Muzium najis – betapa rosaknya cara berfikir manusia
Sebuah muzium pertama di Britain yang dikhususkan untuk mempamerkan najis-najis dibuka kepada orang ramai secara rasmi di Zoo Isle of Wight, London baru-baru ini. Mengikut laporan agensi berita Britain, Muzium Najis itu mempamerkan 20 najis binatang dan termasuk juga najis bayi.
Setiap sampel yang dikeringkan dipamerkan di dalam bekas kaca selain disertakan dengan lampu kecil untuk dilihat dengan jelas. Malah, pengunjung juga diberi peluang untuk menghidu tahi binatang dengan lebih dekat bagi mendapatkan ‘aroma’ sebenar yang dibuang haiwan terbabit.
Menurut Daniel Roberts yang mencetuskan idea muzium tersebut, pameran itu bertujuan mendedahkan kepada pengunjung mengenai kesihatan manusia dan haiwan, sistem pembetungan dan penggunaan najis sebagai sumber tenaga.
Berdasar akal, idea muzium najis ini dipandang unik dan baik untuk bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan. Hal ini selari dengan cara berfikir orang-orang Barat yang tidak ada agama atau tidak menjadikan agama sebagai standard perbuatan. Mereka hanya menilai baik buruk segala sesuatu semata-mata berdasarkan akal.
Dalam Islam, najis adalah suatu kotoran yang wajib dibuang. Islam malah mengajar dengan terperinci jenis-jenis najis dan cara membersihkannya dan haram memanfaatkannya dalam apa bentuk sekalipun, kecuali untuk tujuan perubatan.
Manusia sepatutnya menggunakan akal yang diberi oleh Allah SWT untuk memikirkan tentang kejadian atau makhluk yang ada di muka bumi ini bagi mencapai keimanan kepada Allah SWT, kerana hakikatnya tidak ada satu makhluk pun yang terjadi dengan sendirinya kecuali mesti ada penciptanya.
Diriwayatkan suatu ketika pernah datang seseorang menemui dan bertanya kepada salah seorang Arab Badwi dan bertanya, “Wahai orang Badwi, bukankah engkau tidak pernah bertemu dan melihat Tuhanmu, lantas bagaimana caramu beriman kepadaNya?”
Arab Badwi itu kemudian menunjuk kepada tahi unta lalu berkata, “Tahi unta itu menunjukkan adanya unta, sebagaimana bekas tapak kaki menunjukkan pernah adanya orang yang berjalan.”
Nah, jika Arab Badwi yang terkenal sebagai kaum yang lebih rendah taraf berfikirnya di zaman awal Islam dulu boleh menjawab dengan jawapan yang tuntas seumpama itu, bagaimana pula dengan orang sekarang, apatah lagi orang Barat yang mengaku bahawa mereka merupakan bangsa yang cerdik dan maju?
Orang Badwi dulu hanya mencontohkan setompok tahi binatang yang terbiar untuk menunjukkan bagaimana seseorang boleh mencapai keimanan kepada Allah SWT, sedangkan Barat hari ini mengumpul dan ‘memuliakan’ tahi binatang dan semakin jauh dari keimanan kepada Allah SWT. Betapa rendah dan rosaknya cara berfikir seperti ini!