Pameran Palestin dan Sejarah Khilafah di Masjid Ar Rahman, Universiti Malaya

Bangsar, Kuala Lumpur, 01 Februari 2009:  Ahli Jawatankuasa Masjid Ar Rahman, Jalan Pantai Baru, berhampiran dengan Universiti Malaya telah mengadakan “Malam Airmata Palestin” dengan menjemput Sukarelawan NGO,Yayasan Amal Malaysia iaitu Tuan Haji Jamuliddin bin Hj Elias yang baru kembali dari misi bantuan kemanusiaan di Palestin untuk menceritakan realiti sebenar keadaan umat Islam di Gaza.  Muslimah HTM telah mengambil peluang ini untuk mengadakan pameran bagi menjelaskan tentang sejarah permasalahan di Palestin juga sejarah umat Islam secara umumnya.

Pihak Muslimah HTM telah membuka gerai pameran di ruang legar Muslimat di perkarangan Masjid Ar Rahman bermula dari sebelum waktu maghrib sehingga jam 10.15 malam.  Para jemaah wanita yang kebanyakkannya terdiri dari siswi-siswi Universiti  Malaya mula membanjiri gerai pameran kami selesai Solat Isyak.  Para petugas tidak menang tangan melayani pengunjung-pengunjung yang tidak henti-henti bertanyakan berbagai soalan dan kemusykilan tentang sejarah Palestin serta Sejarah Umat Islam dari zaman kedatangan Islam seterusnya zaman kekhilafahan sehinggalah kepada sebab-sebab kejatuhan Daulah Khilafah. Para pengunjung juga amat bersetuju dengan penyelesaian sebenar untuk menyelamatkan umat Islam di Palestin iaitu dengan menggerakkan tentera-tentera kaum Muslimin untuk berjihad di bawah kepimpinan seorang Khalifah. 

Antara bahan pameran yang amat menarik minat pengunjung untuk bertanyakan soalan adalah Carta Sejarah Umat Islam yang berbentuk Time Line, yang mana carta ini memberikan ringkasan sejarah bermula dari Zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sehinggalah kepada Zaman Sekarang. Para pengunjung merasakan amat terkilan dengan penipuan tentang sejarah Islam yang mereka pelajari di dalam sistem pendidikan sekular semasa di zaman persekolahan dulu.  Di samping itu terdapat beberapa carta lain tentang penjajahan Israel di bumi yang diberkati, Palestin.

Pihak Muslimah HTM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Masjid Ar Rahman yang memberikan kerjasama yang amat baik dan memberikan peluang kepada pihak kami untuk menutup gerai agak lewat bagi melayan pengunjung yang seolah-olah tidak mahu beredar dari gerai pameran kami dan beberapa orang dari mereka telah meminta untuk dihubungi bagi mendalami lebih lanjut tentang sejarah Islam yang sebenar. Tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan program ini, yang mana kita melihat umat Islam memandang berat kepada isu Palestin dan mereka sendiri kelihatannya serius untuk mempertahankan tanah suci kaum Muslimin, yang tinggal hanya pemimpin sekular seperti Mesir dan Arab Saudi yang sangat takut kematian dan cintakan dunia.  Wallahu ’alam.