Menyedihkan: ATM Menghantar 30 Anggota Ke Afghanistan

atm30 Anggota ATM Berangkat Ke Afghanistan

KUALA LUMPUR: Seramai 30 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kumpulan Induk Kontinjen Malaysia (MALCON ISAF) berangkat ke Afganistan malam ini, bagi membantu membina serta membangunkan semula negara tersebut.  Kumpulan terdiri daripada empat pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat itu akan menyertai kumpulan terdahulu yang telah berlepas pada 16 Julai.  Pemangku Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Rodzali Daud berkata kumpulan itu merupakan yang kedua daripada MALCON ISAF bagi melaksanakan Operasi Interim bantuan dan sokongan nasional ke Afghanistan (Op INSAF).   “Kumpulan ini akan berada di Wilayah Bamyan yang terletak di tengah Afghanistan.

Mereka akan berada di sana dalam tempoh enam hingga sembilan bulan dan akan bertugas bersama dengan Pasukan Pembangunan Semula Wilayah dari New Zealand,” katanya ketika berucap sebelum melepaskan pasukan itu di Pangkalan Udara TUDM Subang dekat sini, Selasa.   Beliau berkata penugasan MALCON ISAF lebih menjurus kepada bidang perubatan yang kritikal meliputi khidmat kesihatan, pergigian serta bantuan kemasyarakatan dan tidak terlibat dengan sebarang bentuk penugasan kombat.
 
“Dalam pada itu, ATM turut merancang untuk menghantar lebih ramai doktor dan paramedik lelaki serta wanita, sebagai mengelakkan isu muhrim, aurat dan sebagainya,” kata Rodzali.  Beliau berkata MALCON ISAF juga bukan sekadar memenuhi misi kemanusiaan, sebaliknya ia juga mampu mengukuhkan hubungan serta kerjasama antara Malaysia dan Afghanistan.  “Oleh itu, saya menyeru supaya anggota tentera kita dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh jujur, dedikasi serta profesional sepanjang bertugas di sana,” katanya. – BERNAMA

SUmber: mStar Online 19/10/10

ATM Hanya Hantar 30 Orang?

Penghujung 2009 yang lalu Obama telah menghantar tambahan tentera seramai 30,000 ke Afghanistan bagi menjadikan jumlah keseluruhan tentera Amerika di sana kepada lebih 100,000 untuk terus melancarkan operasi pembunuhan dan penjajahan terhadap umat Islam di sana. Kini Malaysia pula berbangga dan riuh sekampung dengan penghantaran tentera seramai 30 orang ke Afghanistan yang jika hendak dibandingkan dengan tentera Amerika yang berada di sana adalah ibarat bumi dengan langit bezanya. Dan apa yang lebih menyedihkan kita lagi ialah misi tentera yang dihantar itu hanyalah sekadar misi kemanusian semata-mata dan bukannya untuk berjihad. Sedangkan secara faktanya hukum dan kedudukan  di Afghanistan saat ini adalah wilayah dan kawasan ini berada dalam situasi peperangan di antara Islam dan kuffar. Dan sudah pasti hukum berkenaan dengan jihad berlaku dan adalah menjadi suatu kewajiban bagi seluruh umat Islam di sana untuk memikulnya.

Sesuatu yang boleh kita tanyakan kepada para tentera umat Islam hari ini, termasuklah kepada para anggota ATM yang akan ke Afghanistan adalah untuk apakah mereka menjadi tentera kalau bukan untuk meraih di antara dua kemuliaan iaitu samada kemenangan di medan pertempuran ataupun mendapat gelaran syahid. Apakah mereka tidak teruja dengan firman Allah SWT: ” Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. [TMQ At-Taubah (9) : 111].

Wahai umat Islam! Bukankah bumi Afghanistan itu adalah milik seluruh umat Islam dan bukannya khusus untuk orang Afghanistan semata-mata. Bukankah seluruh umat Islam itu adalah umat yang satu kerana mereka diikat dengan satu akidah yang sama? Tetapi di saat ini keadaan itu tidak berlaku. Umat Islam hari ini telah terpecah belah menjadi negara-negara bangsa yang berbangga dengan ikatan ashobiyyah masing-masing. Inilah kesan dari pemikiran sekular yang membelenggu diri umat Islam terutamanya di kalangan para pemimpin mereka saat ini. Mereka telah dibius dengan penyakit ”wahn” iaitu cintakan dunia dan takutkan mati. Yang jelas, jika Khilafah berdiri maka sudah pasti Khalifah yang ada di saat itu tidak akan hanya menghantar 30 orang tentera sahaja ke bumi Afghanistan..