Mengapa NGO liberal bagai cacing kepanasan dengan kempen ‘SayNO2Zina’?

Berita:

Kempen “SayNO2Zina” yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan dan Penduduk Keluarga Negara (LPPKN) dilaporkan mendapat tentangan daripada sebilangan NGO tempatan. Kempen yang sedang dijalankan itu dilihat sebagai tidak mendasari isu sebenar dan tidak membantu dalam menangani masalah sosial seperti kehamilan luar nikah, pembuangan bayi di negara ini. Sebaliknya ia dinilai oleh mereka yang mengkritik sebagai satu mesej yang lebih bersifat menghukum dan menggunakan pendekatan yang konservatif dalam menangani isu ini.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/

Komentar:

Bagai cacing kepanasan, begitulah keadaan beberapa NGO liberal yang tidak bersetuju dengan pendekatan yang dibawa oleh LPPKN dalam kempen “SayNO2Zina” baru-baru ini. Sehinggakan slogan #JagaDiri #StayAbstinent yang dihebahkan kepada masyarakat umum seolah-olah menjadi satu alergi buat mereka. Pendekatan yang bersifat mencegah ini dikatakan terlalu menyalahkan wanita tanpa memberi penekanan terhadap peranan yang dimainkan oleh golongan lelaki. Selain itu, menghalang aktiviti seksual sebelum pernikahan seperti yang termaktub dalam kepercayaan masyakarat dan agama dilihat sesuatu yang tidak relevan malah telah tiba saatnya untuk masyarakat menilai semula sudut pandang ini dengan memperkenalkan pendidikan mengenai konsep persetujuan dan paksaan dalam aspek seksualilti.

Sekali lagi laungan liberal semakin kuat berkumandang dan dinyanyikan oleh mereka yang mendukung ideanya. Bagi mereka, sudut pandang agama bukanlah dasar dalam mengeluarkan pendapat, malah dilihat tidak membantu dalam menangani kemelut sosial yang sedang dilalui. Pandangan golongan liberal yang merosakkan ini benar-benar telah mengetepikan peranan agama dalam kehidupan.

Jika golongan liberal ini ingin menyalahkan agama Islam kerana gagal menangani masalah sosial seperti ini ternyata pemikiran mereka sudah terlalu mundur kebelakang. Agama-agama lain memang gagal dan sebenarnya tidak akan berjaya untuk menyelesaikan masalah sosial disebabkan oleh tidak adanya pendekatan yang comprehensive (menyeluruh) dalam ajaran agama mereka. Namun hal ini sangat berbeza dengan Islam yang mempunyai satu aturan sistem kehidupan yang lengkap.

Islam sebagai agama dan sistem kehidupan secara lengkap telah menjelaskan dengan terperinci aturan terbaik bagi mengatur pergaulan sosial antara lelaki dan wanita. Dalam mendepani masalah kehamilan luar nikah (zina) dan buang bayi ini, Islam mempunyai mekanismenya yang tersendiri. Ia bermula dengan kewajipan menutup aurat dan menundukkan pandangan bagi setiap individu. Berkaitan dengan adab-adab pergaulan pula, Islam menjelaskan kewajipan infishal (pemisahan kehidupan lelaki dan wanita secara umum) dan melarang ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita tanpa alasan syarie). Selain itu, Islam telah mengharamkan perbuatan khalwat dan juga perbuatan-perbuatan yang dapat mendekatkan diri kepada zina. Bagi pemenuhan naluri seksual manusia dan juga penjagaan terhadap susur galur keturunan, Islam telah mensyariatkan hukum hukum berkaitan nikah dan kehidupan suami isteri. Negara pula berkewajipan untuk menerapkan sistem hukuman Islam (uqubat Islam) bagi memastikan perlaksanaan setiap perintah dan larangan hal-hal tadi berjalan dengan baik yang meliputi undang-undang hudud dan takzir. Jika berlakunya pelanggaran terhadap hukum-hukum tersebut, maka negara wajib menghukum pelakunya. Mereka yang berkhalwat dijatuhkan hukum takzir, manakala bagi penzina akan dikenakan hukum hudud (ghair muhsan disebat, mushab direjam).

Begitulah serba sedikit bagaimana Islam mengatur dan menyelesaikan masalah ini. Ternyata pengaturan Islam cukup sempurna dan jauh lebih baik daripada idea yang ditawarkan oleh pemikiran liberal yang rosak itu. Sudah tentu demikian kerana agama Islam diturunkan oleh Pencipta manusia iaitu Allah SWT yang Maha Mengetahui. Allah SWT berfirman:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maaidah (5): 50].

Umat Islam sememangnya perlu risau dengan masalah sosial yang melanda negara ketika ini, dengan statistik anak luar nikah hasil daripada perbuatan zina semakin meningkat dari hari ke hari. Hal ini demikian kerana, perlaksanaan sistem Islam dalam isu ini sepertimana yang telah dijelaskan di atas tidak lagi berlaku dalam kehidupan kaum muslimin ketika ini. Ini disebabkan oleh pengabaian dan kelalaian pemerintah sedia ada untuk menerapkan sistem Islam dalam pemerintahan mereka. Malah, apa yang lebih utama untuk disedari oleh umat Islam ialah sistem kehidupan yang diterapkan pada hari ini iaitu sistem yang berasaskan sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan) inilah yang menyuburkan lagi gejala sosial ketika ini.

Jadi, sudah tiba masanya untuk umat Islam bergerak untuk berjuang menegakkan semula hukum-hakam Islam dalam kehidupan ini. Caranya dengan mengubah sistem dan perlembagaan sekular yang mengatur kaum muslimin ketika ini dengan sistem kehidupan Islam dan menegakkan pemerintahan Islam iaitu Khilafah Islamiyah.

Khamis Satiman
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia