Momentum Rajab Pemangkin Tegaknya Khilafah
Sedar atau tidak, sudah 95 kali Rajab berlalu sejak runtuhnya Khilafah pada 28 Rajab 1342H yang lalu. Hari-hari yang berlalu terasa amat cepat meninggalkan kita, dalam keadaan sebahagian umat Islam dibelenggu penderitaan yang amat dahsyat, manakala sebahagian yang lain masih leka dengan duniawi. Malah, mungkin ramai yang masih tidak tahu bahawa bulan Rajab 95 tahun yang lalu menjadi titik hitam kepada sejarah Islam apabila Daulah Islam yang dibina oleh Rasulullah SAW yang berpusat di ibukota Madinah ketika itu, telah diruntuhkan oleh Mustafa Kamal Atartuk di Istanbul yang menjadi ibukota terakhirnya, dengan bantuan kuffar British.
Setiap kali masuknya bulan Rajab, umat Islam seringkali disajikan dengan ceramah yang membentangkan peristiwa agung Isra’ dan Mikraj yang berlaku ke atas junjungan mulia, Rasulullah SAW sebagai pengubat kedukaan setelah pemergian isteri baginda SAW iaitu Khadijah RA serta kematian bapa saudara baginda SAW iaitu Abu Talib. Umat Islam turut diperingatkan akan kewajipan menunaikan solat lima waktu yang telah difardukan sewaktu Rasulullah SAW dimikrajkan.
Di samping itu, kita juga telah menyaksikan betapa kukuh dan mendalamnya keimanan para sahabat radhiallahu ‘anhum yang meletakkan sepenuh keyakinan terhadap Rasulullah SAW, meskipun kaum kafir Quraisy berusaha menggoyahkan keimanan mereka dengan mempertikaikan kesahihan peristiwa Isra’ dan Mikraj tersebut. Kita juga mengetahui bagaimana sahabat ulung Rasulullah SAW, iaitu Abu Bakar RA yang menerima gelaran “as-Siddiq” kerana membenarkan perkhabaran tentang peristiwa Isra’ dan Mikraj tanpa sekelumit pun keraguan pada dirinya. Demikianlah keteguhan iman para sahabat, serta ketaatan mereka dalam melaksanakan perintah Allah SWT melalui wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.
Sirah bukan sekadar lintasan sejarah yang dibahaskan tanpa sebarang penghayatan
Sayang sekali apabila ada antara umat Islam yang terlalu sibuk membahaskan secara akademik mengenai bulan dan tahun sebenar berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj tersebut, sehingga gagal menghayati iktibar daripadanya untuk meletakkannya sejajar dengan realiti yang berlaku ke atas kita pada hari ini. Terdapat juga ulama yang menghabiskan begitu banyak masa membahaskan persoalan sama ada perjalanan Rasulullah SAW itu berlaku secara jasad (fizikal) ataupun ruh. Walaupun khilaf (perbezaan pendapat) seperti ini bukanlah suatu yang terlarang untuk dibincangkan, namun malang sekali jika tidak ditanggapi secara benar, apatah lagi apabila melupakan pembahasan yang lebih penting yakni berhubung dengan pengajaran dan hukum syarak yang wajib diambil dari apa yang berlaku.
Suatu aspek yang sering kali terlepas pandang adalah hakikat bahawa bumi tempat Rasulullah dimikrajkan, iaitu bumi Palestin yang menempatkan Baitul Maqdis kini telah dijajah dan dikuasai oleh rejim Yahudi berdekad lamanya. Yahudi mendakwa bahawa tanah tersebut merupakan tanah yang dijanjikan Allah kepada mereka, sedangkan hakikatnya mereka sendiri yang telah memungkiri janji Allah dan menjadi golongan yang dilaknat olehNya.
Bahkan dalam surah al-Isra’ yang menceritakan tentang peristiwa Isra’ dan Mikraj, turut diceritakan perihal Bani Israel yang berbuat kerosakan sebanyak dua kali dan mereka menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar. Lalu mereka telah ditewaskan oleh musuh-musuh mereka. Ulama tafsir berbeza pendapat dalam menyatakan siapakah musuh-musuh Bani Israel yang menewaskan mereka buat kali pertama. Namun disepakati bahawa kesombongan Bani Israel telah ditundukkan dalam keadaan yang hina pada kali keduanya oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, sebagai balasan terhadap keingkaran, pengkhianatan, dan kerosakan yang mereka lakukan di muka bumi.
