Pameran Sempena Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Sultan Abu Bakar

JOHOR BAHRU  – Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang lalu, Pihak Jawatan Kuasa Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bharu, Johor telah memberikan peluang kepada Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) untuk mengadakan pameran. Muslimah Hizbut Tahrir telah mengambil inisiatif dan peluang ini bagi mendekati umat dan memberi penerangan kepada mereka mengenai pentingnya mencontohi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam segala aspek terutamanya perjuangan baginda dalam menegakkan sebuah Daulah Islam.
 

Pihak Muslimah HTM telah membuka gerai pameran pada pukul 8.30 pagi iaitu bersebelahan gerai HTM yang diuruskan petugas lelaki. Memandangkan gerai HTM satu-satunya gerai yang mengadakan pameran, sementara gerai –gerai yang lain menjual makanan dan minuman, kami menerima respon yang agak memberangsangkan dari umat. Walaupun gerai pameran ditempatkan di kawasan parkir kereta Masjid Sultan Abu Bakar, gerai pameran muslimah HTM telah dikunjungi oleh pengunjung-pengunjung yang terdiri dari ibu-ibu berserta anak  kecil serta remaja sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi. Muslimah HTM sedaya upaya memberi penjelasan akan pentingnya menghayati dan mencontohi perjuangan dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Sesungguhnya masalah yang melanda umat Islam (khususnya Muslimah) adalah disebabkan mereka tidak lagi berdakwah dan menerapkan hukum Allah dalam seluruh aspek kehidupan.
 
Antara bahan-bahan yang dipamerkan adalah Carta Sejarah Umat Islam iaitu Time Line mengenai Sejarah Kelahiran, Kegemilangan dan Kemunduran Umat Islam, album Khilafah, poster-poster penderitaan serta kezaliman yang ditimpakan ke atas muslimah dan risalah-risalah yang diedarkan kepada pengunjung. Sepanjang pameran segelintir pengunjung berminat mendapatkan Time Line/ Carta sejarah Umat Islam dan album Khilafah. Ada juga yang bertanyakan samada boleh mereka menghadiri kelas@usrah bersama muslimah HTM. Segelintir pengunjung yang terdiri dari pelajar Maahad Johor juga nampaknya berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai HTM dan melontarkan soalan berkaitan demokrasi dan pemerintahan Islam.
 
Pameran telah berlangsung sehingga jam 12 tengahari kerana hujan turun dengan agak lebat.  Di kesempatan ini,pihak Muslimah HTM ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak urusetia sambutan Maulidur Rasul Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bharu yang telah memberi keizinan dan ruang kepada MHTM untuk bersama-sama mendekati dan memberi pemahaman kepada umat akan pentingnya mencontohi dan meneruskan perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sehingga seluruh hukum-hakam Allah diterapkan melalui sebuah Khilafah Islam. Sekalung terima kasih juga ditujukan kepada petugas-petugas HTM yang memberi kerjasama penuh sepanjang pameran.

Semoga segala usaha diberkati Allah Subhanahu wa Taala dan pendedahan kepada umat tentang kewajipan mencintai serta mencontohi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dapat dipupuk bagi merealisasikan firman Allah Subhanahu wa Taala yang bermaksud:” Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi mereka yang mengharapkan Allah dan hari akhir serta banyak berzikir kepada Allah.” [TMQ Al Ahzab(33):21]