Menyingkapi Hak-hak Wanita Usai Terlerainya Pernikahan dari Perspektif Islam

Oleh: Hidayah Muhammad

Muqaddimah

Setiap pasangan yang telah berumah tangga pasti mendambakan rumah tangga yang dibina berkekalan hingga ke syurga. Sebagai umat Islam yang beriman pada qada wal qadar dan hari Akhirat pastinya yakin bahawa kehidupan di dunia ini adalah perhentian sementara sebelum melangkah ke alam kekal abadi dan dipenuhi pelbagai ujian. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Justeru, pasang surut  dalam kehidupan rumah tangga itu perkara yang lumrah, kerana setiap daripada kita adalah manusia biasa yang tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Sejatinya, tidak ada pasangan yang berkahwin untuk bercerai. Ini bermakna, apabila berlaku krisis dalam rumah tangga, lazimnya pasangan itu akan berusaha semampu mungkin agar istana yang dibina dapat dipertahankan hingga ke hujung nyawa. Secara umumnya setiap pasangan akan mengambil perceraian sebagai solusi terakhir bagi menyelesaikan masalah rumah tangga.

Namun ada juga dalam kalangan wanita yang mengambil sikap bertahan dalam perkahwinan kerana memikirkan anak-anak yang masih kecil dan takut kehilangan tempat bergantung walaupun wanita itu menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Golongan ini hidup dalam penafian (live in denials) dan hanya mencari solusi apabila berlaku insiden yang menjejaskan keselamatan dirinya atau anak-anak yang berada dalam jagaan mereka.

Daripada kenyataan di atas dapat dilihat bahawa seorang wanita seharusnya mempersiapkan dirinya dengan ilmu supaya dia memahami apakah tindakan yang sewajarnya diambil apabila rumah tangga tidak lagi menjanjikan sakinah, mawaddah wa rahmah. Apatah lagi jika berlaku kemudaratan disebabkan adanya pertikaian yang tidak mungkin dapat diselesaikan dengan harmoni atau adanya kezaliman yang menyebabkan tidak tertunai hak sebagai seorang isteri. Maka bercerai adalah pilihan yang terbaik daripada meneruskan ikatan perkahwinan.

Bagaimanakah Pandangan Islam Terhadap Perceraian?

Talaq (طَلَاق‎) berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud melepaskan atau membuka ikatan. Talaq dari segi syarak ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan perkataan yang jelas atau kinayah (sindiran). Syariat Islam tidak melarang perceraian dalam perkahwinan dan memandang penceraian sebagai suatu jalan keluar untuk pasangan ini kerana sebelum berlakunya penceraian ada langkah-langkah praktis sebagai solusi bagi masalah rumah tangga yang mereka hadapi. Namun, jika langkah-langkah yang diambil untuk menyelamatkan rumah tangga menemui dan jalan buntu, malah antara kedua pasangan suami isteri ini tidak ada lagi “chemistry”, maka dalam situasi ini Islam memberikan solusi iaitu penceraian. Hal ini jika tidak diselesaikan akan menjadikan keadaan semakin rumit serta derita berpanjangan, apatah lagi jika berlaku pengabaian terhadap hak dan membawa kemudaratan bagi suami ataupun isteri, berlaku kezaliman ke atas isteri dan sebagainya.

Allah SWT berfirman, “Dan jika mereka berketetapan hati hendak menceraikan, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar Dan Maha Mengetahui.” [TMQ: Al-Baqarah (2): 227]

Islam juga memberikan aturan dan hukum khusus untuk wanita yang diceraikan, seperti hukum iddah dan bagaimana menjalani tempoh iddah serta hak seorang wanita bila dia diceraikan.

Hukum Iddah Bagi Wanita

Iddah ( العدة ) ialah tempoh tertentu yang telah ditetapkan ke atas wanita selepas diceraikan atau selepas kematian suami. Dalam tempoh iddah seorang wanita tidak dibolehkan menikah atau menawarkan diri untuk dinikahi. Iddah wajib bagi seorang isteri yang diceraikan oleh suaminya, baik diceraikan oleh suami ataupun kerana kematian suaminya.