Tidak lama kemudian, Baitul Maqdis pula telah dibebaskan oleh tentera Islam di bawah pemerintahan Umar al-Khattab RA. Sejak itu, Baitul Maqdis kekal aman di tangan umat Islam dalam tempoh yang panjang sebelum dirampas oleh tentera Salib selama kira-kira 88 tahun mulai tahun 1099M.
Pembebasan Baitulmaqdis daripada Tentera Salib
Tempoh kelam selama hampir 9 dekad itu ditamatkan melalui pembebasan yang dilakukan oleh tentera kaum Muslimin di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi, seorang panglima Muslim berbangsa Kurd. Peristiwa ini merupakan salah satu peristiwa penting yang turut berlaku pada bulan Rajab, tepatnya pada 27 Rajab 535H.
Sesungguhnya, kejatuhan Baitul Maqdis ke tangan tentera Salib pada tahun 1099M berpunca daripada perpecahan yang terjadi dalam kalangan umat Islam pada waktu itu. Menyedari kepentingan penyatuan umat, Salahuddin telah memberikan taat setianya kepada Khalifah Abbasiyah dan bertindak menyatukan wilayah Syam dan Mesir kembali kepada kekhilafahan di Baghdad.
Dengan izin Allah, akhirnya Baitul Maqdis kembali ke tangan umat Islam selama lebih 900 tahun sehingga kekhilafahan beralih kepada Bani Uthmaniyyah. Para Khalifah Uthmaniyyah turut meneruskan legasi dalam melindungi umat serta memelihara tanah suci umat Islam ini daripada dijajah oleh kaum kuffar. Bahkan di saat-saat kelemahan Daulah Islam sekalipun, Sultan Abdul Hamid II tetap berusaha melindungi Palestin dan menolak bulat-bulat rasuah yang ditawarkan oleh Yahudi demi mendapatkan tanah Palestin.
Namun, Baitul Maqdis akhirnya jatuh ke tangan tentera bersekutu British dan Perancis sewaktu Perang Dunia Pertama, antara lain berpunca daripada persekongkolan Syarif Hussein bersama British dalam memberontak terhadap Khilafah. Jelaslah bahawa perpecahan umat Islam sekali lagi telah menjadikan umat ini lemah sehinggakan musuh-musuh Islam berupaya menewaskan umat Islam, lalu berjaya menjajah tanah suci umat Islam sehingga ke hari ini.
Dendam kesumat kaum kuffar atas kekalahan mereka dalam Perang Salib tergambar dalam ungkapan Jeneral Allenby sewaktu memasuki Baitul Maqdis pada 1917, “Hari ini Perang Salib telah berakhir”. Kebiadaban sang kafir turut dapat dilihat apabila seorang jeneral Perancis bernama Gouraud yang telah menendang kubur Salahuddin lalu berkata, “Di sini, kami telah kembali wahai Salahuddin!”
Khilafah Uthmaniyyah yang tewas dalam Perang Dunia Pertama akhirnya telah dijajah oleh pasukan tentera Berikat. Melalui perjanjian licik Sykes-Picot, tanah kaum Muslimin akhirnya telah dibahagikan sebagai “ghanimah” antara kuasa-kuasa Berikat, khasnya British dan Perancis.
28 Rejab 1342H: Detik kelam bermulanya episod duka buat umat Islam
Umat Islam kemudiannya ditimpa detik kelam tatkala Khilafah dibubarkan pada tanggal 28 Rejab 1342H, hasil persekongkolan kuasa-kuasa kuffar bersama ejen mereka iaitu Mustafa Kemal Atarturk laknatullah. Atarturk telah menghapuskan setiap syiar dan identiti Islam dalam aspek kenegaraan dan kemasyarakatan, serta menerapkan sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan) di bawah republik Turki yang berasaskan negara bangsa.
