Musharraf ingin selamat – seru kepada demokrasi

‘Era baru demokrasi bermula’ – Presiden Pervez ikrar beri sokongan penuh pada kerajaan

ISLAMABAD 23 Mac – Presiden Pakistan, Pervez Musharraf hari ini menyatakan era demokrasi sebenar sudah bermula di negara ini berikutan pilihan raya baru-baru ini dan beliau akan memberi sokongan penuh kepada kerajaan baru.

Musuh politik Pervez mengalahkan sekutu-sekutu beliau pada pilihan raya umum 18 Februari lalu dan kerajaan campuran baru nampak bersedia menghadapi konfrontasi selepas berikrar untuk melantik semula para hakim yang dipecat oleh Presiden semasa pemerintahan darurat pada November lepas.

“Saudara-saudari, anda sedang menyaksikan permulaan era demokrasi sebenar di Pakistan,” kata Pervez dalam ucapan semasa perarakan tentera Hari Pakistan di ibu negara ini.

Beliau yang merampas kuasa pada Oktober 1999 selepas menggulingkan kerajaan Perdana Menteri, Nawaz Sharif melahirkan rasa bangga dengan pertumbuhan ekonomi tujuh peratus setahun dalam tempoh lapan tahun lalu.

“Kita berbangga bahawa dalam tempoh lapan tahun lepas, kita bukan sahaja telah meletakkan batu asas untuk demokrasi sebenar tetapi kita juga meletakkan Pakistan di laluan menuju kemajuan dan kemakmuran,” katanya.

Pervez dijadual mengetuai upacara angkat sumpah Perdana Menteri baru daripada Parti Rakyat Pakistan (PPP), Yousuf Raza Gilani esok.

Presiden itu sekali lagi memberi jaminan beliau akan bekerjasama dengan kerajaan baru.

“Baik kerajaan baru mana yang dibentuk, saya akan memberikan sokongan penuh,” katanya sambil melahirkan harapan kerajaan itu akan menjaga keamanan, terus menjana pertumbuhan ekonomi dan giat memerangi keganasan dan fahaman pelampau.

Kerajaan Barat memantau rapi perkembangan politik di Pakistan kerana bimbang ketidakstabilan akan menjejaskan kempen memerangi militan Al-Qaeda dan Taliban.

Satu laporan oleh akhbar New York Times menyebut, suami Benazir Bhutto yang juga Pengerusi bersama PPP, Asif Ali Zardari dan Nawaz berhasrat untuk memulakan rundingan dengan puak militan dengan harapan untuk menghentikan gelombang keganasan sejak kebelakangan ini.

Laporan tersebut telah menimbulkan keresahan di Barat.

– AFP

Sumber: Utusan Malaysia 24/03/08

Ulasan:

“Musharraf berlakon lagi”. Inilah tajuk yang lebih tepat bagi berita ini sebenarnya. Musharraf yang terkenal diktator dan pembunuh nombor satu umat Islam di Pakistan, cuba menggula-gulakan rakyat dengan demokrasi.

‘Demokrasi’, sebuah sistem kufur yang berasal dari Barat ini nampaknya tidak habis-habis dijadikan suatu yang ‘suci’ yang seolah-olah merupakan satu-satunya sistem yang menjadi penyelamat dan ‘wajib’ diambil oleh umat Islam. Setelah puas membunuh umat Islam dan melakukan banyak kerosakan di bumi Pakistan, kini Musharraf melaung-laungkan bahawa era baru demokrasi telah bermula. Ya, suasana inilah yang diharap-harapkan Musharraf untuk mempertahankan kedudukan beliau sebagai Presiden Pakistan. Dengan menyatakan sokongan padu dan mengharapkan Perdana Menteri yang bakal dilantik mengamalkan demokrasi, jawatannya sebagai Presiden tidak akan diganggu gugat.

Sudah berapa lama umat Islam dibohongi dengan ‘demokrasi’ oleh kuffar Barat dan juga pemerintah Muslim yang jahat dan sekular. Seruan untuk kembali kepada demokrasi diterima oleh sebahagian besar umat Islam, termasuklah para pemimpin dan ulama sekalipun, seruan yang diterima umat seumpama seran untuk kembali kepada Al-Quran. Walhal sistem demokrasi hakikatnya adalah sebuah sistem kufur yang bertentangan 100 peratus dengan Islam. Sistem demokrasi yang meletakkan hak membuat undang-undang di tangan manusia ini adalah sebuah sistem yang jelas-jelas haram untuk diambil oleh umat Islam.

Namun, oleh sebab kejahilan umat Islam itu sendiri tentang demokrasi, maka musuh-musuh Islam, khususnya Barat senantiasa mengambil peluang untuk menyeru dan terus menyeru umat Islam agar kembali dan sentiasa mempertahankan demokrasi. Walhal atas nama demokrasi inilah, AS menceroboh Iraq dan membunuh berapa ramai umat Islam di sana. Atas nama demokrasi juga, AS mengembargo Iraq menyebabkan lebih kurang 500,000 kanak-kanak Iraq meninggal dengan penuh penderitaan. Atas nama demokrasi jugalah, AS menyokong Musharraf untuk membunuh umat Islam yang merupakan rakyatnya sendiri. Atas nama demokrasi, AS masuk dan campur tangan ke dalam urusan umat Islam di pelbagai negara dan atas nama demokrasilah, AS telah berjaya menguasai umat Islam di seluruh dunia.

Anehnya, umat Islam, khususnya para ulama yang ada, masih berdiri teguh mempertahankan demokrasi dan menyatakan ia adalah selaras dengan Islam. Pemikiran mereka seolah-olah ‘terpukau’ dengan demokrasi dan sudah tidak mahu keluar darinya. Inilah antara kejayaan Amerika dalam menghalang kembalinya sistem Khilafah di muka bumi, dengan ‘menguasai’ pemikiran umat Islam agar berpegang teguh dengan sistem demokrasi. Namun, dengan melihat kebangkitan Islam di seluruh dunia pada hari ini, khususnya gema untuk kembali kepada Khilafah, kita yakin bahawa sistem demokrasi ini akan berkubur sedikit masa lagi dan Insya Allah, Allah SWT akan menggantikannya dengan sistem Khilafah, satu-satunya sistem pemerintahan yang wajib ke atas kita semua.