Nahdhah Fikriyyah: Wanita Cemerlang Membangun Peradaban Gemilang

Oleh: Ustazah Nurain Abdulrahman (Aktivis MHTM)

Muqaddimah
Sempena sambutan Hari Wanita, setiap tahun wanita cemerlang digambarkan sebagai seorang wanita yang memiliki taraf pendidikan yang tinggi, kerjaya yang hebat dan mempunyai pelbagai aset material yang mewah. Dikatakan juga wanita yang cemerlang adalah wanita yang memiliki ‘kebebasan kewangan’ atau  financial freedom serta yang mandiri iaitu tidak bergantung hidup pada lelaki. Lebih-lebih lagi wanita yang mampu memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi dan pembangunan negara, golongan inilah yang diangkat sebagai tokoh wanita. Inilah standard kecemerlangan yang ditetapkan dalam sistem demokrasi-kapitalisme. Cukup dengan berlandaskan konsep kebebasan, sistem ini telah menyemarakkan lagi api semangat dalam kebanyakan diri wanita untuk menuntut hak kesetaraan gender sehingga mereka sanggup mengorbankan tanggungjawab mulia yang telah dibebankan oleh Allah SWT kepada kaum Hawa iaitu sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengatur rumahtangga).

Wanita masa kini berlumba-lumba untuk mengejar gelaran wanita ‘cemerlang’ daripada perspektif masyarakat sekular. Realiti ini merupakan sesuatu yang harus diperhatikan dengan serius oleh seluruh masyarakat terutamanya kaum wanita sendiri kerana ini merupakan isu akidah. Sesungguhya sistem sekular ini telah menyuburkan satu pemikiran kufur yang menjauhkan umat Islam daripada landasan dan cara hidup yang telah Allah SWT tetapkan melalui  garis panduan yang syumul (sempurna) oleh Islam. Firman Allah SWT,

Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu ke atas kamu, dan Aku redha Islam itu sebagai agama [TMQ al-Maaidah (5):3].

Keperibadian Wanita Cemerlang
Dalam Islam, wanita yang cemerlang adalah wanita yang memiliki konsep 3K dalam diri dan kehidupannya. 3K merujuk kepada ‘Keadaan, Kefahaman dan Keilmuan’.

Pertama, dalam keadaan kehidupan hari ini yang bertunjangkan sistem demokrasi-kapitalis, wanita terpaksa ‘keluar daripada sarangnya’ demi memenuhi keperluan hidup atau memaksa diri untuk bekerja kerana mahu mengejar kebahagiaan material. Sedangkan Islam meletakkan wanita pada kedudukan yang mulia iaitu kehormatan dan kebajikannya dijaga melalui pelaksanaan hukum-hukum Islam.  Antaranya, hukum bagi wanita untuk keluar bekerja adalah mubah (harus) dan yang wajib menafkahi mereka adalah kaum lelaki.

Kedua,  pada hari ini, mengejar kemewahan material menjadi satu kefahaman yang mendarah daging dalam tubuh wanita sehingga banyak perkara dalam kehidupannya lebih disandarkan kepada manfaat semata. Sedangkan Islam mengajar umatnya untuk mempunyai kefahaman bahawa manusia itu dilahirkan ke dunia ini oleh Allah SWT, hidup di dunia untuk taat kepada perintahNya dan setelah mati nanti dia akan dihadap kepada Allah SWT. Dengan kefahaman ini, seseorang itu mampu mengatur kehidupannya semata-mata untuk mendapatkan redha Allah dengan cara mengikat diri dengan hukum syarak kerana itulah yang akan membawanya kembali kepada Allah SWT dalam keadaan baik dan mulia. Inilah seharusnya yang menjadikan pegangan buat wanita yang cemerlang.

Ketiga, dalam sistem demokrasi-kapitalis, tahap keilmuan yang tinggi adalah sesuatu yang wajib digapai dengan capaian formal. Masyarakat dalam sistem ini memandang bahawa pengiktirafan pendidikan yang formal sahaja dapat menjamin wanita untuk menjadi golongan yang hebat dan cemerlang. Sedangkan Islam menetapkan bahawa menuntut ilmu itu adalah kewajipan setiap individu Muslim sebagai persiapan untuk beramal dengan benar demi mencapai redha Allah SWT. Penguasaan ilmu fardhu ‘ain dan fardhu kifayah mampu menyedarkan manusia tentang peranannya sebagai hamba Allah. Dengan ilmu jugalah wanita itu mampu memahami bahawa tanggungjawab utama wanita adalah sebagai ibu dan pengatur rumahtangga.

Inilah formula penting bagi setiap Muslimah untuk menjadi wanita yang cemerlang di dunia dan akhirat. Selain itu, menjadikan Rasulullah SAW dan juga para sahabiyyah (wanita yang hidup bersama Rasulullah SAW) sebagai suri teladan adalah langkah terbaik dalam mengatur kehidupan ke arah menjadi wanita yang cemerlang.

