Meraih Hikmah Berpuasa

recite-duaSesungguhnya manusia memerlukan nasihat sepertimana yang dituntut dalam Islam agar kita saling berpesan-pesan dalam perkara kebaikan. Berikut adalah nasihat daripada Syeikh Atha’ Abu Rasytah, amir Hizbut Tahrir, mengenai hikmah puasa yang wajib diperhatikan dan diusahakan agar ia dapat direalisasikan oleh setiap Muslim yang berpuasa.  Nasihat beliau ini dapat kita temui tatkala kita meneliti tafsir surah Al-Baqarah ayat 183 melalui salah satu karya beliau iaitu At-Taisiir fi Usul at-Tafsiir pada halaman ke 217.

Syeikh Atha’ Abu Rasytah hafizahullah berkata:

Allah SWT telah meletakkan suatu hikmah bagi ibadah puasa, iaitu ketakwaan. Allah berfirman (ertinya) “agar kalian bertakwa” (لعلكم تتقون) seperti yang terdapat di dalam Al-Quran. Yang dimaksudkan dengan takwa adalah takut kepada Allah, mentaatiNya dan mempersiapkan diri untuk berjumpa denganNya sebagaimana sebahagian para sahabat telah memahaminya sebagai “takut kepada Zat Yang Maha Mulia, beramal dengan tanzil (wahyu) dan mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian.”

Oleh kerana itu, hendaklah orang yang berpuasa itu bersemangat untuk berusaha merealisasikan hikmah puasa ini. Ini kerana, tatkala Allah SWT mewajibkan puasa, Dia benar-benar telah menjadikan ketakwaan sebagai hikmah daripada puasa tersebut.

Oleh yang demikian, hendaklah seseorang itu memperhatikan puasanya. Adakah puasa itu dapat menambah rasa takutnya dan menambahkan ketaatannya kepada Allah dan RasulNya, serta membuatkan kita lebih bersedia untuk bertemu Allah dengan memperbanyakkan amal kebaikan? Jika demikian, maka puasa yang kita lakukan itu adalah merupakan puasa yang benar sepertimana yang dituntut olehNya, yang akan menghasilkan pahala yang besar yang diberikan oleh Tuhan semesta alam. Terdapat juga khabar gembira daripada Rasulullah SAW berkenaan orang yang berpuasa iaitu antaranya, “Setiap amal anak Adam itu adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa, kerana amal itu untukKu dan Aku yang akan membalasnya”.[2] “Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan (iaitu) kegembiraan tatkala berbuka puasa dan satu lagi ketika bertemu dengan Tuhannya.”[3]

Jika sekiranya hikmah puasa tersebut tidak terealisasi, maka hendaklah masalah tersebut diubati (diselesaikan) sebelum datangnya hari di mana harta dan anak-anak tidak lagi bermanfaat, kecuali orang yang menjumpai Allah dengan hati yang bersih.[4]”

Rujukan:

[1] وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ
[2]  كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ (رواه البخاري)
[3]  للصائم فرحتان، فرحة عند إفطاره وأخرى عند لقاء ربه
[4] {يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ} [الشعراء: 88، 89]

Disunting dari: http://www.titokpriastomo.com/nafsiyah/merealisasikan-hikmah-puasa-nasihat-syaikh-atha-abu-rasytah.html