Seminar “Syariah dan Khilafah Jaminan Kesejahteraan” berjalan lancar walaupun berpindah tempat

08Sempena memperingati bulan kejatuhan Khilafah, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengadakan seminar di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara. Kuala Lumpur dipilih untuk menjadi pembuka tirai kepada seminar bertemakan “Syariah dan Khilafah Jaminan Kesejahteraan” ini.

Khilafah yang membawa kesejahteraan kepada bukan sahaja umat Islam, malah umat manusia, telah runtuh pada 28 Rajab 1342H, kira-kira 95 tahun yang lalu. Sejak itu dunia didominasi oleh sistem demokrasi-kapitalisme yang telah membawa kesengsaraan kepada umat manusia secara amnya.

Kekayaan negara dikaut oleh segelintir elit kekuasaan dan para pemilik modal (kapitalis), manakala rakyat dihimpit dengan pelbagai kesengsaraan hasil kerakusan mereka dan sistem yang mereka terapkan.

Sistem demokrasi-kapitalisme telah menghasilkan kitaran kesengsaraan yang bersifat sistemik yang tidak ada jalan keluar lagi daripadanya, kecuali dengan mencampakkan sistem kufur ini dan menggantikannya dengan penerapan syariah di bawah Negara Khilafah. Di samping wajib menerapkannya, syariah dan Khilafah telah terbukti membawa kesejahteraan kepada manusia selama lebih 1300 tahun penerapannya.

Itulah mesej yang dibawa dalam seminar kali ini oleh dua orang speaker HTM iaitu Sdr Khairul Effendy dan Dr Muhammad Abu al-Ayn.

Alhamdulillah seminar ini berjalan lancar walaupun berlaku perubahan lokasi di saat-saat akhir kerana pembatalan oleh pihak premis akibat campurtangan pihak berkuasa.