Menilai Hak Asasi Manusia Menurut Pandangan Islam

Berita:

Kuala Lumpur 11 Julai – Ketika banyak pihak mempersoalkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang semakin menonjolkan diri kebelakangan ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengambil pendirian berbeza apabila berpendapat hak kumpulan itu perlu dipertahankan. (Utusan Malaysia: 12 Julai, muka surat 3)

Komentar:

Hak asasi manusia adalah gagasan idea yang tercetus demi memastikan hak-hak individu dihormati dan terpelihara daripada sebarang bentuk pencabulannya. Namun yang menjadi persoalan siapakah yang memutuskan apakah hak-hak seseorang individu? Sebagai contoh, seandainya hak LGBTQ diperakukan dan diterima umum, bagaimana pula dengan hak sang pengamal pedofilia? Sekiranya di saat sang pedofilia melampiaskan nafsunya ke atas seorang anak kecil – tidakkah anak kecil itu juga mempunyai hak ke atas kehormatannya? Andainya kelak ada yang menuntut supaya sumbang mahram (incest) dibenarkan atas dasar suka sama suka dan persetujuan bersama, apakah perkara tersebut akan dibenarkan? Jelaslah bahawa hak asasi dan kebebasan itu merupakan sesuatu yang relatif dan berubah-berubah mengikut nilai dan norma yang diterima masyarakat.

Pada hari ini LGBTQ mungkin sahaja ditolak oleh masyarakat di negara ini, namun seandainya usaha normalisasi idea tersebut dibiarkan berleluasa tidak mustahil budaya songsang ini boleh menjadi norma dan diperakukan oleh masyarakat. Hal ini kerana akal manusia bersifat terbatas dan sentiasa dipengaruhi persekitaran yang membentuk pemikiran dan pandangan mereka tentang hidup. Di Malaysia, perihal hak asasi tertakluk kepada Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan pemahamannya boleh ditafsir oleh ahli parlimen dan pakar perundangan. Perkara 11 yang menyentuh mengenai hak kebebasan beragama turut seringkali dibangkitkan dan dijadikan hujah bagi membenarkan perbuatan murtad. Antara yang pernah menyuarakan pendirian sebegini termasuklah Speaker DUN Perak, Ngeh Koo Ham yang dilaporkan pernah meminta umat Islam di negara ini ‘menghormati hak saudara seagama mereka yang murtad untuk mengamalkan agama baharu’ [Utusan Malaysia, 2014].

Hak asasi manusia juga merupakan antara agenda yang diperjuangkan di bawah pemikiran liberalisme, yang meletakkan kebebasan dan kedaulatan pada tangan manusia. Sedangkan Islam pula meletakkan kedaulatan itu di tangan syarak. Segala urusan manusia itu ditentukan oleh hukum syarak baik dalam kehidupan umum mahupun peribadi. Islam juga meletakkan sesuatu hak dengan disertai tanggungjawab, bukan hanya untuk memenuhi manfaat dan kepuasan nafsu semata-mata.

Islam merupakan ad-din yang diwahyukan Allah SWT kepada Rasulullah SAW, bukannya lahir daripada akal manusia yang terbatas sifatnya. Allah SWT merupakan Pencipta yang Maha Mengetahui, sudah pastinya mengetahui apa yang terbaik buat ciptaan-Nya iaitu manusia. Semestinya ketetapan syarak itu sesuai dengan fitrah dan mententeramkan jiwa manusia tatkala diterapkan secara kaffah. Islam juga relevan sepanjang zaman kerana meskipun material (alat) sentiasa berevolusi, namun sifat dan naluri manusia tetap kekal sama. Oleh itu, asas hukum Islam itu bersifat kekal dan tidak berubah sejak zaman Rasulullah SAW sehingga ke hari ini.

Sebarang perkembangan atau perubahan dari sudut realiti tidak sama sekali mengubah hukum syarak, bahkan sebaliknya disandarkan sepenuhnya kepada hukum syarak melalui proses penggalian hukum yang benar. Keluasan fiqh yang terbit daripada proses ijtihad di sepanjang zaman menjamin hak-hak dipenuhi secara adil dan mendatangkan ketenteraman. Dalam pada itu, ditegaskan bahawa tiada istilah kebebasan seperti yang diperjuangkan oleh kelompok liberalis kerana pemikiran, perasaan dan perbuatan seseorang Muslim itu wajib terikat dengan hukum syarak baik di peringkat individu, bermasyarakat mahupun bernegara.

Sesungguhnya gagasan idea hak asasi manusia yang dilaung-laungkan pada hari ini jelas bertentangan dengan syarak. Jika ada yang selari dengan tuntutan syarak sekalipun, tidak bererti Islam mengiktirafnya kerana idea tersebut jelas berpaksikan akal manusia sepenuhnya dalam menilai hak dan keadilan. Apakah wajar bagi seorang Muslim untuk mengiktiraf konsep hak asasi manusia, hanya kerana terdapat sedikit persamaan antara kedua-duanya? Sudah tentu tidak.

Sebagai Muslim yang meyakini Allah SWT sebagai Pencipta Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita, tidak wujud istilah kebebasan kerana kesemuanya terbatas dengan hukum syarak menurut ketetapan-Nya. Dosa atau pahala, benar atau salah, hak mahupun tanggungjawab – kesemuanya ditentukan oleh syarak yang bersandarkan wahyu Allah SWT.

Awang Laksamana
Hizbut Tahrir Malaysia