Miss Tourism 2015: azab apa lagi yang ingin diundang?
“Sektor pelancongan Melaka mampu mendapat manfaat besar terutama dalam limpahan publisiti menerusi kunjungan ratu cantik dari seluruh dunia”, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, sempena pertandingan akhir ratu cantik Miss Tourism yang bakal di adakan di negeri itu pada 16 Januari nanti.
“Usah melihat pertandingan ini semata-mata sebagai mencolok mata, sebaliknya perlu melihat dalam konteks semangat sebenar untuk memajukan negeri Melaka. Langkah bijak mempromosi Melaka membawa limpahan rezeki terutama dalam sektor pelancongan di mana ratu cantik ini akan membantu mempromosi Melaka di negara mereka,” katanya [http://www.bharian.com.my/node/112857].
Sudah terlalu banyak kemungkaran yang berlaku di Malaysia hasil dari penerapan sistem demokrasi-kapitalis. Sistem demokrasi yang membenarkan segala bentuk kemaksiatan atas nama kebebasan sudah menjadi santapan harian rakyat. Manakala orientasi hidup dan ukuran kebahagiaan dalam sistem yang berasal dari ideologi kapitalis ini adalah meraih sebanyak mungkin kekayaan material. Atas dasar itu sistem demokrasi-kapitalis ini menghalalkan apa sahaja maksiat demi mengaut keuntungan.
Sistem perbankan ribawi, perusahaan insurans, arak, judi, saham, cukai, rampasan harta umum milik rakyat seperti minyak dan gas dan banyak lagi, semua ini “dihalalkan” dalam sistem demokrasi-kapitalis kerana ia membawa keuntungan kepada negara (pemerintah) dan juga kepada para pemilik modal yang menjadi tulang belakang kepada pemerintah.
Justeru, apatah lagi kemaksiatan yang lebih kecil dalam bentuk pertandingan ratu cantik, konsert-konsert hiburan, pertunjukan fesyen dan sebagainya, semua ini langsung tidak dipandang sebagai kemungkaran yang wajib dihindari, tetapi dipandang sebagai sumber “rezeki halal” kepada negara/negeri yang amat bodoh jika dilepaskan.
Pada bulan Ogos 2014, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia memberikan alasan yang sama apabila membenarkan pertandingan Mrs. Universe diadakan di Subang Jaya iaitu demi menjadikan Malaysia sebagai tarikan pelancong yang akan membawa masuk banyak pendapatan kepada negara. Kali ini, giliran kerajaan negeri Melaka pula mengundang kemungkaran atas alasan pelancongan, seolah-olah sudah tidak ada sumber halal lain yang boleh dicari oleh kerajaan selain pertandingan ratu cantik!
Miss World, Miss Universe, Miss Tourism dan apa sahajalah nama yang diberikan, kesemuanya merupakan sebuah kemaksiatan dan kemungkaran yang nyata. Jika kesemua pesertanya bukan dari kalangan Muslim sekalipun, ia tidak menjadikan pertandingan ratu cantik tersebut sebagai “halal” untuk diadakan. Sama seperti riba, judi, pelacuran, majlis bogel dan lain-lain keharaman, jika pun yang terlibat di dalam hal-hal tersebut merupakan non-Muslim, ia sama sekali tidak menjadikan aktiviti tersebut halal untuk diadakan dalam negara.
Pertandingan ratu cantik tidak lebih daripada eksploitasi ke atas wajah dan tubuh wanita, untuk dipertontonkan kepada umum, selain daripada promosi produk-produk kecantikan oleh syarikat-syarikat kapitalis yang menjadi penaja. Kecantikan wajah dan bentuk tubuh merupakan aset utama kepada seseorang peserta dalam rangka memasuki dan memenangi pertandingan haram ini. Walau tidak disertakan dengan bikini (yang menjadi asal-usul kepada pertandingan ratu cantik) dan kononnya ditambah dengan unsur keintelektualan yang ada pada peserta sebagai penilaian kepada kemenangan, kesemua fakta ini tidak merubah hakikat pertandingan ratu cantik sebagai eksploitasi tubuh wanita untuk tontonan umum yang merupakan sebuah kemungkaran.
Sudah berapa banyak azab yang Allah timpakan ke atas Malaysia disebabkan kemungkaran yang berlaku hasil usaha tangan-tangan manusia, kini kerajaan Melaka pula mengundang satu lagi azab dengan menganjurkan pertandingan Miss Tourism yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam, malah sebenarnya telah menghina Islam secara tidak langsung.