Mengembalikan Khilafah satu kewajipan, HTM seru umat raih kemuliaan dengan berusaha ke arah merealisasikannya

JUMAAT, 23 Februari – Umat Islam diseru agar meraih kemuliaan dengan berusaha mengembalikan semula Khilafah yang merupakan suatu kewajipan yang telah sekian lama diabaikan. Bahkan sesungguhnya menjadi satu bentuk kemaksiatan terbesar sekiranya umat ini tidak berusaha ke arahnya, ekoran tiadanya penerapan syariah sejak keruntuhan Khilafah 94 tahun yang lalu.

Sehubungan itu, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengadakan demonstrasi aman di beberapa tempat di seluruh masjid bagi mengingatkan umat akan kewajipan ini, menjelaskan punca keruntuhan khilafah serta natijah daripada keruntuhan institusi agung umat Islam ini. Demonstrasi tersebut diadakan serentak di beberapa buah masjid sekitar seluruh negara antaranya di Masjid Wilayah Kuala Lumpur, Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi, Masjid NAZA TTDI Seksyen 13 Shah Alam, Masjid Umar Ibnu Al-Khattab Bandar Bayan Baru Pulau Pinang, Masjid Jamek Taman Rinting Masai dan Masjid Saidina Ali Abi Thalib Taman Mesra Sandakan.

Dalam seruan yang disampaikan sejurus selepas solat Jumaat tadi, HTM juga menjelaskan peranan para misionaris dalam menyebarkan idea-idea kufur yang menjadi pegangan sebahagian daripada umat Islam dan mendominasi kehidupan mereka sehingga ke hari ini. Di samping itu, turut dinyatakan bahawa kemerdekaan yang diperoleh negara-negara kaum Muslimin pada hari ini tidak lebih daripada sekadar ilusi kerana hakikatnya kuasa-kuasa kuffar masih mengekalkan hegemoni ke atas umat Islam, khususnya melalui undang-undang kufur yang diwariskan ke atas umat ini.

Keruntuhan Daulah Khilafah Islam yang berpusat di Istanbul yang diwarisi daripada Rasulullah SAW pada 28 Rejab 1342H bersamaan 3 Mac 1924 merupakan titik hitam bagi seluruh umat Islam. Peristiwa hitam ini bukan sahaja perlu dijadikan iktibar dalam lipatan sejarah, bahkan menjadi kewajipan ke atas kita semua untuk berusaha mengembalikannya. Justeru, HTM tidak akan pernah berhenti daripada menyeru agar umat ini bersama-sama dalam merealisasikan kewajipan tersebut sehinggalah tiba saat kembalinya semula Khilafah sebagaimana yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya SAW. Wallahua’lam.