Menanggapi Sambutan Maulidur Rasul (Siri 1/2)

Setiap kali tibanya 12 Rabiul Awal, Malaysia akan menyambut cuti umum bagi meraikan Maulidur Rasul. Pelbagai acara diadakan bagi mengingatkan cinta kita kepada baginda (saw) termasuklah yang dianjurkan oleh NGO, kerajaan atau masjid-masjid. Tidak sedikit bajet yang dikeluarkan untuk sambutan Maulidur Rasul termasuklah perarakan, peralatan, bayaran penceramah, persembahan qasidah dan lain-lain.

Namun, kali ini semua sambutan dibatalkan kerana negara menghadapi pandemik Covid-19 yang menyebabkan kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti lapangan, termasuklah di masjid-masjid. Sempena 12 Rabiul Awal tahun ini, tidak rugi untuk kita memuhasabah sejauh manakah kita benar-benar mencintai Rasulullah (saw) walaupun tiada sebarang sambutan peringatan seperti kebiasaannya.

Sesungguhnya mencintai Rasulullah (saw) bukan sahaja terhad dalam sesebuah majlis, namun kecintaan kepada baginda (saw) sewajarnya menyubur di sepanjang kehidupan kita sebagaimana yang diriwayatkan dari Anas (ra), bahawa Rasulullah (saw) bersabda;

“Tidak akan beriman seorang hamba hingga aku lebih dicintai daripada keluarganya, hartanya, dan seluruh manusia lainnya” [Mutafaq ‘alaih].

Justeru, bagaimana pula pandangan Islam berhubung sambutan Maulidur Rasul ini?

Sejarah Sambutan Maulidur Rasul

Sesungguhnya bagi setiap orang yang mengkaji hadis Nabi (saw) dan sirah baginda, maka ia akan mengetahui bahawa Nabi (saw) sama sekali tidak pernah memerintahkan agar dianjurkan perayaan/peringatan maulid (kelahiran) baginda. Akan tetapi orang-orang yang berdusta atas nama baginda telah meriwayatkan banyak hadis maudhu’ (palsu) yang tidak pernah dikenal atau dihafal oleh para Muhaddisin, kemudian dijadikan mereka sebagai dasar perayaan/sambutan maulid Nabi, sepertimana hadis (palsu),

“Barangsiapa yang mengagungkan hari kelahiranku, maka wajib baginya (mendapat) syafaatku pada hari Kiamat”

atau hadis palsu,

“Barangsiapa yang menginfaqkan satu dirham pada hari kelahiranku, seakan-akan ia menginfaqkan emas seberat gunung Uhud”.

Terlaknatlah mereka yang sengaja mendustakan Rasulullah (saw) dengan meriwayatkan hadis-hadis yang tidak pernah diucapkan oleh baginda. Dosanya di sisi Allah amat besar, sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah dalam hadis mutawatir yang masyhur,

“Barangsiapa yang berdusta atasku secara sengaja, maka siapkanlah tempat duduknya di neraka”.

Rasulullah tidak pernah mengagungkan hari lahir baginda. Baginda (saw) juga tidak pernah mengkhususkannya dengan apa-apa aktiviti taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah) sebagai amalan khusus bagi meraikan ulang tahun kelahiran baginda. Baginda (saw) juga tidak pernah memerintahkan kepada kaum Muslimin untuk menyambut/merayakan hari kelahiran baginda. Baginda juga tidak pernah memerintahkan untuk melakukan perkara di atas atau untuk bersedekah, memberi makan atau menyembelih haiwan sempena memperingati kelahiran baginda. Dengan kata lain, Nabi (saw) tidak pernah menyambut hari kelahiran baginda. Kaum Muslimin juga tidak melakukannya ketika Nabi (saw) masih hidup atau sehingga tiga generasi sesudah itu, walhal mereka adalah generasi terbaik yang dijamin oleh Rasulullah, sebagaimana sabda baginda (saw),

“Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya, kemudian datang kaum yang tidak ada kebaikan di dalamnya” [HR Thabari].

Bagi mereka yang mengamati sejarah, mereka akan mendapati bahawa acara sambutan Maulidur Rasul tidak pernah dilakukan kaum Muslimin melainkan sesudah itu, antara lain kerana terpengaruh dengan orang-orang Nasrani yang menyambut kelahiran Nabi Isa (as). Menurut catatan sejarah, orang yang pertama sekali mengadakan acara sambutan ini adalah al-Muiz Lidinillah al-Fathimi pada tahun 362H di Mesir. Dia seorang yang mengikuti fahaman kebatinan dari aliran Ismailiyyah yang telah terkeluar dari Islam.

