Meraih Takwa Dengan Berpuasa

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang Yang beriman! Diwajibkan ke atas kalian berpuasa sebagaimana telah telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kalian, supaya kalian bertaqwa.” (TMQ. Al-Baqarah [2]: 183)

Tafsir Ayat

Allah SWT. berfirman: Yâ ayyhuhâ al-ladzîna âmanû kutiba ‘alaykum ash-shiyâm (Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kalian berpuasa). Seruan ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Seruan di dalam ayat ini dan ayat-ayat lainnya mengandungi isyarat bahawa keimanan mewajibkan pelakunya untuk mematuhi, mengikuti, dan mendengarkan perintah mahupun larangan yang hendak disampaikan di dalam kalimat berikutnya.

Di dalam ayat ini juga menyebutkan bahawa orang-orang yang beriman itu diwajibkan untuk berpuasa. Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para mufassir, seperti Ibnu Jarir ath-Thabari, Ibnu ‘Athiyah, al-Khazin dan al-Biqa’I, kalimat kutiba ‘alaykum di sini bermakna furidha ‘alaykum (difardhukan ke atas kalian). Bahkan menurut al-Farra’, semua frasa kutiba ‘alaykum di dalam al-Quran bermakna furidha ‘alaykum (difardhukan kepada kalian). Kalimat kutiba ‘alâ juga digunakan di dalam surah al-Baqarah ayat 178, kutiba ‘alaykum al-qishâsh, juga di dalam surah yang sama di dalam ayat 216, kutiba ‘alaykum al-qitâl. Semua frasa kutiba ‘alaykum dalam ayat-ayat tersebut memberikan makna furidha ‘alaykum.

Di samping frasa kutiba ‘alâykum, wajibnya berpuasa juga didasarkan pada qarînah (indikasi) yang terdapat pada ayat selanjutnya; bahawa orang-orang yang sakit atau berpergian diizinkan untuk tidak berpuasa, namun mereka wajib mengganti atau meng-qadhâ’-nya di luar bulan Ramadhan. Kewajiban mengqadhâ’ puasa pada bulan yang lain ini menunjukkan bahawa hukum berpuasa itu wajib. ‘Atha bin Khalil menyatakan bahawa setiap seruan yang di dalamnya terdapat ucapan atau perbuatan yang mengharuskan terus dikerjakan kecuali ada uzur, lalu diberikan rukhshah berupa qadhâ’ atau kemaafan merupakan salah satu qarînah bagi jazm (ketegasan dan kepastian) sebuah seruan.

Secara bahasa, kata ash-shiyâm bererti al-imsâk (menahan diri) daripada mengerjakan sesuatu seperti makan, berkata-kata, berjalan dan sebagainya.4 (Lihat surah Maryam [19] ayat 26). Adapun secara syar’i, ash-shiyâm bererti menahan diri daripada makan, minum dan berjimak, bermula sejak terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari yang disertai dengan niat. Pengertian ini diambil dari beberapa dalil al-Quran dan as-Sunnah.

Berkenaan dengan larangan makan, minum dan berjimak, ia disebutkan dalam ayat selanjutnya (Surah Al-Baqarah [2], ayat 187). Dalam ayat ini ditegaskan bahawa kaum Muslim dibolehkan melakukan hubungan suami-istri pada malam hari dalam bulan puasa. Ini bererti, mereka dilarang melakukannya pada waktu siang. Berkenaan tentang makan dan minum, kaum Muslim juga diperbolehkan untuk melakukannya pada malam hari. Batas tempohnya sehingga terbitnya fajar. Tatkala fajar telah terbit, kaum Muslim diperintahkan pula untuk berpuasa sehingga malam, yakni sehingga matahari terbenam.

Berkaitan dengan adanya niat untuk melakukan puasa, hal ini didasarkan pada Hadis dari Umar bin al-Khaththab, yang pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:


إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

“Sesungguhnya amal perbuatan itu bergantung pada niat dan sesungguhnya semua perkara bergantung pada niatnya” (HR Bukhari, Abu Dawud dan Ibnu Majah).

