Mohamad Ezam jilat muntah sendiri setelah diletak sedikit sos

Mohamad Ezam masuk semula Umno

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menerima kemasukan semula bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor ke dalam Umno, yang ditinggalkannya pada 1999.

Perdana Menteri berkata, kemasukan semula Mohamad Ezam ke dalam Umno diterima tanpa sebarang syarat serta tiada bantahan daripada Majlis Tertinggi (MT) dan Pemuda Umno.

“Dia mahu menyertai semula Umno dan dia akan terus berjuang dalam Umno mengikut matlamat dan tujuan Umno… saya terimalah.
 

“Tak ada syarat dan tak ada keistimewaan dan dia tak ditawarkan jawatan… dia pun tak minta, dia hanya hendak berkhidmat dan berjuang dalam parti.

“Pada saya, yang masuk Umno akan membantu menguatkan parti mesti ada niat untuk berjuang,” katanya pada sidang media selepas Mohamad Ezam mengunjunginya kira-kira setengah jam di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen, semalam.

Pada akhir sidang media itu, Mohamad Ezam menyerahkan borang permohonan sebagai ahli Umno seumur hidup dengan yuran RM100 kepada Abdullah yang kemudian diserahkan kepada Setiausaha Kerja Umno, Brig Jen (B) Datuk Husainay Hashim.

Ditanya mengenai keistimewaan Mohamad Ezam, Abdullah yang juga Presiden parti berkata: “Keistimewaan dia ialah dia dah keluar, duduk bawah parti lain dan pemimpin lain… dia berasa Umno lebih baik, itu yang istimewanya”.

Ditanya sama ada kemasukan Mohamad Ezam memberikan semangat baru kepada Umno, katanya, kemasukan orang menyertai Umno tentu membantu kepada kekuatan parti.

“Jika tidak, buat apa nak masuk Umno, tentulah ada niat untuk berjuang sama-sama dalam Umno. Umno adalah parti politik bukan sebuah syarikat, jika syarikat nak untung,” katanya.

Ditanya sama ada Mohamad Ezam akan memberi sumbangan berbeza berbanding jika anggota biasa menyertai Umno memandangkan beliau sebelum ini memegang jawatan kanan dalam PKR, Abdullah berkata: “Tengoklah nanti apa akan berlaku.”

Mengenai imej Ezam yang dikatakan dibayangi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdullah berkata, Ezam ikhlas mahu kembali dan kemasukannya itu mungkin boleh memberi ruang kepada orang lain menyokong Umno.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kemasukan semula Mohamad Ezam menunjukkan keyakinannya bahawa Umno adalah wadah perjuangan yang sepatutnya disokong, sekali gus membuktikan beliau sudah hilang kepercayaan dengan PKR.

“Kita mesti faham bahawa sebagai sebuah parti, kita perlu membuka pintu bagi menerima mereka yang kini menyokong kita. Jika kita bersikap memilih orang tertentu dan tidak mahu orang lain masuk, bererti kita akan hilang banyak pihak yang sebenarnya ingin menyokong kita.

“Walaupun dalam kes Mohamad Ezam ini, dia menentang kita dulu, dalam sejarah perjuangan Umno kita terima banyak pihak yang dulu menentang kita, tetapi kemudian sudah insaf untuk sokong parti kita semula.

“Mohamad Ezam tahu banyak perkara, maknanya dia tahu (apa yang berlaku) ketika dia dalam PKR dan boleh terangkan kenapa dia tidak yakin lagi dengan perjuangan PKR,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengangkutan Awam di Parlimen.

Najib, yang juga Timbalan Presiden Umno, mengakui tidak semua anggota parti akan menyokong penerimaan semula Mohamad Ezam menyertai Umno, tetapi adalah memadai jika majoriti berpendapat ia satu tindakan yang baik.
 
Sumber : Berita Harian 28/5/2008
 
Ulasan:
 
Dasar politik Machiavelli!!! Kemasukan semula Ezam ke dalam UMNO tidaklah membuktikan apa-apa, kecuali membuktikan satu perkara, bahawa di dalam politik kufur yang diamalkan sekarang, “tidak ada kawan yang abadi dan tidak ada musuh yang abadi, yang ada hanyalah kepentingan abadi”. Inilah politik Machiavelli – segala-galanya adalah kerana kepentingan!!!

Kerana kepentingan, seseorang boleh keluar dari UMNO dan kerana kepentingan juga, seseorang boleh masuk semula ke dalam UMNO. Kerana kepentingan, orang yang keluar UMNO dijulang sebagai hero oleh parti pembangkang, dan kerana kepentingan juga, orang yang masuk semula UMNO dikutuk oleh parti pembangkang.

Dulu, Ezam dijulang pembangkang kerana keluar dari UMNO. Hari ini Ezam dijulang UMNO kerana masuk semula ke dalam UMNO, esok apabila dia keluar dari UMNO dan masuk pembangkang semula, maka dia akan dijulang pula oleh pembangkang. Lusa, apabila dia masuk semula ke dalam UMNO, dia akan dijulang lagi oleh UMNO dan begitulah hal ini akan berlaku terus-menerus selama mana yang diperjuangkan oleh sesebuah parti itu adalah “kepentingan”.

Dr Mahathir pernah diselar hebat hingga digelar Maha Firaun oleh sesetengah pihak semasa beliau menjadi PM. Namun setelah beliau meletak jawatan dan mengkritik penggantinya, Pak Lah, maka Mahathir dijulang sebagai hero, malah orang yang menggelarnya Firaun dulu kini boleh duduk semeja dan menikmati teh bersama dengan gelak ketawa. Inilah politik Machiavelli!

Sungguh aneh apabila Pak Lah menyatakan bahawa tidak ada apa-apa keistimewaan apabila Ezam masuk UMNO. Apakah penerimaan borang keahlian Ezam oleh Pak Lah sendiri, dengan kehadiran puluhan wartawan bukannya satu keistimewaan? Apakah perbincangan empat mata selama setengah jam sebagaimana dilaporkan oleh media massa antara Pak Lah dengan Ezam, bukan satu keistimewaan? Apakah kalau seorang penoreh getah yang telah keluar dari UMNO dan kini memohon memasuki semula UMNO akan dilayan oleh Pak Lah sebagaimana Pak Lah melayan Ezam?

Lebih aneh apabila Ezam menyatakan kemasukannya semula ke dalam UMNO adalah kerana minatnya terhadap dasar hapus rasuah oleh Pak Lah. Ya, mungkin budak darjah enam akan ramai-ramai mempercayai kata-kata hebat Ezam ini. Ezam yang ingin muncul sebagai hero rasuah negara, kini ingin berada di bawah kepimpinan seseorang yang dahulunya beliau kritik hebat sebagai menjatuhkan tamadun sebuah negara kerana amalan rasuah yang merajalela di sepanjang pemerintahannya. Walau apa alasan dan strateginya, kaedah “matlamat menghalalkan cara” nampaknya sentiasa bermanfaat bagi mereka yang mengamalkan politik Machiavelli. Sungguh aneh dengan pejuang muda ini! Dahulu beliau membuat laporan polis terhadap Pak Lah kerana orang ini telah merampas kekayaan negara dan melakukan perbuatan yang bercanggah dengan ayat Quran yang diperjuangkannya, kini, Ezam telah sanggup berada di bawah ketiaknya pula!
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=5285&Itemid=59
Alangkah hebatnya perjuangan Ezam di dalam menjaga ayat-ayat Allah!