Perayaan ini terus berlangsung sehinggalah dibatalkan oleh Badrul Jamali pada tahun 488H semasa pemerintahan Khalifah Al-Musta’li Billah. Keadaan ini tidak bertahan lama apabila perayaan ini diamalkan semula pada tahun 495H.

Manakala di Iraq, orang pertama menganjurkan sambutan Maulid Nabi ialah Raja Al-Muzaffar Abu Said Kukuburiy bin Zainuddin Ali bin Baktakin pada abad ketujuh Hijrah, namun ada juga pendapat yang menyatakan pemulanya adalah Syeikh Umar bin Muhammad al-Mala’ al-Irbali di kota Irbil, Iraq.

Diriwayatkan dari Ibnu Katsir,

“Bahawa dia (Al-Muzaffar) melakukan perayaan maulid Nabi pada bulan Rabiul Awal dengan perayaan yang meriah” [Al-Bidayah wa al-Nihayah Fi at-Tarikh, juz 3 hlm 131].

Ibnu Khalkan menyebutkan dalam Wafiyyati al-A’yan, bahawa al-Hafiz Ibnu al-Khatthab bin Duhayyah datang dari Maghribi dan masuk ke negeri Syam dan sampai ke Iraq pada tahun 604H. Di Iraq, dia mendapati penguasa Iraq Muzaffaruddin bin Zainuddin meyakini maulid Nabi, maka ia menulis kitab kepadanya, at-Tanwir fi Maulid al-Basyiri an-Nadiri dan ia membacakannya sendiri kepada Muzaffar, lalu Muzaffar membalasnya dengan seribu dinar [Al-Hawi Li al-Fatawi, Imam as-Suyuthi, juz 1 hlm 189].

Para ulama ahli sejarah bersepakat bahawa yang mula-mula melakukan sambutan Maulid ar-Rasul, yang seterusnya berkembang di tengah-tengah kaum Muslimin, adalah golongan al-Ubaidiyyun di Mesir, dari kelompok Ismailiyyah yang kafir (lebih dikenali dengan sebutan al-Fathimiyyun) yang keberadaannya merupakan bencana bagi kaum Muslimin.

Mereka memisahkan Mesir dari Khilafah Abbasiyyah dan mendirikan di sana sebuah negara khas yang bercirikan kelompok mereka sahaja. Aliran kebatinan ini, setelah mendapat kuasa, mereka berusaha merubah Daulah Islam menjadi negara kebatinan kufur dan berjalan sesuai dengan hukum-hukum mereka yang batil.

Termasuk di antara bidaah yang mereka ada-adakan ialah perayaan hari al-Ghadir, hari raya Nairuz (hari raya Parsi), hari raya al-Khamis (termasuk hari raya Nasrani) yang mereka jadikan salah satu dari hari raya kaum Muslimin. Mereka juga turut menyambut hari kelahiran Ali bin Abi Thalib, al-Hassan, al-Hussin, Fathimah, maulid Khalifah al-Qaim bi Amrillah, hari raya tahun baru Hijrah dan lain-lain lagi.

Pendapat Para Ulama Berhubung Maulidur Rasul

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang hukum menyambut maulid Nabi, tetapi di sini penulis hanya akan mengutip beberapa pendapat yang masyhur sahaja. Al-Hafiz Ibnu Hajar, Ibnu al-Haj, Ibnu Katsir, Ibnu Abaad, Ibnu Marzuq, as-Subki, Abu Syamah (guru Imam Nawawi), Ibnu Duhayyah, as-Suyuthi, al-Sakhawi dan beberapa ulama lain lagi membolehkan sambutan hari kelahiran Nabi dengan syarat sambutan tersebut bersih dari segala aktiviti kemungkaran.

Manakala Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, asy-Syatibi, al-Abdari dan beberapa ulama lain mengharamkan sambutan maulid ini. Al-Hafiz Ibnu Hajar, Ibnu al-Haj dan as-Sakhawi setuju bahawa sambutan Maulid al-Rasul adalah bidaah kerana tidak pernah dilakukan pada zaman Rasulullah (saw), tidak pula pada zaman sahabat dan generasi sesudah mereka.

Namun begitu, mereka menilai bahawa sambutan maulid Nabi ini sebagai bidaah hasanah (bidaah yang baik), dan akan menjadi bidaah dhalalah (bidaah yang sesat) jika mengandungi kemungkaran. Sebahagian besar ulama memandang bahawa sambutan Maulid ar-Rasul adalah bidaah muharramah (bidaah yang haram). Mereka juga berpendapat bahawa segala perbelanjaan harta (infaq) untuk sambutan maulid adalah haram.

