Muslim Bertakwa, Peduli Ummah

Oleh: Aliya Ab Aziz

Bulan Ramadhan yang sinonim dengan bulan ketakwaan wajar menjadikan kita semakin tunduk terhadap ketetapan Allah swt dalam pelbagai aspek. Ini termasuklah terkait hubungan persaudaraan sesama kita. Umum mengetahui bahawa umat Islam dipersaudarakan oleh akidah, yang tidak dibezakan oleh bangsa, warna kulit mahupun bahasa. Justeru, bulan yang mulia ini menjadi kesempatan emas bagi seluruh umat Islam untuk memikirkan nasib kaum Muslim di seluruh penjuru dunia secara mendalam dan penuh kejujuran.

Melihatkan keadaan ummah di seluruh dunia pada hari ini, kita akan menemui pelbagai ketidaksejahteraan menimpa mereka di mana-mana. Misalnya:

  • Ditindas – seperti umat Islam Palestin dizalimi oleh entiti haram Israel di bumi barokah,
  • Terpinggir – umat Islam Rohingya dihalau dan dibiarkan menderita tanpa negara,
  • Didiskriminasi – umat Islam di Barat menghadapi ancaman Islamophobia dan sering diganggu apabila menyerlahkan keIslaman mereka,
  • Ditimpa kelaparan – seperti yang terjadi kepada rakyat Yaman,
  • Terjerat dalam kemiskinan – ummah dipelbagai belahan dunia seperti Afrika, Indonesia, bahkan Malaysia turut berdepan dengan cabaran kemiskinan akibat penerapan ekonomi kapitalisme. Masalah ini turut berlaku di wilayah yang kaya hasil bumi, namun masih ada rakyat yang melarat.
  • Dirompak kekayaan mereka – kesan peperangan yang dilancarkan ke atas tanah-tanah umat Islam seperti Iraq dan Afghanistan dahulu mengakibat kerugian yang besar pada ummah, manakala para kuffar Barat membolot kekayaan bumi tempatan yang mereka jarah
  • Dikhianati – ummah ini dikhianati oleh para pemimpin boneka yang bersekutu dengan musuh
  • Dilabel dengan gelaran yang buruk – Barat melancarkan perang pemikiran dengan menyudutkan label tertentu kepada umat Islam seperti radikal/ekstrem/pengganas etc. Semua label ini menyebabkan ramai umat Islam menjadi mangsa ketidakadilan dan dizalimi oleh rejim-rejim penjajah serta ejen-ejennya. Malah menyebabkan ramai yang menginginkan syariat Islam sebagai cara hidup difitnah dan dimusuhi.
  • Hilang jati diri – dominasi budaya dan fahaman berasaskan sekular (seperti hedonisme, kesetaraan gender, kecelaruan jantina, liberalisme, moderat dan lain-lain) yang diterapkan oleh kebanyakan rejim menyebabkan syariat dan budaya Islam ditekan dan dihadkan penerapannya. Seterusnya menyebakan generasi kian jauh dari pemahaman yang benar tentang syariat Islam Kaffah itu sendiri.

Inilah sebahagian realiti buruk yang menimpa ummah hari ini, sekaligus menjadikan kehidupan saudara-saudara kita tidak sejahtera. Lebih menyayat hati, situasi ini berlangsung bertahun lamanya tanpa pembelaan yang haq, dan mengakibatkan korban atau mangsa yang banyak.

Mengapa hal ini boleh terjadi sedangkan kita ramai, dan negeri-negeri kita banyak?

Ini kerana isi al-Quran tidak lagi menjadi asas kehidupan, dan ia tidak diterapkan secara kaffah disetiap wilayah umat Islam. Situasi ini berbeza ketika sistem kekhilafahan menaungi seluruh wilayah umat Islam, Khilafah menjadikan al-Quran sebagai undang-undang tertinggi dan dasar yang mengatur sistem negaranya. Malah lebih memburukkan keadaan, setelah runtuhnya sistem kekhilafahan terkahir, yakni Khilafah Uthmaniyyah, kebanyakan negeri-negeri hari ini berpecah kepada negara bangsa. Akibatnya, ramai umat Islam mementingkan ikatan nasionalisme berbanding ikatan akidah. Mewujudkan prejudis dan bersikap selektif sesama mereka. Malah, negeri-negeri ini juga telah menggantikan ideologi Islam kepada ideologi demokrasi sekular sebagai dasar utama pentadbiran negaranya, dan sistem perekonomian kapitalisme sebagai dasar ekonominya. Inilah akar utama penyebab munculnya segala permasalahan di atas yang perlu difahami oleh umat Islam hari ini dengan benar.

Dan ingatlah firman Allah swt, yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada Muhajirin), mereka itu satu sama lain saling melindungi. Dan (terhadap) orang-orang yang beriman tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajipan sedikit pun bagimu melindungi mereka, sampai mereka berhijrah. (Tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah terikat perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan“. (Surah al-Anfal : 72)

Di sinilah munculnya tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk membela nasib saudara-saudara seakidah kita yang tertindas. Pembelaan ini semsetinya tidak cukup sekadar dilakukan oleh seruan individu atau kelompok kecil. Sebaliknya memerlukan pembelaan dari sistem pemerintahan yang berdiri atas ideologi Islam kaffah – Khilafah.

Justeru, marilah kita sama-sama menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan kesedaran bagi seluruh umat Islam. Sedar akan hakikat sebenar kehidupan kita. Dengan semangat meraih ketakwaan juga, kita perlulah sama-sama bermuhasabah diri untuk bersatu berusaha mengakhiri derita kemanusiaan yang dihadapi oleh saudara-saudara kita ini. Hal ini tak lain tak bukan, adalah dengan gencar melakukan dakwah, yang menyerukan ke arah perubahan yang benar – yakni kembali pada sistem Islam dan mentautkan kembali jalinan persaudaraan ummah atas landasan akidah Islam.

Wallahu`alam.

#PolitikRamadhan

#tarbiahmuslimahraihkemenangan