Menghayati Peristiwa Nuzul al-Quran di bulan Ramadan

Penulis: Farisha Aris

Kedatangan bulan suci Ramadan memang sangat dinantikan oleh seluruh umat Islam kerana keistimewaan yang Allah SWT kurniakan di bulan Ramadan yang tidak dimiliki oleh bulan-bulan yang lain. Salah satu keistimewaan yang diyakini oleh setiap Muslim adalah adanya satu malam di antara malam-malam Ramadan itu iaitu akan hadir Lailatul Qadar yang ditunggu-tunggu  kerana nilai keutamaannya yang setara dengan seribu bulan.yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang menemui malam tersebut. Selain itu, pada malam Lailatul Qadar ini lah al-Quran pertama kali diturunkan oleh Allah SWT dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah di Langit Dunia. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran pada Lailatul Qadar. Apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar itu lebih baik nilainya dari seribu bulan” (TMQ al-Qadar [97]: 1-3).

Al-Quran berfungsi sebagai Petunjuk, Penjelas dan Pembeza

Sebahagian besar umat Islam sentiasa mengadakan hari peringatan Nuzul al-Quran setiap kali menjelangnya 17 Ramadan pada setiap tahun bagi memperingati peristiwa turunnya al-Quran. Pada kebiasaannya, kaum Muslim akan memperbanyakkan membaca al-Quran berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Namun begitu, tahukah anda betapa penting untuk memaknai kembali peristiwa Nuzul al-Quran yang sebenarnya? Setiap Muslim wajib meyakini kebenaran al-Quran sebagai Kalamullah. Keyakinan itu semestinya kemudian diwujudkan dengan membaca (tilawah) al-Quran, mengkaji dan mempelajarinya (tadarrus dan tadabbur) serta mengamalkan dalam kehidupan seharian. Allah SWT berfirman:

“Bulan Ramadan, itulah bulan yang di dalamnya al-Quran diturunkan, sebagai petunjuk (bagi manusia), penjelasan atas petunjuk itu serta sebagai pembeza” (TMQ al-Baqarah [2]: 185).

Berdasarkan ayat di atas, jelas menyatakan bahawa al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT berfungsi sebagai huda (petunjuk), bayyinat (penjelasan) dan furqan (pembeza antara yang hak dengan yang batil, antara yang benar dan yang salah, antara yang halal dan haram serta antara yang diredai Allah SWT dan yang tidak).  Dalam ayat yang lain juga ada ditegaskan bahawa al-Quran adalah sebagai penjelas segala sesuatu (tibyanan li kulli shay’in), petunjuk (huda) dan juga rahmat (rahmatan) bagi manusia sebagaimana firman Allah SWT:

“Kami telah menurunkan kepadamu (Muhammad) al-Quran sebagai penjelas segala sesuatu; juga sebagai petunjuk, rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang Muslim” (TMQ an-Nahl [16]: 89).

Ini bermaksud bahawa al-Quran adalah petunjuk bagi manusia dalam memberikan penjelasan tentang hukum-hukum yang telah disyariatkan oleh Allah SWT yang akan mengatur seluruh aspek kehidupan sehingga manusia berada dalam rahmat Allah SWT kerana sentiasa memelihara dan melaksanakan apa yang terkandung di dalam al-Quran. Dengan memahami maksud ayat di atas juga, dengan jelas menyatakan bahawa al-Quran sesungguhnya merupakan sumber penyelesaian bagi setiap permasalahan yang dihadapi manusia.

Meskipun Allah SWT secara tegas menyatakan al-Quran sebagai sumber penyelesaian segala permasalahan umat, namun kebanyakan kaum Muslim hari ini tidak menghayati dan meneliti (taddabur) al-Quran tetapi hanya melakukan bacaan fizikal sahaja (sekadar membaca dan mengkhatamkannya) sehingga mengakibatkan umat Islam mengabaikan penegasan Allah SWT ini. Ini terbukti apabila sehingga hari ini al-Quran tidak dijadikan rujukan oleh umat, khususnya para pemerintah dan jentera pemerintahannya untuk memecahkan pelbagai permasalahan yang mereka hadapi ketika mengurusi umat yang pastinya semua ini memerlukan penyelesaian yang jitu, tuntas dan segera.