Jenis-Jenis Iddah

Pertama: Iddah bagi seorang isteri yang diceraikan dan sedang menjalani masa haid, jumhur ulama berpendapat bahawa masa iddah mereka adalah tiga kali masa haid. Sebagaimana firman Allah SWT; “Dan para isteri yang diceraikan wajib menahan diri mereka (menunggu) tiga kali quru’ (suci)..” [TMQ: Al-Baqarah (2): 228]

Kedua: Bagi seorang isteri yang diceraikan suaminya dan telah putus haid (menopause), maka tempoh iddahnya selama 3 bulan. Firman Allah SWT, “ Dan wanita-wanita diantara kamu yang telah putus asa dari kedatangan haid, jika kamu ragu-ragu (tentang tempoh iddahnya), maka iddah mereka selama 3 bulan..” [TMQ: Al-Thalaq (65): 4]

Ketiga: Untuk wanita yang sedang mengandung, tempoh iddah bagi mereka ialah sehingga mereka selamat melahirkan anak. Firman Allah SWT, “Dan wanita-wanita yang mengandung, tempoh iddahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan ingatlah sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan segala urusannya.” [TMQ: Al-Thalaq (65): 4]

Keempat: Iddah bagi isteri yang kematian suami selama empat bulan sepuluh hari. Firman Allah SWT, “Orang-orang yang meninggal dunia di antara kalian dengan meninggalkan isteri-isteri, maka hendaklah para isteri itu menangguhkan dirinya (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.” [TMQ: Al-Baqarah (2): 234]. Selain menjalani tempoh iddah, wanita yang kematian suami juga wajib berkabung (ihdad). Dan ada larangan-larangan khusus untuk wanita yang berkabung.

Nabi SAW bersabda, daripada Ummu Athiyyah RA, ia berkata “Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari, kecuali berkabung atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari. Kami dilarang bercelak mata, dilarang memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berwarna-warni..” (HR: Bukhari)

Kelima: Iddah wanita yang sedang isthihadhah, ialah apabila mempunyai hari-hari kebiasaan haid, maka dia perlu memperhatikan kebiasaan tempoh haid dan masa sucinya. Jika telah menjalani tiga kali suci dari haid, maka setelah itu selesailah tempoh iddahnya.

Keenam: Dan iddah bagi seorang wanita yang berkahwin namun belum disetubuhi, maka tiada tempoh iddah bagi dirinya.  Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menikahi wanita-wanita Mukmin, lalu kamu menceraikan mereka sebelum kamu bersamanya, maka tidak ada iddah ke atas mereka yang perlu kamu perhitungkan. Tetapi berilah mereka mut’ah (pemberian sagu hati) dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.” [TMQ: Al-Ahzab (33): 49]

Kewajiban Suami Setelah Melafazkan Talak Terhadap isterinya:

1. Memberi mut’ah (memberikan saguhati untuk menggembirakan hati) kepada bekas isteri.  Suami yang menjatuhkan talak kepada isteri hendaklah menberikan nafkah mut’ah, yang mana ianya boleh berupa pakaian, barang perhiasan atau wang, sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Firman Allah SWT, “Hak bagi wanita-wanita yang diceraikan hendaklah diberikan mut’ah mengikuti cara yang patut sebagai suatu kewajiapan bagi orang yang bertakwa.” [TMQ: Al-Baqarah (2)” 241]

2. Memberi nafkah, seperti makan, pakaian dan tempat tinggal untuk isteri yang ditalak sepanjang tempoh iddah.  Apabila masa iddahnya telah selesai, maka tamatlah kewajiban memberi nafkah makan, pakaian dan tempat tinggal. Firman Allah SWT, “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani Iddahnya) itu di tempat kediaman kamu mengikut kemampuan kamu, dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan mereka (supaya keluar dari tempat tinggal) itu…” [TMQ:Al-Thalaq (65): 6] Menurut ayat ini, suami wajib memberikan tempat tinggal untuk isteri yang telah ditalak, sedangkan memberi makanan dan pakaian dikiaskan terhadapnya.

