‘Mentega Terbang’ – Liberalisme, Pluralisme Dan Penyelewengan Erti Toleransi
Baru-baru ini sebuah filem bertajuk ‘Mentega Terbang’ telah ditayangkan di saluran penstriman berbayar VIU. Namun, kritikan demi kritikan telah menyebabkan filem ini ditarik balik. Tidak dinafikan, konsep yang ditonjolkan oleh Mentega Terbang jarang diketengahkan dalam industri perfileman Malaysia berbanding genre lain. Filem ini memperlihatkan bagaimana generasi muda hari ini mula mempersoalkan akidah yang mereka anuti, namun gagal memperoleh jawapan yang tuntas mengenainya. Akibatnya, mereka mula mempersoalkan kepercayaan mereka dan melakukan ‘eksperimentasi’ akidah. Filem ini begitu sarat dengan agenda liberalisme dan mempromosi agenda murtad di Malaysia. Selain itu, adegan menyentuh anjing dengan sengaja dan memakan daging babi turut menguji kesabaran umat Islam. Adegan ini yang kononnya ditonjolkan atas nama toleransi beragama adalah satu penyesatan fakta dan bercanggah dengan hukum syarak. Dan lebih mendukacitakan, filem ini turut dibelakangi oleh mereka yang beragama Islam. Filem ini juga menonjolkan naratif pluralisme, dengan membuka ruang bagi protagonisnya, seorang Muslim, untuk memilih akidah yang dia ingini. Bagi masyarakat kaum Muslimin di Malaysia, naratif seperti ini tidak wajar diketengahkan dan atas sebab ini, filem tersebut dibantah oleh umat Islam.
Toleransi dalam Islam bukanlah bererti kita dibenarkan untuk mengambil hadharah kufur atau mafahim dari agama lain sebagai tanda menghormati agama mereka. Sebaliknya kita perlu bertegas mengatakan yang haq kepada kaum kuffar. Allah SWT berfirman :
“Bagi kamu agama kamu, bagi ku agama ku” [TMQ al-Kafirun, 109:6]
Berdasarkan ayat ini, adalah jelas bahawa tidak diperbolehkan bertoleransi dalam berakidah atau mengikut hadharah kufur semata-mata untuk meraih redha orang-orang kafir. Bagi umat Islam yang sibuk membawa idea ini mereka perlulah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Mereka juga harus diingatkan mengenai hukum Allah berkaitan isu ini. Hukuman bagi mereka yang murtad tidak lain adalah hukuman bunuh (hudud). Allah SWT berfirman:
“Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” [TMQ Al-Baqarah, 2:217]
Imam Bukhari meriwayatkan dalam sebuah hadis dari Ikrimah di mana Nabi SAW mengatakan, ‘Barangsiapa yang menukar agamanya, hendaklah dia dibunuh.”
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad disebutkan, “Allah dan RasulNya telah menetapkan, bahawa orang yang murtad dari agamanya maka dia mesti dibunuh.”
Bagi mereka yang sibuk mengenengahkan pluralisme, mereka wajib diingatkan dengan firman Allah SWT;
“Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam” [TMQ Ali Imran (3):19].
Dan firman Allah SWT;
“Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” [TMQ Ali Imran (3):85].
Ada terlalu banyak amaran Allah SWT dan Rasulullah SAW mengenai akidah yang tidak boleh dikompromi. Adalah amat dikesali kerana memang ada kaum Muslimin yang sibuk perjuangkan agama-agama lain supaya sebaris dengan agama Islam dan mempromosi agenda murtad sedangkan Allah SWT tidak menerima atau mengiktiraf agama lain.
Meskipun filem ini adalah sebuah karya fiksyen, tidak dinafikan dilema yang diketengahkan di dalamnya benar-benar berlaku di kalangan umat Islam di Malaysia. Lantas apa yang harus dilakukan bagi menangani masalah ini? Siapakah yang harus dirujuk bagi mendapatkan jawapan terhadap dilema tersebut? Di Malaysia, tidak dinafikan nuansa Islami sememangnya wujud, namun ia tidaklah merangkumi seluruh masyarakat kaum Muslimin. Di Malaysia terdapat ramai para ulama yang boleh dijadikan rujukan. Namun bagi yang tidak hidup sepenuhnya dalam nuansa Islam, ibu bapa dan rakan taulan kerapkali menjadi rujukan. Sekiranya akses kepada mereka ini tidak dapat diperoleh, atau jawapan yang diberikan tidak memberikan kepuasan jiwa dan intelek, anak-anak muda, terutamanya, akan mula mencari jawapan melalui pembacaan buku dan internet. Ini menyebabkan mereka mula melakukan ‘eksperimentasi’ terhadap kepercayaan mereka. Akibatnya, persoalan akidah berubah menjadi satu permainan.
Mungkin saja ada yang akan bertanya, mengapakah sistem pendidikan negara melahirkan generasi muda seperti yang ditonjolkan di dalam filem ini? Tambahan pula, apakah ibu bapa, saudara mara dan rakan taulan dapat memberikan jawapan yang benar kepada persoalan ini. Ataupun mereka sendiri tidak arif mengenai perkara ini? Realitinya, di dalam sistem demokrasi, idea seperti liberalisme dan pluralisme akan terus dibajai, secara sengaja mahupun tidak sengaja, agar tumbuh dan sentiasa mekar. Persoalan berkaitan pemikiran agama ini akan sentiasa berlegar dalam masyarakat kerana di bawah sistem demokrasi, idea seperti ini merupakan manifestasi dari konsep kebebasan yang dipromosi oleh demokrasi. Meskipun akan berlaku penentangan dari umat Islam yang peduli, penyelesaian yang tuntas tidak akan pernah muncul. Kerajaan akan terus gagal dalam memecahkan persoalan ini kerana ia sendiri terperangkap di dalam belenggu demokrasi dan kebebasan.
Jika kita kembali kepada realiti ‘eksperimen akidah’ yang ditonjolkan oleh filem ini, bagaimana caranya kita sebagai kaum Muslimin boleh menangani dilemma seperti ini? Salah satu cara adalah memperlengkap diri kita dengan jalan pemikiran Islam yang diajarkan oleh Al-Quran kepada kita. Metode Al-Quran dalam memperkukuh akidah Islam adalah melalui penggunaan akal dalam membuktikan kewujudan Allah SWT, kebenaran Al-Quran dan kerasulan Nabi SAW. Dengan pemikiran yang ikhlas dan rasional, kita akan mencapai keyakinan secara pasti bahawa kita dicipta oleh Allah SWT dan akan kembali kepadaNya untuk dihisab di atas segala perlakuan kitamaka kita akan berjalan di atas jalan yang lurus dan benar. Ini boleh dilakukan dalam konteks individu dan masyarakat. Namun penyelesaian yang tuntas hanya boleh dicapai sekiranya asas negara adalah akidah Islam.
Walhasil, meskipun filem ini mengenengahkan dilema yang benar-benar berlaku di dalam masyarakat kaum Muslimin, pembikinannya bukanlah suatu yang wajar. Filem tersebut tidak memberikan sebarang penyelesaian, bahkan memburukkan lagi dilema yang diketengahkan. Tidak ada elemen di dalam filem tersebut yang menggambarkan proses amar makruf dan nahi mungkar, bahkan idea seperti liberalism, pluralism dan penyelewengan maksud toleransi dijaja dan diketengahkan. Dan bukan suatu yang pelik sekiranya filem yang menjaja idea-idea liberal akan terus dihasilkan – manakan tidak, bukankah demokrasi, liberalism dan kebebasan itu sendiri membentuk bingkai negara ini?