Larangan Mengabaikan Al-Quran

Sesungguhnya mengabaikan al-Quran merupakan dosa besar bagi kaum Muslim. Rasulullah SAW sendiri pernah mengadu kepada Allah SWT tentang perbuatan umatnya yang menjadikan Al-Quran itu sebagai ‘mahjuran’ iaitu melakukan hajr al-Qur’an (meninggalkan atau mengabaikan al-Quran). Allah SWT berfirman:

“Berkatalah Rasul, “Wahai Tuhan, sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini sebagai sesuatu yang diabaikan” (TMQ al-Furqan [25]: 30).

Menurut para mufassir, terdapat banyak sikap dan perilaku yang dikategorikan sebagai ‘hajr’ di dalam al-Quran (meninggalkan atau mengabaikan al-Quran). Sikap dan perilaku tersebut antaranya adalah menolak untuk mengimani dan membenarkannya, tidak mentadabbur dan memahaminya, tidak mengamalkan serta mematuhi perintah dan larangannya, berpaling daripadanya dan menuju kepada yang lain baik berupa syair, ucapan, nyanyian, permainan atau thariqah yang diambil selain daripadanya (al-Quran), serta tidak mahu menyemak dan mendengarkan Al-Quran [Ibn Katsir, I/1335].

Pengabaian terhadap al-Quran dahulunya dilakukan oleh orang-orang kafir. Namun hari ini, tidak sedikit umat Islam yang melakukan pengabaian terhadap al-Quran sebagaimana kaum kafir dahulu. Memang mereka tidak mengabaikan al-Quran secara mutlak. Namun begitu, mereka sering bersikap diskriminatif terhadap ayat-ayat Allah SWT. Contohnya, mereka boleh menerima hukum-hukum ibadah atau akhlak tetapi mereka menolak hukum-hukum al-Quran tentang kekuasaan, pemerintahan, ekonomi, undang-undang jenayah atau hubungan antarabangsa. Sikap ini jelas termasuk dalam kategori mengabaikan al-Quran dan semua tindakan tersebut adalah haram (berdosa) kerana ia terkait dengan ayat yang berikutnya:

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi musuh dari kalangan orang-orang yang berdosa. Dan cukuplah Tuhanmu menjadi Pemberi Petunjuk dan Penolong (bagimu terhadap mereka)” (TMQ al-Furqan [25]: 31).

Ayat ini menjelaskan bahawa golongan yang meninggalkan dan mengabaikan al-Quran adalah daripada kalangan para pelaku maksiat yang menjadi musuh bagi para Nabi.

Kesimpulan

Oleh yang demikian, marilah kita benar-benar berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah dengan mengamalkannya dalam kehidupan seharian, khususnya di bidang politik dan pemerintahan. Al-Quran sebagai kalamullah tidak lah cukup sekadar dibaca, apalagi dipertandingkan dan memperingatinya pada Hari Nuzul al-Quran tetapi al-Quran mesti diamalkan dalam realiti kehidupan. Apa yang pasti apabila hukum syariat yang bersumber daripada al-Quran dan as-Sunnah diamalkan maka akan tercipta kehidupan yang penuh rahmat bagi semua serta terwujudnya kesejahteraan di segenap kehidupan umat. Namun begitu, apabila diabaikan, maka yang terjadi adalah sebaliknya iaitu kehidupan yang penuh dengan permasalahan dan kerosakan (ma’isyatan dhanka) serta semakin menyemarakkan lagi penjajahan dalam segala bentuknya.

Justeru itu, bulan Ramadan yang juga disebut syahrul jihad (bulan jihad) hendaknya memberikan suntikan semangat dan keteguhan untuk berpegang teguh kepada Islam. Melakukan amar makruf nahi mungkar lebih giat dan berjuang demi terwujudnya kehidupan Islam di bawah naungan Khilafah ala minhaj Nubuwwah setelah 100 tahun dijatuhkan sehingga umat hilang perisainya.

Wallahu a’lam bishawab.