Hak nafkah terhadap isteri yang diceraikan adalah bergantung kepada kedudukan talak itu sendiri iaitu sama ada iddah talak raj’i, iddah talak ba’in atau iddah kematian suami. Bagi isteri yang berada dalam iddah talak raj’i berhak mendapat semua nafkah sebagaimana nafkah yang diterima sewaktu dalam perkahwinan. Walaubagaimanapun, sekiranya isteri itu diceraikan dengan sebab nusyuz, maka dia tidak layak untuk mendapat nafkah dalam tempoh iddah tersebut. ( Minhaj al-Tolibin, 264)

3. Membayar atau melunaskan mas kawin: Apabila suami menjatuhkan talak terhadap isterinya, maka pihak suami wajib membayar atau melunaskan mas kahwin yang tertunggak jika ada.

4. Memberi nafkah untuk anak-anaknya:Suami yang menjatuhkan talak terhadap isterinya wajib membayar nafkah untuk anak-anaknya, yang meliputi biaya untuk memelihara dan keperluan pendidikan anak- anak. Kewajiban ini dilakukan sehingga anak mencapai umur baligh dan berakal serta memiliki pendapatan sendiri. Firman Allah SWT, “Dan jika mereka dalam keadaan mengandung, maka berilah mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan, kemudian jika mereka menyusukan anak kamu, maka berilah upahnya…” [TMQ: Al-Thalaq (65): 6]

Khatimah

Islam sangat menjaga kerukunan dalam kehidupan berumah tangga. Namun bila terjadi penceraian maka wanita harus memahami dan menerima bahawa apa yang terjadi adalah suratan takdir. Ini bermakna, status dirinya selepas terlerainya ikatan pernikahan adalah berdasarkan taqwa dan bukan sebagaimana tanggapan masyarakat. Untuk memastikan tidak ada pihak-pihak yang dizalimi apabila berlaku perceraian, amat penting bagi wanita memiliki ilmu serta memahami hak-hak dan hukum-hukum berkaitan talaq, iddah dsb, agar kesucian dan maruah dirinya sebagai seorang Muslimah tetap terpelihara, dengan atau tanpa suami.  Ketiadaan sistem kehidupan yang melaksanakan Islam secara kaffah memberikan cabaran yang amat hebat kepada kaum wanita yang mana ia boleh dijadikan penyuntik semangat untuk memperjuangkan dakwah mengembalikan kehidupan Islam sehingga hukum-hakam dalam isu-isu pernikahan, poligami dan talaq dilihat sebagai solusi untuk menyelesaikan masalah manusia, dan tidak dilihat dari perspektif negative semata-mata. Wallahu alam bisshawab.

Rujukan

1.Al Quran dan Terjemahan

2.Buku syarah Nizamul ijtimaie, karangan Abu Fuad

3.Buku fiqih wanita, karangan Syeikh Kamil Muhammad Uwaidah

4.http://www.facebook.com/notes/m-shiddiq-al-jawi/larangan-larangan-bagi-perempuan-dalam-masa-berkabung-ihdad/10150572345118572

5.https://www.islam.gov.my/en/guideline/479-garis-panduan-ber-iddah-bagi-wanita-yang-bercerai-atau-kematian-suami

6.https://muftiwp.gov.my/ms/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/5691-bayan-linnas-siri-ke-268-panduan-idah-dan-ihdad-serta-hukum-berhias-diri-ketika-dalam-idah

7.https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4979-irsyad-al-fatwa-siri-ke-615-hukum-nafkah-isteri-yang-diceraikan