Mini Seminar: Wanita Mulia Dibawah Naungan Syariah dan Khilafah

KULIM Sabtu 31 Mei – Khilafah Centre dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir telah mengadakan Mini Seminar yang bertajuk Wanita Mulia di Bawah Naungan Syariah dan Khilafah. Tujuan seminar ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada masyarakat terutamanya  para muslimah tentang realiti yang melibatkan wanita dan anak–anak baik di Malaysia mahupun di belahan dunia yang lain.  Di samping itu mereka diajak menghayati keindahan dan jaminan yang disediakan  oleh sistem Khilafah Islamiyah apabila Syariat Islam diterapkan oleh pemerintah negara.

Majlis  dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran mengambil surah Ali Imran daripada ayat 102 – 110. Ummu Maryam selaku pengerusi majlis pada hari itu mengajak para peserta menyedari peranan mereka sebaik-baik makhluk yang diciptakan Allah SWT. Sebaik-baik manusia adalah umat Islam dan sebaik-baik umat Islam apabila mereka yang  menyeru kepada  makruf dan mencegah kemungkaran.

Seterusnya Ustazah Ummu Firdaus, Ketua MHTM Cawangan Perlis selaku panel pertama  membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Realiti Wanita dan Anak-anak di Malaysia”.  Pembentangan dimulai dengan mengingatkan para hadirin tentang hadis Nabi berkaitan 5 zaman, di mana zaman kita sekarang pada tahapan zaman pemerintahan diktator yang  sememangnya Islam dipisahkan daripada kehidupan. Beliau seterusnya mendedahkan kepada para peserta tentang  penderitaan mahupun kerosakan yang lahir daripada sistem hidup kita sekarang yang melibatkan para wanita dan anak-anak  yang  menjadi  bahan eksploitasi pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.  Kebanyakan  gejala sosial pula berpunca apabila ibu mengabaikan peranannya sebagai ummu wa rabbat al bait (ibu dan pengurus rumahtangga). Majlis kemudian berhenti berehat  dengan menyajikan tayangan video bertajuk  “Rintihan Umat  Islam, sampai bila?”

Majlis diteruskan dengan pembentangan panel kedua iaitu Ustazah Ummu Hajar selaku aktivis MHTM yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Wanita Mulia di Bawah Naungan Syariah dan Khilafah”.  Beliau menjelaskan bahawa kerosakan dan kemaksiatan yang berleluasa masa kini adalah disebabkan tiadanya sistem pemerintahan yang bersifat adil hasil rekaan akal manusia yang bersifat terbatas. Itulah sistem demokrasi liberal dan ekonomi kapitalis yang menjadikan manfaat dan keuntungan sebagai asas ukurannya tanpa memikirkan halal dan haram. Justeru, Ummu Hajar menjelaskan tentang jaminan-jaminan yang disediakan  oleh sistem Khilafah Islamiyah ke atas rakyatnya samada dari segi pemerintahan, ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Kedudukan wanita juga akan diangkat kemuliaannya dengan mengembalikannya  kepada fitrah sebagai  pengatur rumahtangga, memenuhi keperluan suami, dan mendidik anak-anak dengan tsaqofah islam, tanpa membebankan mereka dengan beban kewangan yang meningkat yang memaksa mereka keluar bekerja.

Akhir sekali beliau menyeru para muslimah yang yang hadir untuk sama sama menyongsong penegakan Daulah Islamiyah agar dengannya Syariat Islam dapat diterapkan dan wanita dapat memainkan peranannya sebagai pencetak generasi unggul  dan da’ei yang sejati. Sesi soal jawab kemudian berlangsung dengan pelbagai soalan diutarakan oleh para peserta. MHTM mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada para peserta yang hadir dan memberikan respon positif.