Berdasarkan hadis ini, suatu amal ibadah hanya akan sah jika disertai dengan niat oleh si pelakunya. Jika seseorang berpuasa tanpa niat, maka amal perbuatannya tidak dikategorikan sebagai puasa, walaupun secara realitinya ia seakan sama seperti berpuasa. Imam Nawawi menyatakan, disyariatkannya niat adalah untuk membezakan antara ‘âdah (perbuatan biasa) dengan ibadah, dan untuk membezakan suatu ibadah dengan suatu ibadah lainnya. Beliau memberi contoh tentang amalan seseorang yang duduk di dalam masjid. Amalan tersebut boleh diniatkan untuk sekadar berehat iaitu amalan biasa, dan boleh juga dilakukan untuk beribadah dengan niat iktikaf. Yang menjadi pembeza di antara keduanya (ibadah dengan amalan biasa itu) adalah niat.

Khusus untuk puasa wajib, niat berpuasa itu mesti dilakukan sebelum terbitnya fajar. Diriwayatkan dari Hafshah ra., bahawa Rasulullah SAW. pernah bersabda:


مَنْ لَمْ يُجْمِعْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ

“Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar, maka tidak [sah] puasa baginya” (HR Abu Dawud dan at-Tirmidzi).

Hadis ini menjadi dalil tentang kewajipan berniat pada malam menjelang puasa. Dengan kata lain, niat puasa itu mesti dilakukan pada malam hari, waktunya mulai magrib. Adapun pada puasa sunnah, dibolehkan niat setelah fajar. Hal ini didasarkan pada Hadis dari Aisyah ra. yang menceritakan bahawa:

Pada suatu hari Rasulullah SAW. masuk ke tempatnya seraya bertanya, “Apakah engkau memiliki sesuatu (untuk di makan)?” Aisyah menjawab, “Tidak.” Kemudian beliau bersabda, “Kalau begitu saya berpuasa.” (HR Muslim).

Fi’liyyah (Perbuatan) Rasulullah SAW. ini menjadi dalil tentang bolehnya untuk berniat pada siang hari bagi puasa sunnah, selagi seseorang itu (yang hendak berpuasa) belum makan atau minum.

Seterusnya dalam ayat ini Allah SWT. berfirman: kamâ kutiba ‘alâ al-ladzîna min qablikum (sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian). Ibnu ‘Abbas menyatakan mereka adalah Ahlul Kitab.8 Az-Zamakhsyari, al-Alusi dan al-Baidhawi berpendapat, umat yang terdahulu itu bermula daripada Nabi Adam as. sehingga umat sekarang. Menurut Abdurrahman as-Sa’di, pemberitaan itu berguna untuk mengghairahkan semangat umat ini. “Hendaklah kalian berlumba dengan umat lain dalam menyempurnakan amal dan bersegera dalam memperbaiki perilaku, dan itu bukan perkara yang berat.

Terdapat perbezaan pendapat mengenai tasybîh (kesamaan) puasa yang diwajibkan terhadap umat yang terdahulu. Ada yang mengatakan kesamaan puasa itu dari segi waktu dan ukurannya. Pendapat lain pula menyatakan, kesamaan itu dari segi kewajipan puasanya sahaja. Di antara keduanya, pendapat kedua lebih tepat, iaitu kerana kesamaan kewajipan tidak mewajibkan adanya kesamaan kayfiyyah (tatacara). Bahkan, dalam syariah setiap rasul diberikan kayfiyyahnya tersendiri (lihat: Al-Maidah [5]: 48).

Selanjutnya Allah SWT. berfirman: la’allakum tattaqûn (agar kalian bertakwa). Di akhir ayat ini dijelaskan bahawa hikmah diwajibkannya puasa adalah agar pelakunya menjadi orang-orang yang bertakwa. Abdurrahman as-Sa’di menyatakan bahawa puasa adalah cara paling berkesan untuk mencapai nilai takwa.

Kalimat taqwâ berasal dari kata waqâ yang bererti melindungi. Kata tersebut kemudian digunakan untuk menunjuk pada sikap dan tindakan untuk melindungi diri daripada murka dan azab Allah SWT. Caranya adalah dengan melakukan segala perintah Allah SWT. dan menjauhi segala laranganNya. Inilah pengertian takwa.