Semenjak itu, bermulalah detik hitam bagi seluruh umat Islam di segenap penjuru dunia. Mereka diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh kerana berada dalam keadaan yang amat lemah dan berpecah-belah tanpa pelindung (Khalifah). Meskipun mempunyai bilangan yang ramai, namun tetap berada dalam keadaan yang lemah ekoran menularnya penyakit wahn (cintakan dunia dan takutkan mati) dalam diri umat ini. Wilayah umat Islam dijajah, serta dipisah-pisahkan di bawah dasar pecah dan perintah yang digunakan oleh kuffar penjajah. Hal ini berlanjutan sehinggalah tercetusnya Perang Dunia ke-2 yang menyaksikan kuasa British dan Perancis melemah dan digantikan dengan dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet.
Pasca Perang Dunia ke-2 menyaksikan munculnya semangat nasionalisme dalam bangsa-bangsa yang selama ini terjajah, termasuklah dalam kalangan umat Islam sendiri. Namun, kesedaran untuk membebaskan diri daripada penjajahan ini tetap gagal membangkitkan umat Islam, kerana masih disandarkan kepada sistem warisan penjajah berasaskan negara bangsa. Episod duka dalam kehidupan kaum Muslimin terus berlarutan sehingga ke hari ini. Masalah kehidupan yang menimpa umat terbaik ini berlarutan saban waktu, bahkan semakin bertambah dari semasa ke semasa ekoran penerapan sistem demokrasi sekularisme, sebuah sistem yang berasal dari kuffar Barat yang berlandaskan akal dan hawa nafsu semata-mata.
Natijahnya, keadaan umat masih tidak berubah, bahkan menjadi semakin buruk apabila penguasa umat yang menaiki takhta merupakan ejen-ejen Barat yang telah diindoktrinasikan untuk melestarikan penjajahan bentuk baharu tanpa memerlukan penjajahan secara fizikal.
Kemuliaan yang dahulunya menjadi milik umat Muhammad telah sirna pasca keruntuhan Daulah Khilafah. Darah-darah umat terbaik ini begitu mudah ditumpahkan oleh musuh-musuh Allah, tanpa belas kasihan. Dalam pada itu, Yahudi turut kembali menakluki Palestin pada tahun 1948 dan berusaha memusnahkan Masjid al-Aqsa sepanjang pendudukannya itu. Umat Islam di Palestin menderita akibat kezaliman dan penindasan di bawah cengkaman rejim Yahudi. Manakala umat Islam di belahan dunia lainnya menderita dek penerapan sistem kufur di bawah penguasa diktator.
Para penguasa Muslimin menjadi pengkhianat, tetapi dalam masa yang sama cuba berlagak sebagai hero. Hakikatnya mereka hanya tunduk kepada percaturan yang telah dilakarkan oleh kuasa-kuasa besar. Penguasa Muslim bertindak menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) kononnya untuk membela umat Islam, sedangkan hakikatnya penubuhan OIC tak ubah daripada sekadar satu bentuk pengalihan terhadap permasalahan sebenar umat ini, iaitu tidak diterapkan hukum Islam di dalam kehidupan dan tiadanya Khilafah sebagai pemersatu umat.
Sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan dan kemuliaan akan hanya tercapai apabila umat ini kembali bersatu secara hakiki di bawah sistem pemerintahan Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para Khulafa’ ar-Rasyidin al-Mahdiyyin. Tanpa negara yang menerapkan syariat Islam, selamanya umat ini tidak akan keluar daripada keadaan yang serba hina lagi buruk ini.
Oleh itu sedarlah wahai umat Muhammad, sesungguhnya, sistem pemerintahan dalam Islam adalah sistem Khilafah, bukan yang lain. Khilafahlah yang menjadi perisai kepada agama, kehormatan, jiwa dan harta kaum Muslimin, menjaga perbatasan, menghilangkan hambatan dan penghalang yang berusaha menghalangi sampainya risalah Islam sehingga kalimat Allah dijunjung tinggi di atas muka bumi ini.
Justeru, bersempena mengenang ulang tahun detik kelam keruntuhan Khilafah pada 28 Rejab ini, marilah kita bersama-sama menggembleng segenap upaya untuk mengembalikan semula kewajipan yang telah sekian lama ditinggalkan ini.