Miss Malaysia World 2013 Haram Di Sisi Islam
Walaupun penganjur telah membatalkan penyertaan gadis Islam, namun perlu diketahui bahawa penganjuran acara tersebut juga merupakan suatu perkara yang haram di sisi Islam. Keharaman bukan hanya terletak kepada pesertanya yang berstatus agama Islam, tetapi ia juga perlu dilihat secara keseluruhan sama ada penganjuran program itu sendiri bersesuaian dengan Islam atau sebaliknya.
Pada hakikatnya, pertandingan Miss Malaysia World ini adalah sama sahaja dengan pertandingan-pertandingan ratu cantik yang lain seperti Miss World atau Miss Universe yang menjadikan wanita sebagai suatu bahan komoditi untuk dipertontonkan kecantikan tubuh badan mereka. Ia bukan sahaja merupakan salah satu bentuk eksploitasi terhadap wanita, tetapi sekaligus telah merendahkan martabat dan maruah wanita yang seharusnya dijaga dan dilindungi oleh negara.
Penganjuran acara Miss Malaysia World wajib dibatalkan serta-merta walaupun dianjurkan oleh orang kafir kerana ia bertentangan dengan syariat Islam dan telah menjadikan wanita sebagai produk para kapitalis yang ingin mendapatkan manfaat hasil kecantikan fizikal mereka semata-mata. Wujudnya pelbagai pertandingan sebegini adalah kerana ia tidak terlepas daripada pemikiran dan peradaban barat yang menjadikan wanita sebagai bahan komoditi dan peranan mereka hanya dipandang sebagai pemuas nafsu seksual belaka.
Keadaan seperti ini tidak akan terjadi jika syariat Islam diterapkan secara kaffah dalam negara. Dalam pandangan Islam, wanita wajib dilindungi dan dihormati tidak kira sama ada mereka adalah Muslim ataupun bukan Muslim. Mereka memiliki kehormatan dan kemuliaan. Oleh sebab itu, haram hukumnya bagi mereka mempertontonkan aurat mereka, apatah lagi untuk terlibat dalam sebuah pertandingan dan disaksikan oleh khalayak ramai.
Islam telah meletakkan aturan yang sangat terperinci dalam mengatur hubungan antara lelaki dan wanita agar kehidupan ini menjadi stabil, tenang dan tenteram. Yang menjadi masalahnya, negara yang menerapkan Islam secara kaffah masih belum wujud saat ini setelah runtuhnya Daulah Khilafah. Padahal keberadaan Khilafah inilah yang akan menjadi benteng bagi kaum Muslimin, khususnya bagi kaum wanita daripada sebarang kerosakan akhlak dan juga serangan musuh-musuh Islam.
Sumber: Utusan Malaysia 20/07/13