Ayat selanjutnya menjelaskan bahawa kewajipan puasa itu dibebankan untuk beberapa hari (ayat 184). Hari-hari yang diwajibkan berpuasa itu adalah pada seluruh hari di bulan Ramadhan. Pada bulan yang diturunkan al-Quran itu, sesiapa pun yang tidak ada uzur, maka diwajibkan untuk berpuasa (ayat 185).

Meraih Takwa dengan Berpuasa

Di antara perkara penting yang dijelaskan di dalam ayat ini adalah hikmah yang diperolehi tatkala puasa dilaksanakan. Menurut ayat ini, puasa dapat memberi pelakunya sifat takwa, yakni kesediaan untuk taat dan tunduk pada segala perintah dan larangan Allah SWT.

Jika diteliti dengan cermat, ibadah puasa memang dapat memberi pelakunya agar mencapai nilai takwa, tetapi dengan cara syarat puasa yang dilakukannya itu difahami dan dilaksanakan dengan benar. Ketika berpuasa, seseorang itu dilatih untuk mengingat Allah SWT. dalam setiap keadaan dan waktu. Ketika berpuasa, seseorang diingatkan bahawa tidak ada tempat yang tersembunyi daripada penglihatan dan pendengaran Allah SWT. Dengan itu, di mana pun seseorang itu berada, dia tidak akan berani makan nasi walau hanya sesuap, minum air meski hanya seteguk atau berhubungan intim dengan isterinya walaupun berada dalam bilik yang tertutup. Apabila keyakinan itu praktikkan, nescaya akan mewujudkan peribadi yang bertakwa bagi pelakukanya, yakni peribadi yang selalu patuh dan taat kepada perintah dan laranganNya.

Puasa juga melatih manusia untuk mengendalikan hawa nafsu. Memang benar manusia memerlukan makan, minum, atau lawan jenis. Akan tetapi, ianya tidak boleh menjadi alasan bagi manusia untuk memuaskan hawa nafsunya dengan sesuka hati seperti binatang. Manusia hanya dibolehkan untuk makan dan minum  benda-benda yang halal. Demikian pula tentang hubungannya dengan lawan jenis. Manusia hanya diizinkan untuk melampiaskannya dengan pasangan yang halal baginya. Orang yang mampu berpuasa, bererti telah berhasil mengendalikan hawa nafsunya itu.

Dengan berpuasa, manusia dilatih untuk hidup berdisiplin dengan syariahNya. Sekalipun haus atau lapar, manusia harus tetap menahan untuk tidak makan atau minum sehingga waktu maghrib tiba. Sekalipun hasrat seksualnya sedang terangsang, tetapi manusia mesti menahannya sehingga waktu yang diperbolehkan untuk melakukannya. Jika ia berhasil dikerjakan, jalan untuk menuju peribadi yang bertakwa akan lebih mudah dicapai. Ini kerana, ketika seseorang itu berpuasa dia mampu menahan dirinya daripada lapar dan dahaga terhadap makanan dan minuman yang halal. Maka sudah selayaknya dia akan lebih mampu menahan diri daripada makan atau minum daripada harta yang diharamkan. Jika seseorang mampu menahan diri untuk tidak menggauli istrinya pada siang hari, sepatutnya dia akan lebih mampu menahan dirinya daripada melakukan perbuatan zina. Oleh kerana itu, tidaklah aneh jika seseorang yang belum mampu menikah diperintahkan untuk berpuasa (HR al-Bukhari dan Muslim, dari Abdullah ra).

Seterusnya, apabila puasa difahami dan dilaksanakan dengan benar, maka puasa akan membentuk peribadi yang bertakwa bagi pelakunya. Bukan hanya dengan berpuasa, akan tetapi  bagi semua aktiviti ibadah kepada Allah SWT, jika difahami dan dilaksanakan dengan benar, maka akan membuahkan ketakwaan (lihat surah: al-Baqarah [2]: 21).

Akhir sekali, kita memohon kepada Allah SWT. semoga puasa dan semua ibadah yang kita lakukan dapat menjadikan kita individu yang bertakwa dan meraih syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.