu sebenarnya tidak kekal. Dakwat kekal merupakan salah satu perubahan yang dituntut oleh Bersih sehingga menyaksikan tiga demonstrasi secara besar-besaran di Malaysia sebelum PRU 13 yang lepas. Akhirnya kerajaan akur dengan tuntutan ini dan buat pertama kalinya dalam sejarah negara, kerajaan menggunakan “dakwat kekal” ke atas pengundi, kononnya bagi mengelakkan undi dua kali.
Kita sungguh bersimpati dengan nasib yang menimpa Mejar Zaidi. Pendedahan sebuah kebenaran yang dibuatnya telah mengheretnya ke mahkamah sehingga menyebabkan beliau kehilangan mata pencarian.
Keberanian Zaidi memang wajar dipuji, walaupun mungkin bukan pujian yang beliau cari. Walaupun diputuskan bersalah, kebenaran yang beliau bongkar sudah pun mencalar maruah kerajaan. Zaidi tahu dan boleh dikatakan seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa perbicaraan ke atasnya, walaupun dibicarakan di Mahkamah Tentera, ia adalah “perbicaraan politik” yang tidak lepas dari sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.
Demokrasi memang tidak mengenal halal dan haram. Demokrasi juga tidak mengenal erti jasa dan persahabatan. Siapa yang cuba melawan, maka tunggulah penangan. Walau berapa lama sekalipun seseorang itu telah berkhidmat dan berjasa kepada negara, namun jika dia berani mencubit penguasa, maka terimalah padahnya. Inilah nasib yang diterima oleh Mejar Zaidi yang cuba menuntut kebenaran dan keadilan dalam sistem demokrasi.
Semua tahu yang gelanggang pilihan raya dikuasai oleh parti pemerintah sejak puluhan tahun. Segala pangkat, harta, kedudukan dan kekayaan negara yang telah dinikmati selama itubukanlah sesuatu yang boleh dilepaskan dengan mudah. Kalah dalam pilihan raya bermakna hilang kuasa. Hilang kuasa bermakna hilanglah segala-galanya dan hal ini bukan main-main. Justeru, selaku tuan rumah yang menyiapkan gelanggang pilihan raya yang memang dikuasai sepenuhnya oleh mereka, apakah kita mengharapkan gelanggang ini bersih dari segala perangkap?
Mejar Zaidi menjadi mangsa kepada demokrasi, menjadi mangsa kepada permainan sebuah sistem kufur yang sejak dulu, kini dan selamanya tidak pernah adil, malah semakin licik penipuannya. Sesungguhnya bukan sahaja beliau, siapa pun yang terlibat dalam demokrasi dan pilihan raya yang cuba mencari keadilan di dalamnya, semuanya berakhir dengan menjadi mangsa kepada demokrasi.
Usaha untuk memperbaiki ranting sistem ini hanya menyebabkan orang yang berusaha itu jatuh dan kecewa. Perjuangan yang sebenar bukanlah perjuangan untuk membalut ranting demokrasi yang telah reput dan memburuk, tetapi perjuangan sebenar yang wajib dilakukan ialah membuang dan mencabut demokrasi dari akar-akarnya dan menggantikannya dengan sistem Islam yang datangnya dari Allah Azza wa Jalla. Kita wajib berusaha untuk menggantikan sistem demokrasi yang buruk dan rosak ini kepada sistem Khilafah, melalui jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, barulah keadilan dan kesejahteraan yang sebenar dapat dikecapi. Wallahua’lam.