Pendapat paling masyhur di antara para ulama yang menyatakan bahawa sambutan ini merupakan bidaah dhalalah adalah Tajudin Umar bin Ali al-Lakhami as-Sakandari al-Maliki yang terkenal dengan panggilan al-Fakihani. Beliau mengarang kitab berjudul al-Maurid fi al-Kalami ala Amali al-Maulid yang memuat jawapan dari pelbagai pertanyaan oleh masyarakat.

Di dalam kitab tersebut, terdapat persoalan tentang maulid seperti berikut; “Apakah ada dasarnya menurut syarak ataukah hal itu merupakan bidaah dalam agama?”. Maka Tajudin menjawab, “Saya tidak mengetahui adanya dasar syar’i untuk sambutan maulid baik dalam Al-Kitab mahupun as-Sunnah. Begitu pula tidak ada satu riwayat pun dari salah seorang ulama umat yang menjadi teladan dalam urusan agama, yang berpegang teguh pada atsar (peninggalan khazanah) orang-orang terdahulu yang mendukung, bahkan hal itu (sambutan maulid) merupakan bidaah. Bukan termasuk kewajipan yang sesuai dengan ijmak, tidak pula sunnah kerana hakikat dari sunnah (mandub) adalah tuntutan syarak tanpa adanya celaan bagi yang meninggalkannya. Mereka yang mengadakan maulid tidak mendapat izin dari syara untuk menyambutnya. Para sahabat tidak pernah melakukannya, begitu pula para tabi’in tidak melakukannya. Para ulama pun tidak melakukannya. Begitulah sesuai yang saya ketahui…” [lihat Al-Hawiy li al-Fatawi, Imam Suyuthi, juz 1 hlm 190].

Imam Suyuthi sendiri mengarang makalah tentang maulid dengan judul Husnu al-Qasdi fi Amali al-Maulid, di dalamnya beliau menjawab hukum maulid yakni bahawa beliau cenderung kepada membolehkannya. Imam Suyuthi menilai berkumpulnya manusia untuk membaca Al-Quran dan pelbagai riwayat atau khabar (hadis) Rasulullah, kemudian ada jamuan makan di dalamnya sebagai bidaah hasanah, sebab di dalamnya terdapat pengagungan terhadap kedudukan Rasulullah (saw) dan menampakkan kegembiraan akan kelahiran baginda. Beliau mengupas pendapat al-Fakihani dan membantahnya.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah (meninggal tahun 728H) pula berpendapat, “Apa yang diada-adakan oleh sebahagian orang dalam aktiviti maulid, kadang-kadang menyerupai Nasara dalam menyambut kelahiran Nabi Isa (as), dan kadang-kadang sebagai ungkapan kecintaan dan pengagungan kepada Nabi, bukan untuk bidaah seperti menjadikan hari kelahiran baginda sebagai hari raya Nabi (maulid), meskipun tanggal kelahiran baginda masih diperselisihkan oleh ulama. Namun sesungguhnya sambutan maulid itu tidak pernah dilakukan oleh orang-orang terdahulu dari generasi salaf (sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in) padahal merekalah yang lebih berhak melakukannya jika itu diperlukan, dan tidak ada suatu apa pun yang dapat mencegah mereka melakukannya. Andaikata itu merupakan satu kebaikan yang pasti atau kuat dugaan kebenarannya, nescaya generasi salaflah yang paling berhak dari kita untuk melakukannya, kerana mereka termasuk orang-orang yang paling kuat kecintaannya dan pengagungannya kepada Nabi dan dari segi mengerjakan kebaikan, mereka lebih memerhatikan hal ini dari generasi-generasi Islam lainnya. Kesempurnaan dan kecintaan kaum Muslimin dan pengagungan mereka kepada Nabi seharusnya nampak dalam peneladanan, ketaatan dan pelaksanaan perintah Rasul. Termasuk dalam hal ini adalah menghidupkan sunnah Nabi baik secara batin (dalam diri) mahupun zahir (dalam realiti kehidupan), menyebarkan risalahnya serta berjihad dalam penyebaran risalah itu dengan hati, tangan dan lisan. Itulah cara orang-orang terdahulu…” [Iqtidhau as-Sirathil Mustaqim Mukhalafatu as-habi al-Jahim, hlm 294-297].

…bersambung