Para sahabiyah bukan setakat memahami bahawa wanita mempunyai peranan penting sebagai ibu dan pengatur rumahtangga bahkan kefahaman itu dizahirkan melalui perbuatan. Kefahaman mereka juga dipandu dengan matlamat untuk hidup dan mati hanya kerana Allah SWT. Redha Allah adalah keutamaan buat mereka.  Keilmuan mereka juga adalah sangat efisyen kerana mereka mendapat ilmu secara langsung daripada Rasulullah SAW. Penerapan sistem kehidupan seperti inilah yang menjadikan para sahabiyah hebat dan cemerlang bukan setakat di mata masyarakat malah yang lebih utama lagi ialah di sisi Penciptanya.  Mereka juga memahami sabda Rasulullah SAW,

Seorang wanita adalah pengurus rumah tangga suaminya dan anak-anaknya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban atas pengurusannya[HR Muslim].

Apabila ditelusuri satu per satu, begitu banyak kisah teladan para sahabiyah sepanjang sejarah kegemilangan Islam yang patut menjadi contoh kebanggaan kita sebagai generasi umat yang terbaik. Antaranya, kisah Kabsyah binti Rafi’, seorang sahabiyah yang hidup dan tampil menjadi penolong agama Allah, menjadi ibu kepada dua anak yang gugur sebagai syahid, dua pahlawan Islam yang diberkahi iaitu Amr bin Mu’adz dan Saad bin Mu’adz.  Dialah ibu yang ‘Arsyar-Rahman bergegar kerana kematian anaknya. Dialah juga ibu yang memutuskan perkara dengan hukum Allah SWT. Anak beliau ialah penjaga Rasulullah SAW ketika Perang Badar, pemegang panji daripada golongan Ansar serta salah seorang ahli majlis syura Rasulullah SAW ketika itu. Anak beliau ialah as-Siddiq kedua setelah Abu Bakar RA dan wakil Rasulullah SAW dalam Perang Buwath.

Begitu juga halnya dengan Saidatina Asma’ binti Abu Bakar yang sentiasa merangsang anaknya Abdullah bin Zubair agar menjadi berani dan terus berjuang hingga ke hujung nyawa. Dalam didikannya, keperibadian Abdullah bin Zubair dibentuk. Beliau ialah sosok seorang ibu yang sangat memahami peranannya dalam mendidik generasi utama yang berkualiti serta menjadikan kecintaan anaknya kepada Allah dan RasulNya mengatasi segala-galanya sama ada harta, isteri, mahupun keluarga. Beliau mencetak keperibadian generasi yang siap berjuang demi meninggikan kalimah La ilahaillallah Muhammad Rasulullah.

Tidak kalah hebat juga adalah pengorbanan yang telah dilakukan oleh sang ibu syuhada’, Tumazhir binti ‘Amru bin Sulami atau lebih dikenali sebagai al-Khansa’. Beliau berkahwin dengan Rawahah bin Abdul Aziz as-Sulami. Daripada pernikahan itu beliau dikurniakan empat orang anak lelaki. Sungguh, tangan yang disangka lembut menghayun buaian itu mampu menggoncangkan dunia! Setelah melalui pembinaan dan pendidikan daripada tangannya, keempat-empat anak lelakinya itu telah menjadi pahlawan-pahlawan Islam yang terkenal. Berkat dorongannya juga, mereka telah gugur syahid di medan Qadisiyah. Subhanallah!

Para sahabiyah ini sangat memahami bagaimana peranan ibu sebagai tonggak bagi sebuah keluarga bahagia, sekaligus menjadi pencetak generasi masa hadapan yang cemerlang dan peradaban yang gemilang. Kerana sumbangan daripada wanita sebeginilah, Islam bangkit menjadi sebuah kuasa besar dunia hasil pembukaan wilayah yang dijalankan oleh pejuang-pejuang Islam seperti diceritakan di atas. Namun, dalam sistem demokrasi-kapitalis yang diterapkan hari ini, fungsi ibu ini tidak ditekankan kerana menjadi ibu dan pengatur rumahtangga dijadikan sebagai pilihan, bukannya kewajipan!

Khatimah
Wanita yang hebat dan cemerlang adalah wanita yang hidup di landasan ketakwaan kepada Allah SWT semata-mata. Hari ini, kaum Muslimin merindukan para wanita atau ibu seperti layaknya para sahabiyah yang sedar akan tanggungjawabnya sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengatur rumah tangga), sentiasa mendidik anak-anaknya agar mentaati Islam, sekali gus menjadi madrasah al-ula (sekolah pertama bagi anak-anaknya). Sesungguhnya taklif (beban tanggungjawab) ini memerlukan pengorbanan yang besar daripada golongan ibu dan semestinya pengorbanan itu amatlah berharga dan hanya layak dibayar dengan ganjaran pahala dan syurga oleh Allah SWT. Firman Allah SWT,

Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar”. [TMQ al-Anfal (8):28].

Wallahu’alam