Mekanisma kawalan harga dalam Islam

Berita:

SHAH ALAM, 4 Julai (Bernama) – Tiada jaminan bahawa harga beras akan rendah jika kerajaan melaksanakan pengimportan beras melalui kaedah dagangan terbuka kepada syarikat-syarikat lain berikutan bantahan terhadap model semasa, yang mana Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) bertindak sebagai pengimport tunggal produk makanan ruji itu.

Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS, Ismail Mohamed Yusoff, berkata di bawah mekanisme pengimport tunggal, BERNAS diberikan kepercayaan oleh kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah sebagai keutamaan sementara bekalan beras sampai kepada pengguna pada harga yang stabil dan dimampui.

Berita penuh: bernama.com

Komentar:

Isu harga beras merupakan satu perkara yang tidak asing lagi di Malaysia. Hal ini demikian kerana beras merupakan makanan ruji masyarakat di negara ini. Memandangkan beras merupakan sumber makanan yang utama di Malaysia, kerajaan telah melakukan pelbagai mekanisme dalam memastikan harga beras mampu milik kepada rakyat dan beras tempatan diutamakan berbanding beras import. Antara mekanisme tersebut adalah dengan penetapan harga siling bagi beras tempatan (Special Tempatan dan Super Special Tempatan) dan harga bebas bagi beras import.

Namun apa yang perlu diperhatikan dengan lebih mendalam lagi ialah hukum syarak dalam mekanisme yang digunapakai. Menetapkan harga barang merupakan satu bentuk kezaliman kepada peniaga. Semasa berlaku kenaikan harga secara mendadak pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat ra. meminta Baginda SAW menetapkan harga, lalu Baginda SAW bersabda,

 إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّزَّاقُ وَإِنِّي لَأَرْجُو أَنْ أَلْقَى رَبِّي وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَطْلُبُنِي بِمَظْلِمَةٍ فِي دَمٍ وَلَا مَالٍ

“Sesungguhnya Allah Yang Maha Menentukan harga, Yang Maha Menahan (rezeki) dan Maha Mempermudah (rezeki), dan Maha Memberi Rezeki. Dan sesungguhnya aku mengharapkan bertemu dengan Tuhanku pada hari akhirat dalam keadaan tiada seorang pun di kalangan kamu yang boleh menuntut kepadaku atas sebab melakukan kezaliman sama ada pada nyawa, mahu pun harta!” [HR At-Tirmidzi, Ibn Majah, Abu Dawud, Ad-Darimi dan Ahmad].

Walaupun penetapan harga merupakan suatu keharaman, namun ini tidak bererti negara tiada peranan dalam mengawal harga barangan di pasaran. Islam membenarkan kawalan harga dilakukan melalui manipulasi demand and supply iaitu apabila harga barang melambung naik secara mendadak ketika permintaan tinggi, negara wajib melindungi rakyat daripada kesempitan tersebut dengan berusaha menambah bekal (supply) agar harga barangan menjadi stabil. Dengan demikian, barulah negara berperanan sebagai perisai bagi umat sepertimana yang dimaksudkan dalam hadis:

فَالإِمَامُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Imam (pemimpin) itu pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas orang yang dipelihara (rakyat)nya” [HR Bukhari].

Dengan itu, Islam telah menjaga kebajikan kedua-dua pihak iaitu para peniaga dan juga pengguna, tidak seperti sistem ekonomi hari ini yang selalunya menzalimi sama ada peniaga, pengguna atau kedua-duanya sekali.

Shah Sinan

Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia